Diterbitkan pada 15 Mei 2025, 08:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tiada siapa yang dapat meramalkan bahawa insiden serangan tembakan oleh kumpulan pengganas bersenjata di Pahalgam, wilayah Kashmir yang ditadbir India pada 22 April yang lalu akan mencetuskan ketegangan dan konfrontasi antara India dengan Pakistan yang berpotensi membawa kepada peperangan.

Serangan tersebut mengorbankan 26 nyawa menjadi serangan paling dahsyat terhadap orang awam di rantau itu sejak 25 tahun lalu. Insiden ini menyebabkan Perdana Menteri India, Narendra Modi berikrar untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.

Sebagai reaksi terhadap insiden berdarah tersebut, dua minggu kemudian, India melancarkan serangan udara ke atas wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan dan sembilan lokasi lain di Pakistan pada 29 April 2025.

Insiden ini mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa yang seterusnya mencetuskan tindak balas dari Pakistan. Sejak itu, kedua-dua negara telah berbalas serangan rentas sempadan menggunakan dron, meriam dan peluru berpandu dengan hampir 50 nyawa dilaporkan terkorban dalam konflik yang semakin memuncak ini.

Namun begitu, selepas empat hari pertempuran yang hampir mencetuskan peperangan berskala penuh, India dan Pakistan akhirnya bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata pada 10 Mei 2025 yang mengakhiri serangan rentas sempadan yang telah berlangsung sejak 7 Mei 2025.

Walaupun bagaimanapun, letupan masih kedengaran di Kashmir beberapa jam selepas perjanjian gencatan senjata dipersetujui dengan kedua-dua negara saling menyalahkan satu sama lain kerana melanggar perjanjian tersebut.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu, sekiranya ketegangan ini berterusan, hal ini berpotensi memberikan kesan langsung terhadap bekalan beras Malaysia khususnya dari segi harga dan kesinambungan bekalan.

India dan Pakistan menyumbang hampir 38 peratus daripada beras import negara dengan India membekalkan beras putih dan Pakistan beras basmati yang kedua-duanya merupakan makanan ruji bagi majoriti penduduk Malaysia yang berjumlah 34 juta orang. Oleh itu, kestabilan hubungan antara kedua-dua negara ini amat penting bagi menjamin keterjaminan makanan negara.

Setakat ini, bekalan beras di Malaysia masih stabil. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberikan jaminan bahawa stok beras negara mencukupi untuk menampung keperluan dalam tempoh lebih enam bulan dengan data terkini menunjukkan Malaysia mempunyai lebih 1.1 juta tan metrik beras, termasuklah 200,000 tan metrik sebagai stok penimbal.

Pengimport beras tunggal negara, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) juga mengesahkan bahawa Malaysia menghasilkan 1.13 juta tan metrik beras setahun. Dalam tempoh terdekat, Malaysia dijangka tidak akan terjejas jika konflik antara India dengan Pakistan berterusan.

Walaupun bekalan beras masih stabil, kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan gangguan bekalan. Antara langkah yang diambil termasuklah mengukuhkan hubungan dengan negara pembekal beras lain seperti Vietnam, Thailand dan Kemboja serta mempelbagaikan sumber import beras.

Selain itu, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menjalin kerjasama dengan syarikat swasta Malaysia untuk membuka kilang pemprosesan beras di luar negara dan meningkatkan stok simpanan beras negara, di samping mempercepat pelaburan dalam sektor pertanian tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import.

Walaupun sukar untuk mengandaikan kesan langsung konflik India–Pakistan terhadap bekalan beras di Malaysia, kerjasama antara pihak berkuasa dengan pengimport, peniaga dan pengguna amat penting untuk memastikan kestabilan bekalan dan harga beras dalam negara.

Kebimbangan utama adalah kemungkinan akan ada pihak yang mengambil kesempatan daripada ketegangan ini dengan menyorok beras untuk mendapatkan harga yang lebih tinggi. Selain itu, pembelian panik oleh pengguna juga boleh mengganggu keseimbangan bekalan di pasaran dan menyebabkan kenaikan harga.

Yang pasti, selain Malaysia, konflik berpanjangan antara kedua-dua negara ini turut memberikan impak terhadap bekalan dan kenaikan harga beras di pasaran dunia. Krisis Rusia–Ukraine membuktikan bahawa ekonomi global saling berkait rapat dan konflik di satu rantau boleh memberikan kesan domino yang menimbulkan ketidaktentuan ekonomi global yang berpanjangan.

Oleh itu, penyelesaian diplomatik perlu dicari bagi meredakan ketegangan ini dan memastikan kestabilan bekalan beras global yang merupakan makanan utama bagi hampir separuh daripada penduduk dunia.

Sebagai pembekal beras terbesar global, India menyumbang sekitar 21.5 juta tan metrik daripada perdagangan beras global, sementara Pakistan menyumbang sekitar 3.8 juta tan metrik yang menjadikannya sebagai pengeluar keempat terbesar dunia.

Sekiranya pengeluaran beras di kedua-dua negara ini terganggu, kesannya bukan sahaja dirasai pada peringkat domestik tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Sebagai contoh, gangguan cuaca El Niño dua tahun lalu telah memberikan kesan terhadap pengeluaran beras sehingga menyebabkan India mengehadkan eksport beras putih. Dalam situasi ketegangan yang berterusan, tidak mustahil kedua-dua negara akan mengenakan larangan eksport bagi memastikan bekalan domestik mereka mencukupi.

Dalam suasana ketegangan yang semakin memuncak antara dua negara jiran yang memiliki senjata nuklear, kebimbangan timbul bahawa konflik ini mungkin berkembang ke penggunaan senjata nuklear. Penggunaan senjata nuklear akan membawa risiko pelepasan berjuta-juta tan karbon hitam ke atmosfera yang boleh menyebabkan penurunan suhu global sehingga lima darjah celsius, pengurangan cahaya matahari sebanyak 35 peratus dan penurunan hujan sebanyak 30 peratus. Perubahan iklim ini pasti akan memberikan impak besar terhadap musim penanaman dan penuaian padi di India dan Pakistan dengan jangkaan penurunan sebanyak 30 peratus dalam hasil tanaman padi.

Rantaian bekalan beras juga berisiko terjejas akibat kerosakan infrastruktur, menyukarkan pengedaran stok beras yang sedia ada. Bahkan, sekiranya peperangan melanda kawasan pertanian, proses penuaian padi juga boleh terganggu kerana pesawah mungkin terpaksa berlindung di kawasan yang lebih selamat dan tidak dapat mengusahakan sawah mereka.

Secara keseluruhannya, hal ini akan menjejaskan pengeluaran beras dari kedua-dua negara bermula daripada penyemaian sehingga ke eksport. Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa antara 20 hingga 30 peratus tanah pertanian akan kekal tidak ditanam atau tidak dituai akibat peperangan ini.

Seperti mana yang berlaku dengan krisis gandum akibat konflik Rusia–Ukraine, krisis beras global juga boleh tercetus akibat daripada ketegangan antara India dengan Pakistan. Krisis gandum telah menyebabkan India menghentikan eksport gandumnya sebagai pengeluar kedua terbesar dunia. Jika perkara yang sama berlaku terhadap eksport beras yang menyumbang sekitar 40 peratus daripada perdagangan global, dunia mungkin menghadapi kekurangan bekalan beras yang berlarutan selama bertahun-tahun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi