25 Februari 2024, 18:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Saya banyak menggunakan buku dan bahan bacaan untuk saya dan anak-anak sebagai alat biblioterapi bagi membentuk pemikiran dan memberikan kefahaman kepada anak-anak dan keluarga terhadap isu tertentu.”

“Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan jualan yang menawarkan diskaun yang tinggi, saya tidak akan melepaskan peluang untuk membawa anak-anak dan keluarga kerana pada waktu inilah saya dapat membeli lebih banyak buku untuk dijadikan bahan rujukan dan bacaan tambahan keluarga saya di rumah.”

Demikian ulasan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Pustaka Negeri Sarawak, Tuan Haji Japri Bujang Masli ketika ditemu bual dalam tinjauan JendelaDBP di lokasi Jualan Gudang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di DBP Cawangan Sarawak.

Pengunjung cilik Jualan Gudang DBP di DBP Cawangan Sarawak mengambil peluang dalam aktiviti Program Bacaan Buku terbitan DBP.

DBP Cawangan Sarawak merupakan satu daripada lokasi berlangsungnya Jualan Gudang DBP bersempena dengan ulang tahun ke-68 DBP. Menariknya, DBP Cawangan Sarawak juga mengambil inisiatif dengan mengadakan aktiviti sampingan sebagai daya penarik bagi pengunjung yang datang ke jualan gudang yang diadakan di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak. Antara aktiviti yang dianjurkan termasuklah pameran buku, Peraduan Teka Nilai Buku dan Program Bacaan Buku terbitan DBP.

Dalam tinjauan ini juga, JendelaDBP sempat menemu bual Puan Asiah Abdullah yang tidak pernah gagal menemukan buku terbitan DBP yang berkaitan dengan bidang tugasnya.

Puan Asiah Abdullah.

Ini merupakan kali ketiga saya mengunjungi Jualan Gudang DBP. Biasanya saya tidak melepaskan peluang untuk membeli majalah terbitan DBP dan buku yang berkaitan dengan bidang tugas saya, iaitu radiografi. Agak sukar untuk mendapatkan buku dalam bidang ini. Tahun ini, seperti tahun sebelumnya saya berjaya mendapatkan buku yang berkaitan dengannya.

Tidak terkecuali juga Encik Khairi Yuslimin Yusuf yang menyatakan keterujaannya dengan Jualan Gudang DBP berkata, “Saya amat menanti-nantikan Jualan Gudang DBP kerana pada waktu inilah saya boleh mendapatkan buku-buku terbitan DBP dengan potongan harga yang tinggi.”

Encik Khairi Yuslimin Yusuf yang berasal dari Pahang tidak melepaskan peluang mendapatkan buku terbitan DBP dalam Jualan Gudang DBP di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak.

Untuk rekod, Jualan Gudang DBP yang bermula pada 23 Februari 2024 hingga 3 Mac 2024 berlangsung di lima lokasi utama, iaitu Kompleks DBP Hulu Kelang, Anjung DBP di Menara DBP, DBP Cawangan Sabah di Kota Kinabalu, DBP Cawangan Sarawak di Kuching dan DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.