Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang“Pilihan Raya di Amerika Syarikat!”, frasa yang hangat dan sensasi menghiasi tajuk berita arus perdana mahupun platform media sosial menjelang November ini. Peristiwa empat tahun sekali di Amerika Syarikat (AS) ini secara praktikalnya memberi rakyat kuasa untuk memilih presiden atas nama demokrasi. Apakah suara rakyat mampu menghadirkan pulangan yang seharusnya? Sudah pasti ada aspek penting yang perlu dilihat bagi menjawab dan mencerakinkan persoalan tersebut terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan ekonomi. Hal ini dilihat oleh penulis sebagai perkara induk yang mendasari pulangan kepada rakyat AS pascapilihan raya sama ada akan membawa kesan positif terhadap ekonomi atau sebaliknya.
Janji ekonomi yang diungkapkan oleh calon presiden bersama-sama partinya, sama ada Republikan mahupun Demokrat boleh diibaratkan seperti bantal empuk buat keselesaan rakyat. Sayang seribu kali sayang, imbalan yang diterima oleh rakyat negara itu berkemungkinan hanyalah indah khabar dari rupa berdasarkan situasi terkini di AS dan huraian inilah yang bakal melatari baris-baris perenggan selepas ini secara retrospektif.
Situasi Ekonomi Rakyat AS Menjelang Pilihan Raya
Tekanan ekonomi saban hari semakin menghimpit kehidupan sebahagian besar rakyat AS tatkala berlangsungnya kempen politik parti Demokrat dan Republikan. Peningkatan kadar inflasi, jumlah hutang isi rumah, pengangguran, cukai yang kian meningkat di samping ketidakmampuan untuk memiliki rumah sendiri antara isu ekonomi yang sedang membelenggu rakyat AS. Hal ini disebabkan oleh penompokan kekayaan kepada golongan satu peratus di AS, iaitu para kapitalis kaya berbanding dengan golongan 99 peratus yang terpaksa bertarung nasib demi kelangsungan hidup.
Perkara ini bukanlah tuduhan oleh penulis akan tetapi hal ini telah ditegaskan dan diperincikan oleh Joseph Stiglitz, iaitu ahli ekonomi AS sendiri dalam satu kenyataan. Keadaan ini turut berkaitan dengan pandangan seorang lagi ahli ekonomi, iaitu Paul Krugman yang melihat ketidaksamaan ini sebagai isu serius di negara Uncle Sam itu. Rakyat yang terdiri daripada kelas pertengahan perlu mandiri dalam ekosistem ekonomi yang tenat hingga mendedahkan mereka kepada tekanan perasaan, risiko menjadi gelandangan, ketidakupayaan akses kepada perubatan dan ketidaktentuan hidup selepas pencen.
Kesemua penyakit ekonomi yang disebutkan tadi sentiasa menghantui rakyat tidak kira parti Demokrat ataupun Republikan yang mentadbir AS. Timbul persoalan, apakah tidak ada inisiatif pemerintah bagi menangani perkara ini dalam satu janji ekonomi buat rakyat? Sememangnya ada kerana mana-mana calon presiden yang ingin bertanding pasti akan menawarkan janji ekonomi jika mereka diberikan mandat oleh rakyat untuk menjawat jawatan presiden.
Donald Trump pada tahun 2016, misalnya telah melaungkan keutamaan ekonomi untuk rakyat AS. Pelbagai sekatan seperti sekatan perdagangan dan kemasukan imigran dari Mexico telah dibuat atas nama menjaga kepentingan ekonomi rakyat. Apa hasilnya? Yang kaya terus bertambah kaya dan sebaliknya telah berlaku kepada golongan marhaen. Tambah malang apabila pentadbiran Trump telah mewujudkan situasi autokratik seperti keterangan oleh Gary Gerstle dalam bukunya, The Rise and Fall of the Neoliberal Order.
Sewaktu parti Demokrat meletakkan strategi pilihan raya untuk mendepani Trump pada tahun 2020, isu ekonomi yang menjunjung prinsip keadilan serta usaha merapatkan jurang ketaksamaan terus digemakan. Kemunculan watak seperti Senator Bernie Sanders dan Senator Elizabeth Warren semakin mempergiat gesaan agar rakyat dibela dari segi kedudukan ekonomi dalam aspek percukaian, pendidikan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan sehingga menghangatkan perbahasan di Kongres. Sanders sendiri bukan sahaja menggunakan media sosial untuk menabur janji ekonomi kepada rakyat, malahan beliau turut menghasilkan buku-buku yang membentangkan idea ekonomi bagi kesejahteraan rakyat.
Namun begitu, janji tinggal janji dan idea tinggal idea kerana Joe Biden yang memenangi jawatan presiden atas tiket Demokrat tidak banyak melakukan perubahan dasar ekonomi domestik. Kadar inflasi tetap meningkat sehingga ada dalam kalangan rakyat AS yang menggelarkannya sebagai Bidenflation. Natijahnya, masyarakat yang terdiri daripada golongan pertengahan terus berada dalam keadaan sesak untuk meneruskan hidup dan harapan bagi meraih keadilan ekonomi ibarat menunggu kucing bertanduk.
Keluh kesah rakyat di AS ini menginterpretasikan kesan domino yang menyaksikan perpindahan masyarakat dari kawasan metropolitan seperti New York dan California ke kawasan lain, iaitu di New Mexico, Mississippi serta New Jersey. Tindakan terbabit dibuat demi kelangsungan hidup terutamanya golongan pencen yang tiada keterjaminan pendapatan selepas persaraan.
Bagi golongan muda, mereka terpaksa melakukan pelbagai kerja bagi memenuhi keperluan asas khususnya para lepasan institusi pendidikan tinggi yang masuk ke dunia realiti kehidupan dengan berbekalkan hutang pembiayaan pendidikan. Keadaan getir ini seharusnya dicari jalan penyelesaian oleh elit pentadbir AS supaya mereka tidak memfokuskan soal negeri biru, merah dan ungu sahaja menjelang pilihan raya nanti. Bagi negeri biru yang menyokong Demokrat, merah sebagai penyokong Republikan dan ungu yang di atas pagar, kesemuanya mengharapkan anjakan ekonomi lebih positif dari hari ke hari.
Bagaimanakah segalanya boleh terjadi?
Satu daripada faktor yang membawa permasalahan ekonomi domestik kepada AS adalah dari segi warisan dasar ekonomi Presiden Ronald Reagan (1981-1989). Kenyataan mengenai keadaan ini dilaksanakan dalam lapangan ekonomi di bawah pentadbiran Reagan yang membabitkan dasar monetari seperti kenaikan cukai untuk rakyat dan pemotongan cukai ke atas golongan kaya di samping langkah penswastaan.
Kawal selia kerajaan dalam aspek ekonomi turut dimansuhkan dan pelantikan Alan Greenspan sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan bagai satu petanda awal bahawa bakal terjadinya kemelesetan ekonomi. Hal ini demikian kerana Greenspan merupakan individu yang memihak kepada ekonomi neoliberal yang kemudiannya mendapat sokongan daripada Ben Bernanke (ahli ekonomi dari Universiti Princeton) serta dua orang bekas Setiausaha Perbendaharaan, Larry Summers dan Robert Rubin. Legasi dasar ekonomi Reagan berlanjutan sehingga zaman Presiden Bill Clinton yang mengakibatkan penamatan Akta Glass-Steagall pada tahun 1999 lalu digantikan dengan Akta Gramm-Leach-Bliley. Peristiwa berkenaan menandakan berakhirnya campur tangan dan kawal selia kerajaan dalam urusan pasaran dan persaingan dalam pasaran yang melibatkan hal ehwal perbankan.
Dalam dekad pertama kurun ke-21, AS akhirnya dilanda kemelesetan ekonomi kesan daripada pecahnya gelembung harga perumahan sekitar tahun 2007 hingga 2008 yang membawa eksternaliti negatif kepada masyarakat. Para peminjam daripada bank gagal untuk melunaskan hutang masing-masing dan mereka terpaksa menjual rumah kediaman bahkan syarikat besar seperti General Motors (GM) serta American International Group (AIG) turut mengalami kebankrapan.
Pembaziran dalam dasar ekonomi AS turut terkait dengan keterlibatan kuasa besar itu dalam perang terutama sewaktu pemburuan ke atas Presiden Saddam Hussein di Iraq pada tahun 2003. Stiglitz sekali lagi muncul sebagai watak yang mengetengahkan betapa peperangan ini merupakan satu pembaziran kerana kerajaan perlu memperuntukkan USD3 trilion dolar bagi merealisasikan operasi ketenteraan tersebut. Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, itulah keadaan yang dapat digambarkan ke atas nasib rakyat AS akibat percaturan ekonomi yang telah disebutkan tadi.
Seperti mencurah air di daun keladi, nasihat dan pandangan oleh ahli ekonomi di AS seolah-olah tidak didengari oleh golongan pemerintah. Stiglitz, misalnya hadir dengan solusi berupa idea kapitalisme progresif pada tahun 2019 untuk membela nasib rakyat menerusi pembuatan dasar berkaitan dengan ekonomi. Jeffrey Sachs, seorang Profesor Ekonomi di Universiti Columbia turut mengetengahkan idea keseimbangan ekonomi untuk rakyat, pasaran, dan kepentingan alam sekitar bagi mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih positif. Walau bagaimanapun, kesemua idea tersebut kelihatan hanya tinggal nota di dalam buku-buku sarjana terbabit tanpa diberikan perhatian oleh pemerintah.
Ternyata kondisi ekonomi rakyat di AS memerlukan satu pelaksanaan dasar yang efektif bagi mengubah nasib mereka. Janji ekonomi yang ditabur tidak seharusnya menjanjikan mimpi kemewahan tetapi seharusnya berfungsi sebagai alat rehat untuk masyarakat. Perkara ini penting kerana masyarakat kelas pekerja AS sering kali menerima dampak negatif daripada sesuatu dasar ekonomi mahupun krisis yang berlaku.
Usahkan ingin memperoleh tidur yang lena, janji ekonomi yang tersedia akhirnya menyebabkan insomnia kepada masyarakat kerana perlu memikirkan realiti kehidupan yang bakal mereka lalui. Sebagai pembaca dan peneliti berkecuali terhadap keadaan ekonomi AS, kita perlu tunggu dan lihat apa-apa perubahan positif pascapilihan raya November nanti. Benar, kita tidak terlibat langsung dengan apa-apa perkara yang berlaku di sana, tetapi setidak-tidaknya kita boleh jadikan perkara berkenaan sebagai tamsilan kepada diri kita di Malaysia.