19 Februari 2024, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dasar Gaji Progresif (DGP) menjadi antara inisiatif reformasi utama yang dicadangkan oleh kerajaan. Kertas Putih DGP telah dibentangkan di Parlimen. Satu projek rintis akan dilaksanakan bagi mendalami pengoperasian dan keberhasilan DGP sebelum DGP diangkat sebagai dasar baharu negara. Seawal bulan Disember 2023, Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli telah memberikan penjelasan ringkas tentang DGP dalam perkongsian santai beliau bersempena dengan ulang tahun pertama Kerajaan Perpaduan. Beliau turut mengumumkan perancangan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing berdasarkan jadual mulai tahun 2024.

Pada awal tahun 2024 memperlihatkan bahawa inisiatif kerajaan dalam melaksanakan reformasi pasaran buruh. Pada dasarnya, gaji dan upah bulanan pekerja di Malaysia adalah rendah. Penengah gaji bulanan bagi tahun 2022 hanya RM2424. Kerjaan telah melaksanakan reformasi yang sangat baik bagi menyelesaikan isu ini,  namun penggubal dasar perlu berhati-hati dalam menentukan tatacaranya agar hal tersebut berkesan untuk menangani punca masalah dan tidak mendatangkan akibat yang tidak diingini sehingga menimbulkan permasalahan atau bebanan baru.

Permasalahan yang dihadapi perlu difahami puncanya dan perlu sejajar dengan dasar makro yang lain sebelum diterima sebagai satu dasar baharu. YB Menteri Ekonomi bersama-sama jabatan yang berkaitan harus mengambil pendekatan pelaksanaan projek rintis, satu eksperimentasi untuk menilai dan memahami dengan lebih mendalam pengoperasian dan keberhasilan DGP sekiranya dilaksanakan kelak. Beliau juga juga amat mengalu-alukan pandangan daripada pelbagai pihak bagi menjayakan reformasi tersebut.

Rajah 1 Jumlah pekerja mengikut kumpulan gaji pada bulan Mac 2023.

Penelitian terhadap Bab 1 Kertas Putih DGP (KP) ada menjelaskan bahawa status penggajian dan pasaran buruh di Malaysia. Fakta ini seharusnya menjurus kepada DGP sebagai penyelesaian kepada isu gaji yang rendah. Hal ini memerlukan ketelitian dalam membandingkan penengah gaji bulanan pekerja dengan penengah pendapatan isi rumah. Agak mengejutkan apabila didapati bahawa sebanyak lebih tiga juta pekerja menerima gaji kurang dari penengah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), iaitu sebanyak RM2589.

Namun begitu, dua angka ekonomi ini tidak boleh dibandingkan secara langsung. PGK merujuk pendapatan isi rumah. Gaji pula merupakan subset kepada pendapatan. Takrifan yang lebih luas bermaksud PGK merangkumi pendapatan daripada gaji, pendapatan bekerja sendiri, harta dan pelaburan dan juga pindahan yang diterima. Hal ini juga merujuk isi rumah (3.8 orang) dan bukannya seorang pekerja. Oleh sebab itu, penengah pendapatan isi rumah pada tahun 2022 ialah RM6338, iaitu sekitar 2.6 kali ganda lebih besar daripada penengah gaji bulanan, iaitu RM2424. Pendapatan melebihi PGK belum menjamin keselesaan, namun belum berada dalam kategori miskin.

Rajah 2 Perbandingan gaji penengah berdasarkan kategori kemahiran bagi tahun 2010 hingga 2022.

Dengan gaji penengah bagi tahun 2022 sebanyak RM2424 sangat jelas berlaku herotan bagi kumpulan berpendapatan sederhana rendah ke bawah atau kumpulan pekerja separa mahir dan tidak mahir (KP: m.s. 7, Carta 5). Berbanding dengan kumpulan pekerja mahir, gaji mereka naik dengan kadar yang perlahan, seolah-olah malar.  Fokus DGP semestinya bagi kumpulan ini. Tidak dinafikan bahawa produktiviti yang tinggi penting untuk daya saing negara. Namun begitu, adakah produktiviti (bahagian bekalan, faktor kualiti pekerja) merupakan punca gaji rendah?

Rajah 3 Produktiviti buruh bagi setiap pekerja pada tahun 2016 hingga tahun 2022.

Status pasaran buruh yang dijelaskan dalam KP menjurus kepada cadangan DGP untuk kerajaan memberikan subsidi gaji kepada majikan yang diikat dengan komitmen bagi meningkatkan produktiviti sebagai penyelesaian untuk meningkatkan gaji pekerja. Carta 1 mempamerkan kadar pertumbuhan produktiviti buruh sejak 2016. Pertumbuhan produktiviti bagi tahun 2020 hingga tahun 2021 (-5.3 peratus dan 2.0 peratus) perlu ditakrif dengan berhati-hatii kerana negara menghadapi pandemik COVID-19 ketika itu. Pertumbuhan pada 2022 yang melonjak 5.4 peratus turut dipengaruhi oleh asas yang rendah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.