1 Mac 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) menjadi dasar baharu bagi ekonomi Bumiputera ketika menyampaikan ucap utama bagi pembukaan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang bermula pada 29 Februari hingga 2 Mac 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Menurut beliau,

TEB bakal menjadi dasar yang menjamin pelibatan dan hak Bumiputera dalam agenda ekonomi negara dan memastikan wujudnya sinergi dengan bukan Bumiputera. TEB menggariskan tiga matlamat utama, iaitu keadilan sosioekonomi; kemampanan negara bangsa; kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Tiga matlamat utama yang digariskan menuntut masyarakat majmuk bekerjasama untuk membangunkan negara. Selain itu, pelaksanaan TEB ini bertujuan bagi memadam penceritaan bahawa ekonomi negara dikuasai oleh golongan minoriti yang akhirnya menyebabkan berlakunya kesenjangan sosial. Situasi ini tidak sihat bagi sebuah negara yang telah melebihi enam dekad dibangunkan secara bersama.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika memberikan ucapan perasmian Kongres Ekonomi Bumiputera.

Beliau menambah bahawa kerajaan mahu memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasakan dan bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang ekonomi baharu.

Beliau turut mengusulkan agar Majlis Amanah Rakyat (MARA) diperkasakan untuk menyelaras, memantau dan membuat penilaian di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera. Beliau berkata,

Serentak dengan itu juga, Unit Pemerkasaan Bumiputera di kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) perlu diaktifkan semula agar penyelarasan dan pemantauan dapat dilakukan dengan berkesan.

Selain itu, beliau menekankan agar TEB dijadikan satu dasar besar yang merangsang pertumbuhan ekonomi bumiputera seterusnya mampu menarik pelaburan agar negara dapat membina landskap ekonomi yang kukuh dalam jangka masa panjang. Setiap perancangan yang dirangka untuk memperkasakan ekonomi bumiputera adalah sejajar dengan usaha mewujudkan pembangunan yang lebih adil dan merealisasikan landasan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh.

KEB mesti mencari solusi untuk lebih ramai usahawan bumiputera mengambil bahagian dalam kegiatan keusahawanan kerana keupayaan untuk menjana pendapatan secara berdikari akan membawa kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.