26 Januari 2024, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Antara pendekatan lain yang boleh dipertimbangkan untuk menerapkan prinsip psikologi dalam strategi pemasaran adalah seperti yang berikut:

Mengemukakan bukti sosial.

  • Bukti sosial ialah istilah yang digunakan untuk menerangkan prinsip psikologi bahawa manusia cenderung untuk meniru tindakan dan keputusan orang lain apabila mereka tidak pasti cara untuk bertindak. Dalam pemasaran, konsep ini digunakan untuk menggalakkan pelanggan berkongsi pengalaman positif mereka dengan perniagaan untuk menarik pelanggan baharu.
  • Cara paling biasa untuk mempraktikkan bukti sosial dalam perniagaan adalah dengan menunjukkan testimoni dan ulasan dalam media promosi dan halaman penyenaraian produk atau perkhidmatan. Strategi ini dianggap sangat berkesan memandangkan sebahagian besar pengguna lebih mempercayai ulasan pengguna lain berbanding dengan pengiklanan jenama.
  • Memandangkan pelanggan mempunyai suara yang kuat, perniagaan perlu berusaha untuk menerima pendapat mereka. Alatan seperti Mopinion, Feedier dan SurveyMonkey sangat berguna bagi mengumpul dan menganalisis maklum balas pelanggan. Dengan cara itu, perniagaan dapat  mengoptimumkan impak pelanggan sama ada untuk membina kesetiaan jenama atau mendapatkan pelanggan baharu.

Kesan umpan.

  • Contoh langkah ini adalah dengan mengemukakan pilihan ketiga untuk menukar pilihan pelanggan antara dua pilihan utama. Sebagai contoh, restoran makanan segera menawarkan tiga saiz minuman ringan dengan variasi harga yang kecil untuk mempengaruhi pelanggan memilih saiz terbesar. Strategi ini digunakan secara meluas oleh jenama terkenal untuk menghidupkan strategi harga mereka.
  • Asas kepada strategi ini terletak pada prinsip psikologi yang menyatakan bahawa manusia boleh mengawal keputusan yang dikehendakinya. Walaupun kelihatan terdapat pelbagai pilihan yang ditawarkan, muslihatnya adalah dengan menggoda pelanggan agar membeli produk atau perkhidmatan yang hendak ditonjolkan.
  • Terlalu banyak pilihan boleh mengelirukan bakal pelanggan. Selain itu, pilihan yang terlalu menarik juga boleh menggagalkan strategi. Hal ini kerana resam manusia yang sukakan pilihan yang sederhana. Pilihan yang terlalu menarik sering dikaitkan dengan harga yang mahal, manakala pilihan yang tidak jelas selalunya dikaitkan dengan kualiti yang rendah.

Menghadirkan kepercayaan.

  • Dalam pemasaran, detik yang paling membahagiakan adalah apabila pengguna berkata ya. Hal ini kerana perkataan keramat itu menjadi lampu hijau yang membawa pengguna ke gerbang perniagaan. Strategi pemasaran yang digunakan ialah merangkaikan persetujuan. Strategi ini memanfaatkan prinsip psikologi yang menyatakan bahawa manusia suka melihat perkara yang kecil sebelum beralih kepada perkara yang lebih besar. Keyakinan untuk beralih muncul setelah melihat potensi dan keberkesanan yang dipamer atau dipaparkan.
  • Hari ini, banyak perniagaan menggunakan media sosial dengan cara menghangatkan khalayak melalui iklan sosial, meminta mereka mengambil tindakan kecil seperti menonton video atau mendaftar yang secara tidak langsung memupuk kepercayaan antara khalayak dengan jenama tersebut. Hal ini secara beransur-ansur membuka pintu kepada jualan.

Sebagai kesimpulan, pemasaran adalah payung yang menaungi hampir semua taktik etika yang digunakan untuk membina dan mengekalkan hubungan antara pembeli dengan penjual. Adapun psikologi pemasaran cuba memahami cara pengguna berfikir, merasai, menaakul dan membuat keputusan. Dengan memahami kecenderungan pengguna, iaitu tentang apa-apa yang mereka suka dan tidak suka, apa-apa yang mereka mahu dan tidak mahu, dan apa-apa yang mereka perlukan dan tidak diperlukan, maka perniagaan akan memperoleh idea yang lengkap dan realistik tentang jenis mesej pemasaran yang akan dilontarkan.

Kewujudan penerapan psikologi dalam pemasaran membolehkan matlamat pemasaran  menjadi lebih kukuh dan meyakinkan. Hal ini kerana melalui pembelajaran tingkah laku dan emosi manusia, peluang perniagaan dapat diteroka dengan lebih meluas dan pada masa yang sama dapat mengekalkan hubungan dengan pelanggan untuk jangka masa panjang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.