Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKecerdasan buatan (AI) merujuk kemampuan mesin atau komputer untuk melakukan tugas yang biasanya memerlukan tenaga manusia untuk beroperasi. AI meliputi pelbagai jenis teknologi dan kaedah yang dirancang untuk menghasilkan mesin yang dapat berfungsi dan menghasilkan output yang dikehendaki.
AI telah membawa perubahan besar dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), iaitu suatu era digital yang sangat berhubung kait dengan internet benda (IoTs), robotik, sambungan data yang mewarnai sistem teknologi maklumat dan komunikasi terkini. Era digital memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia sama ada dalam sektor pekerjaan atau aspek kehidupan yang lain. Meskipun membawa kemajuan teknologi yang luar biasa, penggunaan AI turut menimbulkan kebimbangan tentang risiko kehilangan pekerjaan termasuklah sektor pembuatan, perkilangan, perniagaan, keselamatan dan lain-lain.
Transformasi Teknologi dalam Pasaran Tenaga Kerja
Perkembangan teknologi khususnya AI telah membawa perubahan besar dalam cara kerja manusia melibatkan pelbagai sektor ekonomi, perniagaan, pendidikan dan kesihatan. Peningkatan efisiensi, produktiviti dan penyesuaian yang cepat menjadi fokus utama bagi organisasi yang menerapkan teknologi AI dalam setiap urusan kerja organisasi tersebut.
Kemampuan AI dalam menganalisis maklumat dari data yang besar memberi kelebihan dan mempengaruhi urusan dalam membuat keputusan yang berasaskan data. Asas analisis yang mendalam membolehkan organisasi membuat keputusan yang lebih baik dalam menentukan kaedah pemasaran, pembuatan dan penambahbaikan produk yang dihasilkan.
Percambahan teknologi pesat AI dengan penggunaannya yang sangat meluas dalam industri dewasa ini sedikit sebanyak mempengaruhi modus operandi syarikat dan dapat mengurangkan kos upah pekerja yang telah diambil alih oleh AI. AI dilihat lebih cekap dan efisien menyebabkan berlakunya pengurangan pengambilan pekerja yang sangat ketara.
Faktor Penyumbang ke Arah Kehilangan Pekerjaan
Tugasan Berulang – Pekerjaan rutin dan berulang dalam industri seperti pengeluaran, perkilangan, perbankan dan perkhidmatan pelanggan dapat digantikan oleh teknologi AI yang mampu melaksanakan tugas tersebut dengan lebih cepat dan sempurna selain mampu mengurangkan faktor kesilapan manusia. Secara tidak langsung, peranan pegawai semakan kualiti (QC) dapat dikurangkan.
Pembelajaran Mesin Canggih – Kemampuan AI untuk belajar dan mengenal pasti data dan pengalaman menyebabkan ia mampu untuk melaksanakan tugas yang sebelumnya memerlukan kehadiran manusia untuk mengendalikannya. Pengeluaran dan penyampaian produk serta perkhidmatan dapat ditingkatkan. Hal ini membolehkan peningkatan kualiti pengeluaran dengan tahap konsistensi yang tinggi.
Peningkatan Kecerdasan Robotik – Robot dan sistem mekanikal yang dijalankan oleh AI dapat mengambil alih pekerjaan fizikal. Peningkatan penggunaan robot dalam industri perniagaan makanan misalnya membolehkan makanan yang dipesan dihantar tepat ke meja pelanggan pada masa yang singkat tanpa bantuan tenaga manusia. Penggunaan robot yang meluas dalam industri pembuatan dan pemasangan kenderaan, perkilangan, dan pembungkusan telah mengurangkan pergantungan terhadap pemain industri terhadap tenaga buruh tanpa menjejaskan pengeluaran produk masing-masing.
Keselamatan dan kesihatan pekerjaan – Penggunaan robot dan AI juga dapat membantu melaksanakan tugas yang berbahaya atau berisiko tinggi yang dapat mengurangkan faktor kecederaan dan juga risiko keselamatan pekerja. Tugas penyelenggaraan bangunan, mengesan kebocoran paip dan gas berbahaya dalam kilang merupakan contoh peranan AI yang mengambil alih tugas berisiko pekerja dan mengurangkan isu keselamatan dan kesihatan pekerja. AI juga mampu mengurangkan risiko kemalangan pengguna jalan raya dengan menggabung penggunaan sensor bagi mengesan awal risiko berlaku kemalangan dan mengawal kenderaan secara automatik.
Kesan AI terhadap Sosioekonomi
Kehilangan pekerjaan akibat AI boleh menjadi punca ketidakstabilan sosioekonomi yang signifikan. Pengangguran yang meningkat akibat perubahan dalam struktur pasaran tenaga kerja dan penguncupan sumber pendapatan yang lebih besar adalah antara cabaran yang timbul akibat transformasi ini. Hal ini akan memberi impak besar terhadap penamatan khidmat pekerja, mewujudkan persaingan yang sengit dalam mendapatkan pekerjaan dan natijahnya, akan berlaku peningkatan kadar inflasi mendadak akibat status sosioekonomi keluarga yang mengecil. Impak ini memberikan cabaran besar kepada bakal graduan dan boleh menjejaskan peluang tenaga mahir dan separa mahir negara bagi mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.
Penyelesaian dan Perspektif Masa Depan
Pendidikan dan pembangunan semula kemahiran menjadi perkara penting bagi pekerja yang terjejas. Penekanan terhadap kemahiran digital, kepimpinan, dan kreativiti dapat membantu pekerja beradaptasi dengan perubahan ini. Para graduan perlu bersedia meningkatkan kemahiran sedia ada serta mempelajari perkara baru yang sesuai dengan perkembangan teknologi kini untuk diserap masuk dalam sektor pekerjaan dalam industri.
Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan pra-sekolah hingga lepasan menengah) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan tinggi) yang telah dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi, yang antaranya termasuklah mengubah kerangka pemikiran pelajar daripada mencari pekerjaan kepada menjana pekerjaan dengan minda keusahawanan, sedikit sebanyak dapat mengatasi transformasi ini. Kini, terdapat banyak institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) awam dan swasta yang menawarkan pendidikan secara Pendidikan Berasaskan Hasil dalam kalangan pelajar agar mereka mampu memberikan tumpuan terhadap keberhasilan berbanding dengan input yang diberikan oleh pensyarah semata-mata.
Transformasi ini juga mencipta peluang baharu dalam bidang tertentu termasuklah pengembangan teknologi AI, analisis data serta perkhidmatan berdasarkan AI yang memerlukan interaksi manusia. Kemampuan individu untuk menguasai teknologi ini membolehkan mereka berada seiring dengan pemain industri dan dapat bersaing dan memenuhi permintaan tinggi di pasaran industri dalam dan luar negara
Regulasi dan garis panduan yang realistik dan dinamis perlu dibangunkan oleh semua pemain industri untuk memastikan penggunaan AI yang bertanggungjawab, beretika, mengutamakan keselamatan pekerja dan seterusnya dapat membina masyarakat yang berinovasi dengan nilai integriti dan jati diri yang tinggi.
Artikel ini menggariskan kompleksiti kehilangan pekerjaan akibat AI dan menekankan perlunya kajian dan tindakan yang bijak untuk mengelakkan kemungkinan kesan negatif yang besar pada pasaran tenaga kerja global.