20 Februari 2024, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengaruh Gaji terhadap Produktiviti Pekerja

Rajah 4 Produktiviti tahunan dan nilai ditambah bagi setiap pekerja.

Dalam paparan produktiviti berasaskan nilai (RM) tersebut memperlihatkan nilai tambah per pekerja sebagai perbandingan yang lebih mudah. Nilai tambah per pekerja bagi tahun 2022 mencecah RM95,858, iaitu yang tertinggi sejak tahun 2015. Produktiviti meningkat sejak tahun 2015 (kecualikan tahun 2020-2021), tetapi impaknya ke atas gaji pekerja tidak ketara. Malah nilai tambah per pekerja pada tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada tahun sebelum pandemik, iaitu pada tahun 2019 (RM94,138) tetapi penengah gaji bulanan bagi tahun 2022 (RM2424) adalah lebih rendah berbanding pada tahun 2019 (RM2442). Secara jelas, hal ini menggambarkan satu paradoks yang menjurus pada nilai produktiviti oleh sisi permintaan (demand-side) majikan.

Kepincangan pasaran buruh Malaysia juga dirujuk kepada ketidakselarian gaji berbanding dengan produktiviti yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2018. Menurut BNM, berbanding dengan beberapa buah negara penanda aras, pada tahap produktiviti yang sama, gaji untuk pekerja Malaysia adalah lebih rendah. Yang lebih merisaukan ialah majikan di Malaysia berpandangan bahawa sejak tahun 2015 gaji telah meningkat melebihi perspektif kenaikan gaji oleh pekerja.

Rajah 5 Guna tenaga tidak penuh yang berkaitan dengan kemahiran bagi tahun 2016 hingga tahun 2022.

Sekali lagi punca gaji rendah bukan kerana produktiviti rendah tetapi lebih kepada sisi permintaan majikan di Malaysia. Produktiviti pekerja tidak mendapat gaji yang setimpal. Pasaran buruh di Malaysia tidak memberikan nilai dan ganjaran yang sewajarnya kepada produktiviti pekerja. Carta 2 selari dengan dapatan BNM ini. Guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran (underemployed by skills) semakin meningkat daripada 1.17 juta (2016) kepada 2.02 juta (2022) pekerja. Kumpulan ini bekerja tetapi tidak mendapat gaji yang setimpal dengan kelulusan mereka.

Kertas putih DGP juga melaporkan bahawa pada tahun 2022, hanya 83,070 pekerjaan berkemahiran (48,600 jawatan kosong dan 34,470 pewujudan pekerjaan baharu) yang wujud untuk diisi oleh 282,038 graduan yang dihasilkan. Hal tersebut memperlihatkan hampir 200,000 lebih rendah daripada bilangan graduan yang dihasilkan. Ekonomi negara tidak mencipta peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran atau produktiviti yang mencukupi. Sungguhpun negara mempunyai ruang untuk meningkatkan lagi produktiviti graduan dihasilkan, namun begitu adakah dengan kemahiran dan produktiviti yang lebih tinggi hasil daripada DGP, majikan bersedia membayar mereka dengan gaji yang lebih tinggi atau kerajaan yang bakal menanggung kenaikan tersebut?

Dana awam sewajarnya tidak menjadi titik noktah sebagai subsidi untuk majikan membayar gaji pekerja. Ekonomi hari ini tidak berada dalam krisis seperti pada era pandemik COVID-19. Aktiviti ekonomi negara semasa dilihat kurang mencipta peluang pekerjaan yang memerlukan pekerja berkemahiran. Permasalahan struktur inilah yang perlu ditangani khususnya kualiti majikan. Di samping projek rintis DGP yang akan dilaksanakan, Kementerian Ekonomi dan semua institusi awam yang berkaitan serta semua kepakaran perlu terus menganalisis dan mengadakan perbincangan yang rapi tentang punca gaji pekerja yang rendah.

Kertas Putih DGP yang telah dibentang mencadangkan agar pemberian subsidi yang diikat dengan komitmen meningkatkan produktiviti pekerja kepada kumpulan majikan yang terpilih, umumnya perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS). Penyertaan dalam projek rintis ini adalah secara sukarela. Intervensi kerajaan yang memerlukan peruntukan fiskal (anggaran pada tahun pertama sebanyak RM2 bilion hingga RM5 bilion) ini dicadangkan bagi menangani kadar gaji rendah yang dibayar kepada pekerja.

Di samping meningkatkan gaji, secara makro hal tersebut juga dijangka meningkatkan kadar pampasan pekerja (CE) daripada 32 peratus kepada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025. Pelan Ekonomi Madani mensasarkan CE 45 peratus menjelang tahun 2030. Kadar CE tertinggi (37.4 peratus) dicapai pada tahun 2020, kemudian jatuh berikutan krisis pandemik COVID-19. Kini, kadar CE ialah 32 peratus menyamai kadar CE pada tahun 2011. Malaysia mempunyai sekitar dua tahun untuk menaikkannya sebanyak 8.0 peratus dan hal ini merupakan satu cabaran yang besar. Adakah peningkatan produktiviti yang merupakan elemen penting pemberian subsidi upah dalam DGP akan menangani gaji pekerja yang rendah secara mampan?

Intipatinya, berbanding dengan beberapa negara yang setanding (penanda aras), pada tahap produktiviti yang sama, pekerja Malaysia memperoleh ganjaran yang lebih rendah. Sebagai contoh, dengan produktiviti yang sama untuk menghasilkan pengeluaran bernilai USD1000, pekerja di Malaysia dibayar USD340, sementara di negara setanding, pekerja dibayar USD510.80. Ganjaran yang rendah untuk produktiviti yang sama ini berlaku hampir dalam semua sektor utama pekerjaan.

Rumusannya, pasaran buruh di Malaysia tidak memberikan ganjaran yang sewajarnya terhadap peningkatan produktiviti. Gaji yang tidak setimpal dengan produktiviti pekerja. Peningkatan produktiviti adalah penting bagi memajukan negara. Namun sekiranya majikan tidak meletakkan nilai yang sewajarnya ke atas produktiviti, usaha peningkatan produktiviti berkemungkinan tidak mampu memberikan hasil yang diharapkan. Malah dalam jangka panjang, peningkatan produktiviti tidak lagi menjadi keutamaan dalam pembangunan kerjaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.