Oleh Rashid Ating
5 April 2024, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 7 Oktober tahun lalu, Israel telah memulakan serangan ke atas bumi Palestin. Sebelum ini, beberapa siri serangan telah dilancarkan, namun serangan kali ini lebih lama berbanding dengan siri serangan sebelumnya. Umum mengetahui bahawa peperangan bukanlah sesuatu yang murah dan boleh dilakukan berkali-kali seperti melakukan transaksi import dan eksport komoditi utama negara terbabit. Peperangan memakan kos, berkemungkinan berlarutan selama beberapa bulan atau tahun, selain memakan korban nyawa dan harta benda.

Dianggarkan Israel telah membelanjakan sebanyak USD270 juta sehari semasa peperangan Israel-Palestin.

Israel memulakan perangnya ke atas Gaza dengan rizab perbendaharaan yang cukup banyak, iaitu berjumlah USD200 bilion di samping mendapat bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat. Amerika Syarikat sebagai pendukung utama Israel bukanlah satu kejanggalan jika tindakan Israel ini mendapat “restu” daripada negara tersebut sebagai kuasa utama dunia walaupun hampir semua negara lain di dunia menentang kekejaman Israel tersebut. Malah Presiden Amerika Syarikat sendiri, Joe Biden telah meluluskan pembelian senjata oleh Israel tanpa melalui Dewan Kongres.

Jika dihitung kos perbelanjaan perang ini, dianggarkan Israel telah membelanjakan sebanyak USD270 juta sehari. Selain itu, difahamkan Israel juga telah meminjam sebanyak USD8 bilion sejak 7 Oktober 2023. Memetik sumber daripada Kementerian Pertahanan Israel, walaupun dengan rizab perbendaharaan berjumlah USD200 bilion, hal ini berkemungkinan masih tidak mencukupi untuk menampung kos peperangan yang dijangka akan terus berlanjutan untuk beberapa bulan atau dalam jangka masa setahun.

Hakikatnya, serangan Israel ke atas Palestin telah memberikan kesan negatif terhadap Israel sendiri. Antara kesan yang paling ketara termasuklah 18 peratus daripada tenaga kerja telah dikerahkan ke medan peperangan sebagai tentera sehingga menyebabkan industri utama seperti teknologi kekurangan pekerja. Selain itu, projek pembinaan terpaksa dihentikan, sektor pertanian turut terganggu dan melalui kaji selidik yang dijalankan, satu daripada tiga kedai atau syarikat telah ditutup. Serangan ini telah mengurangkan tenaga kerja Israel dan memaksa perniagaan ditutup. Perniagaan tersebut terpaksa ditutup kerana kebanyakannya menggaji pekerja lelaki dalam sektor teknologi, pembinaan dan pertanian.Selain itu juga, Bank Pusat Israel berkata bahawa serangan yang dibuat terhadap Palestin telah terbukti lebih mahal daripada unjuran awal mereka.

Kesan serangan tersebut sebenarnya menyumbang kepada kadar pengangguran di Israel. Kos perbelanjaan peperangan yang kian melambung tinggi menyebabkan pendapatan semakin jatuh dan kos pinjaman semakin meningkat. Rajah 1 menunjukkan unjuran kadar pengganguran di Israel, bermula dari tahun 2014 hingga tahun 2025. Didapati bahawa kadar pengganguran di Israel berada dalam keadaan yang terkawal dengan kadar pengangguran kian menurun saban tahun, kecuali pada tahun 2020 dan 2021 apabila wabak COVID-19 melanda seluruh dunia. Walau bagaimanapun, kadar pengganguran pada dua tahun tersebut masih baik berbanding dengan negara lain yang menunjukkan bahawa Israel masih mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyatnya.

Rajah 1 memberikan kita gambaran tentang keadaan pengangguran semasa dan unjuran kadar pengangguran di Israel untuk dua tahun ke hadapan, sekiranya perang ini masih berlanjutan. Terdapat dua situasi, iaitu garisan berwarna oren menunjukkan kadar pengganguran di Israel kian menurun, merupakan kemungkinan pertama kerana sektor utama akan diisi oleh penduduk sedia ada dan mereka yang tidak dikerahkan untuk berperang. Hal ini akan menurunkan kadar pengangguran tersebut.

Situasi kedua merujuk garisan berwarna kuning yang menunjukkan kadar pengangguran yang semakin tinggi, iaitu mencapai 3.7 peratus pada tahun 2024 dan tahun seterusnya. Hal ini kerana kebanyakan lelaki dikerahkan ke medan pertempuran, sudah tentu banyak peluang pekerjaan terhidang dan tersedia akibat kerahan tenaga. Namun begitu, negara tersebut tidak mempunyai tenaga kerja yang berkelayakan dan berpengalaman sesuai dengan pekerjaan tersebut. Tambahan pula hanya golongan wanita, orang tua dan kanak-kanak yang tinggal. Pekerjaan yang melibatkan industri teknologi, pembinaan dan pertanian yang biasanya didominasi oleh kaum lelaki akan mengalami kekurangan tenaga kerja selepas tamat peperangan ini.

Sumber: Data Bank Dunia

Rajah 1 Unjuran kadar pengangguran di Israel semasa dan selepas peperangan.

Jika perang terus berlanjutan, Israel akan terus-menerus dan terpaksa membelanjakan USD$63 juta untuk menampung kos peperangan dan mempunyai pinjaman berjumlah USD$1.3 bilion (jangkaan peperangan tamat pada Mac 2024).

Ramai penganalisis menjangkakan Israel akan menerima kesan ekonomi yang tidak pernah dialami dalam beberapa dekad terdahulu. Dalam masa yang sama, komposisi atau struktur penduduk di Israel akan berubah yang menyaksikan kurangnya golongan lelaki yang berumur 20 hingga 40 tahun berbanding dengan negara lain di dunia. Hal ini akan mempengaruhi kurangnya kadar kelahiran pada masa akan datang dan piramid penduduk bagi negara Israel akan mengalami pengurangan pada bahagian lelaki (sebelah kiri). Bagi memulihkan semula Israel kepada keadaan asal seperti sebelum peperangan bermula memerlukan masa hampir 10 tahun dan hal ini sedikit banyak menjadi cabaran utama pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.