Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada era globalisasi dan liberalisasi ekonomi global, banyak negara di Asia Tenggara mula mengakui dan merancanakan kepentingan kerjasama ekonomi serantau untuk menjanakan pertumbuhan ekonomi. Keadaan ini berbeza daripada situasi di negara barat terutamanya Amerika Utara seperti Amerika Syarikat yang mengalakkan prinsip perdagangan bebas serta United Kingdom (UK) yang memilih untuk mengasingkan diri dari Kesatuan Eropah melalui proses Brexit.
Pada awal bulan Mac 2024, tiga Perdana Menteri Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang berjiran, iaitu Kemboja, Laos dan Vietnam telah mengadakan Mesyuarat Tertinggi Pelan Tindakan untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi seranau dengan matlamat untuk mencapai integrasi menjelang tahun 2030. Ketiga-tiga pemimpin ini sepakat untuk mewujudkan kawasan ekonomi yang lebih bersepadu, mampan dan makmur yang bertujuan untuk mencapai Visi Komuniti ASEAN 2025.
Mesyuarat yang diadakan di Hanoi, Vietnam merupakan Persidangan ke-10 Peringkat Tertinggi Kawasan Segi Tiga Pembangunan Kemboja-Laos-Vietnam (CLV-DTA) satu platform yang pertama kali diwujudkan pada tahun 1999. CLV-DTA ini merangkumi 10 sempadan wilayah di antara tiga negara jiran tersebut. Pada tahun 2009, ketiga-tiga negara ini bersetuju untuk menambah tiga sempadan wilayah lagi menjadikan jumlah sempadan keseluruhan kepada 13 sempadan wilayah.
Menurut data yang dipaparkan dalam Jadual 1, ketiga-tiga negara CLV ASEAN ini telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Kemboja telah menvatatkan pertumbuhan purata ekonomi sekitar 6.8 peratus, Vietnam yang pada suatu masa dahulu dianggap sebagai satu daripada negara termiskin di dunia turut mencatatkan kadar pertumbuhan yang sama, iaitu 6.8 peratus. Laos pula berdasarkan laporan Bank Dunia telah dipilih sebagai anatra negara yang mengalami pertumbuhan ekonomi terpantas di ASEAN, iaitu 7 peratus. Pertumbuhan ekonomi yang positif ini menjadu bukti bahawa kerjasama dalam CLV-DTA berpotensi untuk memperkukuh peranan serantau dalam membangunkan ekonomi ASEAN secara keseluruhan.
Jadual 1 : Kedudukan Ekonomi Bagi Negara-negara CLV-DTA
| Negara | Vietnam (V) | PDR Laos (L) | Kemboja (C) |
| Jumlah Penduduk | 93 juta | 6.8 Juta | 16 Juta |
| KDNK | USD202.6 bilion | USD16 bilion | USD20.2 bilion |
| KDNK Perkapita | USD2,185 | USD2,353 | USD1,270 |
| Kadar Pertumbuhan Ekonomi (2017) | 6.8% | 7% | 6.8% |
Sumber : Bank Dunia
Hubungan yang semakin erat antara tiga negara ini di kawasan Cambodia-Laos-Vietnam dijangka akan menjadi pemangkin kepada aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih besar ke negara tersebut. Sebagai contoh, Vietnam telah melabur dalam 113 buah projek dengan jumlah pelaburan mencecah USD3.6 bilion di dalam sempadan wilayah CLV. Kemboja pulak melabur dalam 48 projek sementara Laos melabur dalam 65 buah projek. Negara Vietnam pula membantu dalam aspek dana pembangunan infrastruktur di wilayah CLV. Selain itu, Vietnam turut memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan infrastruktur wilayah CLV seperti menyediakan pinjaman konsensesi bernilai USD26 juta untuk membina 70 kilometer jalan raya yang menghubungkan Banlung ke Ou Ya Dav di Kemboja.
Menurut Perdana Menteri Vietnam, lima wilayah di Vietnam yang terletak dalam CLV-DTA dijangka menarik lebih 233 projek dari 20 negara. Kawasan CLV-DTA ini telah berjaya mencatatkan pelaburan modal sekitar USD2.3 bilion. Hal ini menunjukkan peranan signifikan kawasan ini dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau.
Hubungan erat antara tiga negara ASEAN turut mendapat sokongan luar terutamanya dari Jepun. Kajian oleh Vannarith Chheang dari Institut ISEAS-Yusof Ishak menunjukkan bahawa Jepun memainkan peranan penting dalam kemajuan kawasan CLV-DTA. Sejak awal tahun 2010, Jepun telah mencatatkan pelaburan berjumlah USD1.5 bilion dalam bidang pendidikan, pengairan dan infrastruktur. Pada tahun 2015 sahaja, Jepun menambah dana sebanyak USD18 juta. Bank Pembangunan Asia (ADB) juga menawarkan pelbagai sokongan melalui projek Kerangka Sub-wilayah Mekong Mega (Greater Mekong Subregion Framework) yang melibatkan pembangunan koridor ekonomi melalui pelaburan kerajaan, swasta dan kerjasama antara kedua-duanya. Walaupun begitu, Vietnam masih berharap agar China dapat meningkatkan pelaburannya di Laos dan Kemboja untuk memastikan pembangunan kawasan CLV-DTA berlangsung dengan lebih seimbang dan progesif.
Bagi memastikan kawasan wilayah CLV-DTA terus mencapai kejayaan, kerjasama antara ketiga-tiga negara dalam bidang keselamatan, kestabilan politik serta perancangan dasar kerajaan yang pragmatik juga amat penting. Aspek pembangunan sosial dan kebudayaan harus diberikan perhatian serius kerana kadar kemiskinan di Laos dan Kemboja masih tinggi berbanding dengan negara jiran yang lain. Selain itu, projek besar seperti Terusan Funan Techno bakal memberikan impak besar kepada ekonomi Kemboja, Laos, Vietnam dan ASEAN secara keseluruhan. Projek ini dijangka akan memberikan kesan limpahan yang signifikan terutamanya kepada pembangunan di wilayah Sungai Mekong menjadikannya sebagai pusat maritim yang berdaya saing di kawasan CLV-DTA.
Pada dasarnya, CLV-DTA merangkumi 10 wilayah utama, iaitu Kon Tum, Gia Lai, Dak Lak dan Dak Nong (Vietnam); Sekong, Attapeu, dan Saravan (Laos); dan Stung Treng, Rattanakiri dan Mondulkiri (Kemboja). Sejak tahun 2009, tiga wilayah tambahan telah dimasukkan, iaitu Binh Phuoc di Vietnam, Champasak di Laos dan Kratie di Kemboja. Kumpulan wilayah ini berfokus pada mengukuhkan solidariti dan kerjasama antara ketiga-tiga negara untuk memastikan kestabilan politik dan keselamatan serantau selain mempromosikan pengurangan kemiskinan dan pembangunan sosioekonomi.
Vietnam sebagai satu daripada negara utama yang terlibat telah melabur dalam 49 buah projek di Kemboja dengan jumlah pelaburan yang didaftarkan mencecah USD1.63 bilion. Di Laos, Vietnam telah melaksanakan 67 buah projek dengan jumlah pelaburan sebanyak USD1.97 juta. Lima wilayah lokaliti di Vietnam yang terletak di kawasan segitiga pembangunan ini telah menarik 233 buah projek dengan nilai pelaburan USD2.3 bilion daripada 20 negara dan wilayah serantau.
Pada 25 November 2023, Persidangan Peringkat Tertinggi ke-8 kawasan segitiga pembangunan ini telah diadakan di Vientiane, Laos. Persidangan ini dihadiri oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung; PM Laos, Thongsing Thammavong dan PM Kamboja, Hunsen. Kawasan CLV-DTA telah mencatatkan kemajuan yang signifikan dalam kerjasama antara ketiga-tiga negara yang turut bergabung dengan negara ASEAN untuk membangun Komuniti ASEAN pada tahun 2025.
Dalam ucapan mereka, semua Perdana Menteri CLV-DTA menekankan pentingnya kerjasama tiga negara yang telah memberikan impak positif kepada hubungan antara negara jiran serta mempercepat pembangunan sosioekonomi di kawasan segitiga. Perdana Menteri Nguyen Tan Dung menegaskan komitmen Vietnam untuk memperluas kerjasama dan meningkatkan kesejahteraan bersama melalui potensi yang ada di kawasan ini. Beliau juga menekankan pentingnya koordinasi lebih erat antara tiga negara untuk meanfaatkan kelebihan yang diberikan oleh Komuniti Ekonomi ASEAN.
Persidangan ini juga menyapakati usul Perdana Menteri Nguyen Tan Dung untuk mempertingkat kerjasama dengan merangka perancangan sistematik bagi semua projek, mengutamakan projek berimpak tinggi serta membentuk permuafakatan antara ketiga-tiga negara. Mereka juga sepakat untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan termasuklah menangani isu perdagangan manusia, perdagangan dadah, jenayah merentasi sempadan, wabak penyakit dan bencana alam. Selain itu, merkea turut bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam melindungi alam sekitar dan pengurusan sumber alam.
Pada akhir persidangan, ketiga-tiga Perdana Menteri menandatangani pernyataan bersama tentang kerjasama di kawasan segi tiga pembangunan CLV-DTA. Pernyataan ini menegaskan komitmen ketiga-tiga negara untuk memperkuat hubungan persahabatan tradisional dan memastikan keamanan, keselamatan serta kestabilan di kawasan ini yang akan memberikan manfaat kepada pelabur dan rakyat setepat.
Selain itu, Perdana Menteri ketiga-tiga negara juga sepakat untuk memanfaatkan potensi budaya dan sosioekonomi kawasan ini. Konsep “Satu Perjalanan Tiga Destinasi” diperkenalkan untuk menggalakkan pelancongan antara Vietnam dengan Laos dan Kemboja. Kota Ho Chi Minh telah bekerjasama dengan wilayah Long An, Tien Giang dan Dong Thap di Delta Mekong untuk memperkenalkan pakej pelancongan serantau. Pada tahun 2022, wilayah Binh Dinh, Phu Yen dan Khanh Hoa di Vietnam turut mengadaptasi model yang sama untuk menarik pelancong dari Asia Timur Laut.
Kerjasama CLV-DTA ini bukan sahaja memberikan manfaat ekonomi tetapi juga memperkukuh hubungan budaya antara ketiga-tiga negara. Wilayah ini telah menerima 3.92 juta pelancong antarabangsa pada sembilan bulan pertama tahun 2023, meningkat 211 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Peningkatan ketibaan pelancong di Kemboja, PDR Laos dan Vietnam menunjukkan potensi besar kawasan ini dalam sektor pelancongan dengan Kemboja mencatatkan kenaikan 186 peratus dalam ketibaan pelancong melalui pengangkutan udara dan 224 peratus melalui pengangkutan darat dan perairan.
Pada bulan September 2024, Kemboja memutuskan untuk menamatkan penyertaannya dalam CLV-DTA di bawah Artikel 18 Memorandum Persefahaman. Menurut Menteri Luar Kemboja, Chenda Sophea penarikan diri daripada perjanjian ini selepas pertimbangan dan penilaian yang menyimpulkan bahawa mandat kerjasama ini telah berjaya mencapai objektifnya.