Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jualan Gudang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan ulang tahun ke-68 DBP mendapat sambutan hangat daripada pengunjung pelbagai latar belakang.
Tinjauan JendelaDBP mendapati bahawa masyarakat pelbagai latar belakang tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke lokasi Jualan Gudang DBP yang bermula semalam hingga 3 Mac 2024. Orang ramai mulai mengunjungi lokasi jualan seawal pukul 9 pagi bagi mendapatkan produk DBP dengan diskaun istimewa.
Encik Yusof Halim yang ditemu bual dalam tinjauan tersebut berkongsi pandangan beliau bahawa melalui jualan ini, sedikit banyak membantu meringankan beban kewangan masyarakat bagi membuat persediaan sesi persekolahan pada tahun ini.
“Orang ramai kini terbeban dengan kesan kenaikan kos sara hidup. Saya sangat berharap agar DBP meneruskan jualan sebegini kerana kaedah ini dapat membantu orang ramai membuat persediaan persekolahan.”
Sementara itu, Muhammad Khairi Saad yang merupakan murid sekolah menengah berkata, dia berasa teruja untuk datang ke Jualan Gudang DBP untuk membeli bahan rujukan dan bahan bacaan pada harga yang murah.
“Saya berasa teruja apabila DBP membuat jualan seperti ini kerana dapat mengisi masa lapang saya dengan membaca buku yang dibeli, lebih-lebih lagi sekarang adalah musim cuti persekolahan.”
“Saya sangat meminati buku sastera, khususnya novel. Jualan Gudang DBP memberikan saya banyak pilihan untuk mendapatkan buku sastera yang saya minati pada harga yang berbaloi selain mendapatkan buku rujukan untuk tujuan pembelajaran.”
Puan Rajesh turut berkongsi pandangan yang sama. Beliau yang hadir seawal pagi di Kompleks DBP Hulu Kelang berasa teruja untuk mendapatkan bahan bacaan di Jualan Gudang DBP.
“Saya tiba awal pagi di Kompleks DBP ini kerana mahu membeli buku terbitan DBP. Keluarga saya dapat memperbaik dan meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu melalui pembacaan buku dan majalah terbitan DBP.”
Beliau merupakan sebahagian daripada ratusan pengunjung yang hadir di Kompleks DBP Hulu Kelang dan Anjung DBP yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan bahan bacaan bersempena dengan Jualan Gudang DBP.
Sementara itu, tinjauan JendelaDBP di Jualan Gudang DBP Cawangan Sabah juga tidak kurang meriahnya. Ibu bapa dilihat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan buku teks dan buku aktiviti untuk kegunaan sesi baharu persekolahan kelak.
Petugas Jualan Gudang DBP di DBP Cawangan Sabah, Encik Encik Mohd Fazrin Azli Jaimat ketika dihubungi menyatakan bahawa sambutan amat menggalakkan pada hari pertama jualan ini berlangsung. Beliau turut menyatakan bahawa DBP Cawangan Sabah turut tidak ketinggalan mengadakan aktiviti bagi menarik perhatian pengunjung yang datang ke Jualan Gudang DBP. Antara aktiviti yang diadakan termasuklah Peraduan Teka Berat dan Harga Buku serta Bersahabat dengan Kamus.
Beliau berharap agar pada hari yang berikutnya, sambutan pengunjung terhadap Jualan Gudang DBP akan lebih meriah kerana kadar diskaun yang ditawarkan pada kali ini amat berbaloi.