1 Mac 2024, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kredit foto: Adib Zulkifli

Cyberjaya – “Malaysia hakikatnya masih mempunyai asas cukai yang rendah, iaitu sekitar 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), berbanding dengan negara jiran lain termasuklah Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).

Bilangan syarikat yang membayar cukai juga masih rendah, iaitu sekitar 435 000 syarikat berbanding dengan 1.5 juta syarikat yang berdaftar di Malaysia. Hal ini bermakna kurang daripada daripada 29 peratus syarikat berdaftar yang membayar cukai.”

Demikian ucapan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan Sambutan Hari Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) ke-28 di Dewan Bangsawan, Menara HASiL pada pagi ini.

Dari kiri, Timbalan Menteri Kewangan, YB Puan Lim Hui Ying, Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,  YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga LHDNM, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaludin.

Walau bagaimanapun, tambah beliau lagi HASiL melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang sedang dilaksanakan telah menerima 68 806 kes pengisytiharan sukarela setakat 15 Februari 2024 berjumlah RM610.62 juta daripada pembayar cukai baharu dan sedia ada.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Peningkatan hasil dari usaha Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM) telah membantu menambah baik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang telah digandakan bayarannya, berikutan peningkatan jumlah penerimanya daripada 210 000 kepada 700 000 orang pada tahun lalu,” jelas beliau.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaludin dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa selepas 28 tahun penubuhannya, HASiL telah mencapai beberapa kejayaan termasuklah diiktiraf sebagai pemenang anugerah Most Impactful Public Sector Agency Driving Digital Adoption bagi sistem MyTax dan Anugerah Emas bagi Integriti, Governans dan Antirasuah 2023 oleh Insititut Integriti Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaludin

Beliau berkata, “Walau apa-apapun kejayaan yang dicapai, Hasilian tidak alpa dan selesa, sebaliknya terus merangka strategi bagi memastikan sasaran kutipan cukai negara, iaitu sebanyak RM197 bilion dapat dicapai. Tumpuan akan diberikan kepada isu tertentu termasuklah ketirisan cukai melibatkan individu yang mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai (high net worth individuals), pendapatan dari Malaysia yang disimpan di dalam akaun luar negara yang belum dilapor, transaksi rentas sempadan, harga pindahan domestik, aktiviti atas talian dan kes-kes ekonomi bayangan. Pelaksanaan e-invois juga adalah inisiatif utama HASiL bagi tahun 2024.”

Turut hadir dalam majlis Sambutan Hari (HASiL) ke-28 termasuklah Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan, YB Puan Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga LHDNM, Datuk Johan Mahmood Merican, Anggota Lembaga LHDNM, Timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, dan Pengarah Jabatan dan Negeri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.