Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSelepas penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores dalam satu operasi ketenteraan khas Amerika Syarikat (AS) di Caracas pada 3 Januari 2026, Colombia dilihat berpotensi menjadi sasaran seterusnya dalam strategi geopolitik Washington di Amerika Latin.
Presiden AS, Donald Trump secara terbuka menuduh Presiden Colombia, Gustavo Petro membiarkan pengedaran dadah terlarang berleluasa di AS, selain mengaitkan pentadbirannya dengan penggubahan wang haram dan keganasan.
Pada Oktober 2025, AS mengenakan sekatan terhadap Petro dan isterinya, Veronica Alcocer atas dakwaan membenarkan kartel dadah berkembang di Colombia. Trump turut menuduh anak sulung Petro, Nicolas Petro serta Menteri Dalam Negeri Colombia, Armando Benedetti memberikan sokongan terhadap aktiviti terlarang tersebut.
Susulan sekatan berkenaan, semua harta dan kepentingan mereka yang berada di AS atau di bawah kawalan individu AS dibekukan dan dikehendaki dilaporkan kepada Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) di bawah Jabatan Perbendaharaan AS.
Ketegangan semakin meruncing apabila visa AS Petro dibatalkan pada September 2025 selepas beliau menghadiri demonstrasi pro-Palestin, serta menyeru tentera AS agar tidak mematuhi arahan Presiden Trump ketika berucap pada sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Ironinya, Colombia merupakan rakan keselamatan paling rapat AS di Amerika Latin dan Caribbean sejak lebih daripada 25 tahun. Negara itu menerima bantuan keselamatan yang besar menerusi Pelan Colombia, iaitu program pembanterasan dadah dan keselamatan yang bermula pada tahun fiskal 2000. Sebagai anggota Pakatan Rio, Colombia diiktiraf sebagai sekutu utama AS bukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sekali gus mengukuhkan hubungan ketenteraan dua hala.
Melalui Pembiayaan Ketenteraan Asing (PKA), Colombia menerima USD278 juta dari tahun fiskal 2017 hingga tahun 2023 bagi memperoleh sistem persenjataan buatan AS.
Selain itu, antara tahun fiskal 2020 hingga tahun 2024, Jabatan Negara AS menyalurkan USD8.69 juta di bawah program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa bagi meningkatkan profesionalisme dan saling kendali (interoperability) ketenteraan Colombia.
Kerjasama AS–Colombia turut merangkumi bidang ekonomi. Pada Oktober 2025, nilai eksport AS ke Colombia mencecah USD1.86 bilion manakala import berjumlah USD1.28 bilion, menghasilkan lebihan dagangan AS sebanyak USD580 juta. Eksport utama AS merangkumi petroleum ditapis, jagung dan alat ganti pesawat, manakala import utama dari Colombia ialah petroleum mentah, kopi dan emas.
Hubungan dua hala mula menunjukkan tanda ketegangan sejak pentadbiran Joe Biden, khususnya susulan penentangan Petro terhadap dasar antidadah AS, pemutusan hubungan diplomatik dengan Israel pada Mei 2024, serta retorik politiknya di media sosial.
Walaupun demikian, Biden masih mengekalkan Colombia sebagai sekutu utama bukan NATO dan meneruskan bantuan keselamatan, dengan peruntukan USD453.1 juta pada tahun fiskal 2023. Namun begitu, Kongres AS kemudiannya mengurangkan bantuan tersebut pada tahun fiskal 2024 atas kebimbangan terhadap dasar Petro.
Ketegangan mencapai kemuncak pada pertengahan Januari 2026 apabila Trump mengancam tindakan ketenteraan terhadap Colombia, menyerupai operasi di Caracas. Ancaman ini selari dengan Perintah Eksekutif 14169 yang dikeluarkan Trump pada 20 Januari 2025 bagi menilai semula dan menangguhkan bantuan luar negeri AS selama 90 hari, termasuk kepada Colombia.
Petro mengkritik tindakan AS di Venezuela sebagai pencabulan kedaulatan Amerika Latin dan memberikan amaran bahawa campur tangan ketenteraan boleh mencetuskan krisis kemanusiaan serantau. Beliau turut mendakwa dasar antidadah AS digunakan sebagai alasan untuk menghalalkan penggunaan kekerasan bagi menguasai sumber tenaga, khususnya minyak.
Colombia memiliki rizab minyak dianggarkan sebanyak 2.06 bilion tong dan menghasilkan lebih daripada 803,000 tong sehari pada tahun 2024. Negara itu juga merupakan pengeluar utama emas, perak, zamrud, platinum dan arang batu dengan AS sebagai antara destinasi utama eksport. Kekayaan sumber asli ini dilihat meningkatkan risiko Colombia menjadi sasaran tindakan unilateral AS sebagaimana yang berlaku ke atas Venezuela.
Secara keseluruhannya, perkembangan ini mencerminkan penggunaan dasar antidadah sebagai instrumen geopolitik bagi meluaskan pengaruh dan kepentingan strategik AS di Amerika Latin yang berpotensi menggugat kestabilan serantau, serta mencabar prinsip undang-undang antarabangsa.


