19 April 2024, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Beberapa tahun kebelakangan ini, masyarakat digemparkan dengan isu apabila terdapat banyak rumah mampu milik yang tidak terjual. Rata-rata rumah yang tidak terjual tersebut merupakan unit berharga kurang daripada RM500,000.00. Hal ini menunjukkan bahawa penawaran dan permintaan rumah adalah tidak konsisten. Isu lambakan rumah ini bertambah melarat apabila keadaan ekonomi negara yang tidak stabil dengan nilai mata wang ringgit yang semakin jatuh.

Isu lambakan rumah tidak terjual bertambah melarat berikutan keadaan ekonomi negara yang tidak stabil.

Hal ini memperlihatkan bahawa kesan daripada keadaan ekonomi juga mempengaruhi kuasa beli hartanah oleh masyarakat. Tidak dinafikan bahawa memiliki rumah merupakan satu impian yang paling ulung bagi setiap individu. Akan tetapi persoalannya, adakah definisi “rumah mampu milik” menggambarkan realiti buat masyarakat masa ini? Bukan itu sahaja, terdapat juga kos-kos lain seperti yuran guaman dan cukai yang juga bertambah dari semasa ke semasa. Hal tersebut merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh generasi kini untuk memiliki sebuah rumah impian.

Cabaran pertama yang dapat dilihat ialah pendapatan bulanan yang kecil. Jika dilihat senario pembeli rumah, pembiayaan bulanan hampir memakan separuh daripada gaji bulanan mereka. Sebagai contoh, jika pendapatan bulanan seseorang pembeli yang berjumlah RM3000, kos yang ditanggung untuk bayaran ansuran bulanan rumah pula dalam lingkungan RM1500. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sebahagian pendapatan bulanan sudah mempunyai tanggungan wajib bulanan. Sekiranya tertunggak, bank berhak mengambil rumah tersebut untuk dilelong dan pembeli akan diisytihar sebagai muflis.

Fakta menunjukkan bahawa ramai pembeli rumah gagal melaksanakan bayaran pinjaman pembelian rumah dan diisytihar muflis pada usia muda. Hal ini merupakan antara krisis yang dihadapi oleh masyarakat khususnya golongan muda pada hari ini. Oleh itu, kerajaan perlu meneliti semula permasalahan ini kerana pengisytiharan muflis pada usia muda akan menjejaskan seseorang individu dari sudut kelangsungan hidup sekali gus menjejaskan ekonomi negara.

Penulis berpandangan bahawa sekiranya seseorang individu nekad untuk membeli rumah akan tetapi gaji sedia ada tidak mencukupi, maka langkah proaktif perlu diambil dalam menangani masalah ini. Bak kata pepatah Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sedikit banyak, pengorbanan perlu dilakukan dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan bagi mendapatkan pendapatan sampingan jika sumber utama pekerjaan tidak mampu menampung pembelian rumah. Generasi muda perlu belajar ilmu kewangan pada usia muda dan dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang penting dalam memberikan sokongan kepada anak demi kelangsungan hidup mereka yang mencabar.

Cabaran yang kedua ialah harga rumah yang terlalu mahal dan tidak selaras dengan pendapatan individu. Sekiranya kerajaan cakna akan keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil sehingga menyebabkan banyak lambakan rumah yang gagal dibeli oleh rakyat, mereka perlu menelusuri keperluan masyarakat dengan meletakkan syarat kepada pemaju untuk membina rumah sesuai dengan status kewangan dan taraf hidup rakyat.

Jika dilihat, rumah yang gagal terjual kebanyakannya rumah yang berharga RM500,000 dan ke atas. Maka itu, kerajaan perlu memastikan projek pembinaan rumah oleh pemaju memerlukan perundingan semula bagi menangani masalah rumah yang tidak terjual di Malaysia. Tambahan lagi, kerajaan Malaysia perlu cakna dalam menyelesaikan masalah ini untuk tempoh jangka pendek dan panjang. Solusi yang terbaik dalam menangani masalah rumah tidak terjual bukan sahaja dengan mempromosikan pembelian rumah kepada pembeli luar kerana ini merupakan sudut pandang penyelesaian dalam jangka masa pendek. Secara rasionalnya, jika kita hanya mempromosikan pembelian rumah kepada pembeli luar, bagaimanakah nasib rakyat yang belum pun memiliki rumah pertama? Adakah memiliki rumah di negara kelahiran hanyalah satu keperluan yang tidak boleh dinikmati oleh rakyat? Persoalan ini tidak boleh dibiarkan berterusan menjadi tanda tanya. Oleh sebab itu, langkah yang proaktif dan progresif perlu diambil sebelum hal tersebut menjadi parah.

Kekurangan ilmu dan persediaan sebelum memiliki rumah dalam kalangan generasi muda dan pembeli rumah merupakan cabaran yang ketiga yang perlu diatasi. Hari ini masih ramai yang kurang faham tentang proses pembelian rumah. Kebiasaannya proses ini akan diterangkan oleh peguam semasa sesi menandatangani dokumen pembelian rumah dan dokumen pinjaman dengan institusi kewangan seperti bank. Akan tetapi, mereka kurang peka dalam memahami proses pembelian tersebut.

Sebagai pembeli, masyarakat perlu cakna tentang ilmu pembelian hartanah sebelum menandatangani sebarang perjanjian dan memahami tentang kesan perjanjian tersebut.

Jika pembeli tidak memahami proses pembelian rumah, hal ini akan memberikan kesan kepada pembeli pada masa akan datang berikutan kegagalan pembeli untuk melakukan pembayaran pinjaman bulanan. Terdapat juga segelintir masyarakat yang tidak sedar bahawa kegagalan dalam pembayaran pinjaman bank atau institusi kewangan yang memberikan pinjaman boleh melelong rumah tersebut. Oleh itu, kita sebagai pembeli perlu cakna tentang ilmu pembelian hartanah sebelum menandatangani sebarang perjanjian dan memahami tentang kesan perjanjian tersebut. Terdapat banyak sumber bagi mendapatkan ilmu pembelian rumah yang dipercayai sama ada dalam bentuk kursus secara online mahupun fizikal. Kebiasaanya kursus kewangan akan mengenakan bayaran kepada peserta. Percayalah bahawa pelaburan kecil ini mampu memberikan kemudahan dalam merancang untuk membeli rumah. Isu muflis pada usia muda mampu dielakkan sekiranya masyarakat peka dan membuat perancangan rapi dalam usaha untuk memiliki hartanah sendiri kelak.

Kesimpulannya, pembelian rumah bukanlah suatu proses yang mudah. Banyak cabaran yang perlu ditempuhi sebelum berjaya memiliki sebuah rumah. Hal ini berkaitan dengan jumlah pendapatan isi rumah, tawaran harga rumah yang terlalu tinggi dan kekurangan ilmu dalam pembelian hartanah dan rumah. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli aset kekal seperti rumah. Sekiranya tiada langkah atau inisiatif yang progresif diambil oleh seseorang individu sebelum memiliki rumah sendiri, maka impian akan selamanya menjadi impian. Tindakan awal perlu dilakukan kerana kita sedia maklum bahawa harga rumah semakin meningkat saban tahun. Selain itu, kerajaan juga perlu sama-sama menangani isu rumah tidak terjual dengan efektif dan efisien. Sekiranya isu ini dapat ditangani dengan baik oleh kerajaan, hal ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dengan memaksimumkan pembelian rumah dan dalam masa yang sama dapat mengelakkan sebarang projek perumahan terbengkalai kerana tiada pembeli.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.