Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKemampanan ekonomi merupakan amalan yang menyokong pertumbuhan jangka panjang tanpa menghalang keperluan generasi akan datang. Mampan mengekalkan prestasi ekonomi sambil memulihara sumber, menggalakkan kesaksamaan sosial dan membina daya tahan terhadap kejutan alam sekitar dan ekonomi. Kemampanan ekonomi menjadi tiang utama negara demi memastikan pertumbuhan dan kelestarian ekonomi dalam jangka panjang selain menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan sememangnya penting untuk kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi untuk memastikan prestasi ekonomi negara bertambah baik. Usaha berterusan kerajaan dalam menarik pelaburan asing merupakan salah satu strategi membentuk ekonomi mampan. Proses perindustrian yang pesat sekitar tahun 1970-an dan 1980-an menyaksikan kemasukan banyak syarikat multinasional terutamanya dalam sektor perkilangan dan perlombongan. Ekoran perkembangan di luar dan dalam negara sebagai contoh liberalisasi terhadap keperluan pemilikan ekuiti asing dalam sektor perkhidmatan selepas tahun 2008, pelaburan asing didapati semakin meningkat.
Kehadiran pemain global kini lebih meluas dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam subsektor kewangan dan insurans; borong dan runcit; serta pengangkutan dan komunikasi. Malaysia menjadi tarikan pelaburan asing kerana akses mudah ke pasaran utama Asia; permintaan pengguna yang kukuh untuk barangan dan perkhidmatan antarabangsa; sokongan institusi; infrastruktur yang maju; rangka kerja undang-undang yang mantap; bakat atau tenaga kerja yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris selain kemahiran digital; serta perjanjian perdagangan bebas.
Menurut statistik Malaysian Investment Development Authority (MIDA), jumlah keseluruhan pelaburan asing (swasta) di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Disember tahun 2023 ialah RM188,365.4 juta atau AS$41,038.2 juta. Daripada jumlah tersebut RM1,977.3 juta atau AS$430.8 juta dalam sektor utama, RM128,438.2 juta atau AS$27,982.2 juta (sektor perkilangan) dan RM57,949.9 juta atau AS$12,625.2 juta (sektor perkhidmatan). Untuk tempoh Januari hingga Mac tahun 2024 pula RM47,012.2 juta atau AS$9,939.2 juta. Sektor utama berjumlah RM161.1 juta atau AS$ 34.1 juta, sektor perkilangan (RM38,154.8 juta atau AS$8,066.6 juta) dan sektor perkhidmatan (RM8,696.3 juta atau AS$1,838.5 juta).
Jadual 1 Pelaburan langsung asing bersih ke Malaysia pada tahun 2023.
Kehadiran pelbagai syarikat multinasional dalam landskap pelaburan mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan yang cukup menarik. Malaysia kini masih kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan langsung asing di rantau Asia Tenggara, termasuk menarik minat syarikat multinasional yang berhasrat untuk mengembangkan jaringan global secara strategik. Pada tahun 2024 menyaksikan beberapa syarikat multinasional asing dan gergasi teknologi berminat untuk melabur di Malaysia antaranya ialah Google, Apple, Microsoft, ByteDance dan BlackBerry. Pelaburan tersebut membuktikan daya tarikan Malaysia sebagai hab utama bagi perniagaan global dan usaha niaga teknologi.
Google berhasrat untuk melabur AS$2 bilion (RM9.4 bilion) dalam mewujudkan pusat data pertamanya dan rantau Google Cloud di Malaysia. Apple pula membuka Apple Store pertama di The Exchange TRX Mall, Kuala Lumpur pada 22 Jun 2024. BlackBerry membuka Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber di Cyberjaya yang memfokuskan keselamatan siber. Pelaburan Microsoft sebanyak AS$22 bilion (RM90.2 bilion) pula adalah untuk memajukan cloud baharu dan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Malaysia. ByteDance berhasrat untuk melabur AS$2.13 bilion (RM10 bilion) bagi mewujudkan hab AI di negara ini. ByteDance juga mahu mengembangkan kemudahan pusat datanya di Johor dengan pelaburan tambahan sebanyak RM1.5 bilion.
Pelaburan dalam sektor seperti teknologi, AI, keselamatan siber, pengagihan dan tenaga mampan mempelbagaikan asas ekonomi Malaysia sekali gus mengurangkan pergantungan negara pada sektor tradisional seperti pembuatan dan minyak. Pelaburan juga akan menjana peluang pekerjaan berkaitan sektor masing-masing. Projek oleh Apple dan Microsoft dalam AI akan menjana peluang pekerjaan sekali gus memberi kesan positif kepada pasaran pekerjaan tempatan.
Kerjasama ekonomi dan perdagangan multilateral turut menyumbang kepada kemampanan ekonomi negara. Kerjasama ekonomi yang melibatkan Malaysia dengan China akan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, mengembangkan perdagangan dalam sektor perkhidmatan dan menarik pelaburan. Kerjasama tersebut adalah Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan, selain dua memorandum persefahaman bagi memperkukuh kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital dan pembangunan hijau yang ditandatangani pada 19 Jun 2024. Program Lima Tahun yang akan berlangsung dari tahun 2024 hingga 2028 bertujuan untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang sedia ada seperti perdagangan, pelaburan, pembuatan, infrastruktur pertanian, ekonomi digital, logistik dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana, selain menggalakkan kerjasama dalam bidang baharu termasuk inovasi, syarikat pemula niaga dan perkhidmatan kewangan. Pertama kali kerjasama lima tahun itu dimeterai ialah pada tahun 2013.
Pada Mac 2024, Malaysia dan Korea Selatan menyambung semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea yang dijangka dapat meningkatkan perdagangan dan pelaburan bilateral. Perjanjian tersebut turut merangkumi ekonomi digital, ekonomi hijau, rantaian bekalan dan bioekonomi. Perjanjian Perdagangan Bebas ialah perjanjian antara dua atau lebih negara yang membolehkan negara terlibat diberi akses keutamaan dalam pasaran. Perjanjian Perdagangan Bebas merangkumi kemudahan perdagangan; pelaburan; perlindungan harta intelek; polisi persaingan perdagangan dan kerjasama ekonomi yang berkaitan.
Perjanjian Perdagangan Bebas penting kepada negara terlibat kerana mendapatkan akses kepada pasaran yang lebih besar; memudahkan serta menggalakkan perdagangan dan pelaburan; merangsang kerjasama ekonomi; meningkatkan daya saing pengeksport Malaysia; dan membangunkan keupayaan industri tempatan melalui kerjasama teknikal. Malaysia akan menerima manfaat daripada Perjanjian Perdagangan Bebas kerana mendapat layanan istimewa dan akses kepada pasaran yang lebih besar. Pengeksport Malaysia juga akan menikmati penjimatan kos kesan daripada penghapusan atau pengurangan duti kastam serta memudahkan urusan perdagangan dengan liberalisasi syarat-syarat prosedur kastam yang ketat.
Bagi sektor perkhidmatan pula, Perjanjian Perdagangan Bebas menyediakan akses pasaran yang lebih baik untuk pelbagai sektor perkhidmatan komersial dan profesional dari Malaysia, selain memudahkan para pelabur Malaysia untuk melabur di negara rakan Perjanjian Perdagangan Bebas. Setakat November 2023, Malaysia telah menguatkuasakan sebanyak 16 Perjanjian Perdagangan Bebas yang melibatkan tujuh bilateral dan sembilan multilateral, selain 62 Perjanjian Penggalakan dan Perlindungan Pelaburan Bilateral. Perjanjian Perdagangan Bebas bilateral melibatkan negara Jepun (13 Julai 2006), Pakistan (1 Januari 2008), New Zealand (1 Ogos 2010), Australia (1 Januari 2013), India (1 Julai 2011), Chile (25 Februari 2012) dan Turkiye (1 Ogos 2015). Perjanjian Perdagangan Bebas multilateral membabitkan ASEAN (1993), ASEAN – Jepun (1 Februari 2009), ASEAN – Australia – New Zealand (1 Januari 2010), ASEAN – India (1 Januari 2010), ASEAN – China (1 Julai 2003), ASEAN – Korea (1 Julai 2006), ASEAN – Hong Kong (13 Oktober 2019), Regional Comprehensive Economic Partnership (18 Mac 2022) dan Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (29 November 2022).
Jadual 2 Negara import utama Malaysia (Januari – Jun 2024).
Jadual 3 Produk import utama Malaysia (Januari – Jun 2024).
Jadual 4 Negara eksport utama Malaysia (Januari – Jun 2024).
Jadual 5 Produk eksport utama Malaysia (Januari – Jun 2024).
Kemampanan ekonomi bukan sahaja bergantung kepada dasar dan tindakan kerajaan, tetapi juga tindakan serta sikap yang diambil oleh setiap lapisan masyarakat. Dengan memahami dan memainkan peranan masing-masing, masyarakat dapat menyumbang kepada pencapaian matlamat kemampanan ekonomi yang berterusan.
Masyarakat memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara dengan menyokong produk dan perkhidmatan tempatan. Apabila lebih ramai individu memilih untuk membeli produk buatan tempatan, tindakan tersebut akan membantu meningkatkan pendapatan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS), seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif. Penggunaan produk tempatan juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada import, yang dapat membantu menstabilkan ekonomi negara dalam jangka panjang.
Masyarakat juga bertanggungjawab dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kemampanan ekonomi. Pendidikan berkaitan ekonomi, pengurusan kewangan, pengurusan sumber dan penggunaan yang bijak perlu diterapkan sejak usia muda. Dengan pengetahuan ini, generasi akan datang lebih bersedia untuk membuat keputusan ekonomi yang lebih bertanggungjawab dan mampan.
Masyarakat digalakkan untuk terlibat dalam perniagaan, koperasi dan perusahaan sosial yang mampu meningkatkan kesejahteraan ekonomi. Koperasi membolehkan masyarakat bergabung tenaga dan sumber untuk mencapai matlamat ekonomi yang lebih besar, manakala perusahaan sosial dapat memberikan impak positif kepada komuniti sambil menjana pendapatan.
Dalam era digital ini, koperasi perlu beralih daripada perniagaan konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk dan perkhidmatan seperti yang disarankan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick ketika berucap merasmikan Program Memasyarakatkan Koperasi 2023, anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Hal ini demikian kerana pemasaran melalui platform digital dan pembayaran secara dalam talian kini menjadi norma baharu dan amat penting dalam perniagaan.
Perusahaan sosial mendapat perhatian kerajaan melalui Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) yang bertemakan ‘Mengarus Perdana Perusahaan Sosial, Menormalisasi Impak Sosial’. Rangka tindakan yang dilancarkan pada 23 April 2022 merupakan hala tuju baharu pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia yang bertujuan untuk mengarusperdanakan perusahaan sosial sebagai penyumbang yang efektif kepada pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan. Masyarakat juga mempunyai kelebihan untuk memulakan perniagaan dan mendapat modal melalui penyertaan dalam program-program yang dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
Dalam era digital, masyarakat harus mengambil inisiatif untuk menguasai teknologi dan inovasi sebagai cara untuk meningkatkan daya saing. Teknologi seperti e-dagang, AI dan automasi boleh digunakan untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan dan menjadikan ekonomi negara lebih kompetitif pada peringkat global. Pihak kerajaan telah merangka program Digital Agtech di bawah MDEC dan ini merupakan satu peluang untuk rakyat Malaysia memajukan bidang pertanian dengan teknologi baharu dan canggih.
Masyarakat juga wajar menyahut saranan kerajaan dan visi kemajuan negara dengan menambah kemahiran dan pengetahuan masing-masing. Dengan yang demikian, kerajaan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada sumber tenaga kerja dari negara luar. Kerajaan telah menyatakan hasrat mereka untuk menggandakan tenaga pakar di Malaysia dengan pelbagai program anjuran HRD Corp. Penyertaan masyarakat dalam program tersebut secara langsung dapat membantu memajukan ekonomi negara dengan melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran. Generasi muda kini turut berpeluang menyambung pengajian dalam bidang TVET. TVET berperanan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang mampu meningkatkan produktiviti dan inovasi dalam pelbagai sektor ekonomi. Hal ini membantu negara untuk bersaing pada peringkat global.
Kemampanan ekonomi dan peningkatan daya saing negara adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat. Melalui sokongan terhadap produk tempatan, pendidikan berterusan, pelibatan dalam inisiatif sosial dan penggunaan teknologi, masyarakat dapat memainkan peranan penting dalam membentuk ekonomi negara yang lebih mampan dan berdaya saing. Kemampanan ekonomi yang diusahakan kini, bukan sahaja memberikan kesejahteraan kepada masyarakat pada hari ini, malahan generasi akan datang turut merasai impak positif keadaan ekonomi yang baik.