1 Mac 2024, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – “Penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera merupakan antara ikhtiar dalam usaha pemerkasaan bumiputera sebagai sokongan bagi dasar Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB).”

Demikian cadangan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucap tama beliau dalam Kongres Ekonomi Bumiputera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Cadangan tersebut bertujuan untuk mengekalkan pemilikan tanah bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharan identiti kebangsaan. Menurut beliau, perbadanan tersebut akan bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah bumiputera dimanfaatkan pada masa hadapan. Beliau berkata,

Disyorkan semua tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian atau lot perindustrian yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20 peratus daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada kerajaan dan ditadbir urus melalui perbadanan ini.

Selain itu, penubuhan perbadanan tersebut merupakan langkah proaktif bagi menjamin keseimbangan demografi kaum, mewujudkan kelangsungan kawasan bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu serta usaha tambahan bagi mengekalkan pemilikan bumiputera.

Menurut beliau lagi, “Saya percaya langkah ini dapat memberikan pulangan dan peluang yang lebih besar kepada golongan bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara.”

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera.

Beliau turut menambah bahawa setiap kawasan yang diusahakan diharapkan dapat memberikan manfaat kepada komuniti sekali gus mencipta kelestarian ekonomi yang berterusan melalui perancangan yang teliti dan strategik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.