Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangOrganisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (Organisation for Economic Co-operation and Development – OECD) ialah badan antarabangsa yang berperanan penting dalam mengarahkan, menjana dan mendorong kerjasama ekonomi antara negara-negara anggotanya. Bagi memulakan pelbagai pelan tindakan dan aktiviti pembangunan komprehensif, OECD menyatukan seluruh negara ke platform global dalam pertukaran pandangan serantau, mencari penyelesaian inklusif dan mengutamakan pertumbuhan ekonomi sejagat. OECD juga menghasilkan laporan tentang amalan terbaik menerusi forum perbincangan yang mencakupi aspek persaingan sumber, ekonomi, sosial, persekitaran, perdagangan dan pelaburan bagi setiap negara-negara yang menganggotainya.
OECD dianggotai oleh 38 buah negara, antaranya Australia, Austria, Belgium, Kanada, Chile, Columbia, Costa Rica, Republik Czech, Denmark, Finland, Jerman, Greece, Hungary, Ireland, Itali, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Norway, Poland, Portugal, Sepanyol, Sweden, Turkiye, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Rajah 1 Unjuran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam kalangan negara-negara OECD bagi tahun 2024 dan tahun 2025.
Sumber: OECD Economic Outlook, Interim Report, Februari 2024.
Sejarah Penubuhan OECD
OECD ditubuhkan pada 14 Disember 1960 dengan penandatanganan Konvensyen Paris pada 30 September 1961. OECD merupakan legasi Organisasi Kerjasama Ekonomi Eropah (OEEC), yang ditubuhkan pada tahun 1948 untuk menyusun semula Eropah sejajar dengan Rancangan Marshall. Pada 2 Ogos 1961, Republik Turki mengesahkan Konvensyen Paris dan bergabung dengan OECD sebagai anggota pengasas. Tujuan utama pembentukan OECD adalah untuk mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang stabil antara negara-negara anggotanya, serta mengurangi persaingan ekonomi di antara mereka.
Pada waktu itu, OECD memiliki 38 buah negara anggota, yang sebahagian besar merupakan negara-negara maju dan ekonomi besar di dunia. Pengembangan OECD diwujudkan untuk menyokong dan meningkatkan ekonomi Eropah selepas Perang Dunia Kedua. Organisasi ini mula beroperasi sejajar dengan Rancangan Marshall untuk mengagihkan sekitar AS$12 bilion bantuan kewangan dari Kanada dan Amerika Syarikat pada masa itu. Ekonomi negara OECD adalah struktur yang dapat dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi global.
OECD telah diwujudkan dengan objektif utama seperti yang berikut:
Tujuan dan Peranan Utama OECD
Kesan dan Implikasi kewujudan OECD
OECD berperanan penting dalam memacu perkembangan ekonomi dan sosial di seluruh dunia. Beberapa kesan dan implikasi yang signifikan daripada kewujudan OECD adalah seperti yang berikut:
OECD pada 2 Mei 2024 yang lalu berjaya meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi global tahun 2025 kepada 3.1 peratus, lebih tinggi dibandingkan dengan unjuran 2.9 peratus yang dikeluarkan pada Februari 2024 yang lalu. Menurut OECD, tahap pertumbuhan ini dikeluarkan berdasarkan optimistik ekonomi global yang mulai menunjukkan perubahan yang positif tanpa memperdulikan pertumbuhan tidak terlalu besar serta impak jangka panjang dari beberapa risiko geopolitik dunia.
OECD juga memperingatkan bahawa “ketegangan geopolitik yang tinggi” khususnya di Timur Tengah dan Asia Selatan mampu menganggu sinergi pasaran dagangan dan kewangan global sehingga meningkatkan inflasi dan memperlahankan pertumbuhan KDNK global.
Bagi Malaysia, kerajaan berpendirian penyertaan dalam OECD bukan sahaja memberikan manfaat kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menyertai beberapa organisasi antarabangsa lain seperti BRICS selain daripada OECD, sejajar dengan usaha memelihara hubungan baik dengan semua rakan dagang. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa Malaysia juga akan terus memastikan dasar luar negara yang bebas, berprinsip dan pragmatik dengan mengekalkan keseimbangan pembangunan ekonomi negara dan menjaga hubungan baik dengan kuasa ekonomi dunia.
Dalam perkembangan terbaharu, Indonesia dan Thailand juga telah mengorak langkah untuk menyertai OECD yang diberikan julukan ‘Kelab Negara Membangun’ atau Developed Countries Club. Thailand akan menjadi negara membangun menjelang tahun 2037 di bawah Strategi Negara 2018-2037 (National Strategy 2018-2037), manakala Indonesia mensasarkan matlamat mencapai status tersebut pada tahun 2045, iaitu selepas menyambut kemerdekaan ke-100 tahun berdasarkan Visi Emas Indonesia 2045 (Golden Indonesia 2045 Vision). Pada bulan Februari 2024, OECD telah memulakan perundingan dengan kerajaan Indonesia dan pada Mac 2024, Indonesia telah mengemukakan surat rasmi dan peta jalan untuk menjadikan Indonesia sebagai calon pertama dari negara Asia Tenggara yang menyertai OECD.
Komitmen Indonesia sebagai anggota OECD dizahirkan melalui penyusunan peta jalan selaras dengan Perancangan Pembangunan Jangka Panjang Nasional Indonesia tahun 2025-2045. Pelan ini akan segera ditetapkan menjadi undang-undang dengan sasaran Pembangunan, antaranya mencapai paras pertumbuhan sekitar tujuh peratus setahun serta melangkaui daripada status “middle income trap” kepada negara berpendapatan tinggi pada tahun 2045.
Forum Menteri-menteri Asia Tenggara pada tahun 2023 di Vietnam yang bertemakan, “Global Investment Trends: New Potential for Sustainable and Quality Investment in Southeast Asia” telah membayangkan kesediaan Indonesia dan Thailand menyertai OECD.
Inspirasi ini disuarakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri Thailand, Sihasak Phuangketkeow dengan menonjolkan perniagaan mesra persekitaran (environmentally friendly businesses) dan rantaian penawaran merentasi wilayah (intra-regional supply chains) untuk menjana kerjasama antara OECD dan 10 negara anggota ASEAN. Beliau juga menyatakan bahawa Thailand mempunyai keupayaan kebersaingan jangka masa panjang dalam pelbagai sektor ekonomi. Thailand menduduki tempat ke-30 daripada 64 dalam kebersaingan ekonomi yang terkandung dalam Laporan Tahunan International Institute for Management Development (IMD) tahun 2023.
Thailand mempunyai pelbagai cabaran dalam keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi, namun kerajaan Thailand akan bekerjasama dengan rakan strategik sektor swasta dan antarabangsa untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam pelbagai industri. Menerusi fasa kedua Projek “OECD-Thailand Country Programme”, kerajaan Thailand memfokus kepada perkembangan perniagaan, penjanaan pelaburan, kemampanan ekonomi, ketelusan korporat, polisi persaingan yang adil dan pembangunan modal insan menerusi Pendidikan TVET, sains, teknologi dan polisi inovasi.
Dalam jangka panjang untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing menerusi keahlian dalam OECD, Malaysia, Indonesia, Thailand dan negara ASEAN yang lain perlu meningkatkan kecekapan ekonomi dan keberkesanan polisi kerajaan menerusi penyeragaman percukaian (standardization in taxation); peraturan tenaga kerja; perlindungan alam sekitar; pembangunan wilayah Perindustrian; polisi mengatasi tahap kemiskinan; serta peningkatan kualiti pendidikan bagi pemindahan pengetahuan dan teknologi daripada negara maju.
Dalam Penyataan Visi Sambutan 50 tahun (50th Anniversary Vision Statement) yang dilancarkan pada tahun 2011, OECD akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan negara maju. Justeru, kumpulan Negara 20 (G-20 country) dalam ASEAN dan keahlian OECD akan mewujudkan peluang mega yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi global.
Pada tahun 2014, Perdana Menteri Jepun telah melancarkan “Southeast Asia Regional Program (SEARP)” untuk menyokong keutamaan negara-negara ASEAN melakukan reformasi polisi dan integrasi wilayah yang memberikan impak besar. Hubungan yang erat antara OECD-ASEAN menerusi dialog polisi akan dipacu oleh peranan Jepun sebagai jambatan kerjasama dalam mewujudkan peta jalan yang strategik dan komprehensif kepada 10 negara ASEAN menyertai OECD.