Oleh G. Manimaran
1 Februari 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Transformasi Bandaraya Kuala Lumpur

Pada tahun 1910, penduduk Kuala Lumpur hanya sekitar 45 600 orang. Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada 261 500 orang ketika negara mencapai kemerdekaan. Pada hari ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdiri daripada sekitar dua juta orang. Selari dengan peningkatan penduduk, bilangan kemudahan awam dan bangunan sama ada komersial dan bukan komersial, turut merekodkan peningkatan yang amat menakjubkan. Hal ini sekali gus memenuhi pengisian statusnya sebagai sebuah Wilayah Persekutuan pertama di Malaysia.

Selain itu, perlu diakui bahawa kewujudan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga telah menjadi model kepada kelahiran dua Wilayah Persekutuan, iaitu Labuan dan kemudian Putrajaya, yang sejak lebih dua dekad telah memainkan fungsinya sebagai Pusat Pentadbiran Persekutuan yang baharu bagi menggantikan Kuala Lumpur.

Kelahiran Wilayah Persekutuan Putrajaya sebenarnya telah mengurangkan tekanan pembangunan dan beban kesesakan dan pertambahan penduduk di Kuala Lumpur.  Sungguhpun demikian, pembentukan Wilayah Persekutuan Putrajaya tidak menggugat status Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan pusat komersial utama negara serta kunci penghubung kepada pelbagai destinasi dunia.

Tidak seperti kebanyakan teras bandar, Bandaraya Kuala Lumpur terus mengalami pertumbuhan penduduk dengan kukuh. Sejak 1980, menurut penulis Wendell Cox, Kuala Lumpur telah mengalami pertambahan penduduk sebanyak 77 peratus. Perkembangan ini turut diperlihatkan dari segi pertambahan jumlah kerusi parlimen. Pada pilihan raya umum pertama pada tahun 1974 yang diadakan empat bulan selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibentuk, hanya terdapat lima kerusi parlimen. Jumlah tersebut meningkat kepada 11 kerusi pada hari ini. Ciri ini dengan sendiri menggambarkan kedudukan kemajuan dari segi bilangan penduduk dan pembangunan serta infrastruktur yang wujud di Wilayah Persekutuan.

Peralihan daripada premis satu tingkat yang dibina menggunakan atap zink dan bertumpu di sepanjang kawasan persimpangan Sungai Kelang dan Sungai Gombak, kini Kuala Lumpur sudah berubah wajah dengan amat ketara. Daripada jalan kecil tanpa panduan dan kawalan manusia dan elektronik, kini jalan di ibu negara sudah dilebarkan dan banyak jalan sehala diwujudkan selari dengan tujuan untuk menangani isu kesesakan lalu lintas. Fasiliti cahaya turut sentiasa menghidupkan dan menceriakan Kuala Lumpur.

Kemajuan prasarana dan bangunan yang mengagumkan menarik perhatian dunia terhadap Malaysia.

Perubahan prasarana dan bangunan yang mengagumkan dan menakjubkan turut menarik perhatian dunia terhadap Malaysia. Hari ini, Kuala Lumpur megah dengan Menara Merdeka yang terdiri daripada 118 tingkat. Bangunan terbaharu lagi canggih ini berdiri gah di lokasi bersejarah yang pernah merakamkan laungan kemerdekaan di bawah pimpinan Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Menara kedua tertinggi dunia ini merupakan satu lagi cerminan pembangunan pesat Kuala Lumpur. Kewujudannya bakal menjadi daya tarikan utama pengunjung ke ibu negara. Sebelum ini Kuala Lumpur telah pun diindahkan dengan kemunculan Menara Kuala Lumpur yang dibina pada tahun 1993 dan Menara Kembar Petronas tiga dekad lalu. Menurut portal Kuala Lumpur City, Kuala Lumpur merupakan salah satu bandar di dunia yang dibangunkan dengan bangunan tinggi dan pencakar langit.

Majoriti bangunan terbabit terletak di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Segitiga Emas dan Mont Kiara. Selain itu, Kuala Lumpur juga mewarisi banyak lagi bangunan yang turut menggambarkan kemegahan pembangunan dari pelbagai sudut sejak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melangkah ke usia 50 tahun. Dalam usaha menyahut keperluan sebagai pusat pentadbiran, di Kuala Lumpur turut terdapat Istana Negara baharu yang mencerminkan budaya dan adat istiadat di Malaysia. Pembangunannya turut menjadi satu lagi mercu tanda bagi Malaysia.

Rekod sejarah menunjukkan bahawa keunggulan Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan telah mulai berkembang sejak usaha perlombongan bijih pada tahun 1857. Rentetan daripada itu, Kuala Lumpur telah membangun secara perlahan-lahan sehingga mencapai taraf dunia yang disaksikan pada masa sekarang dengan terbentuknya Wilayah Persekutuan. Tidak dapat dinafikan bahawa kedudukan ekonomi yang kukuh turut memberikan impak yang besar terhadap pembangunan ibu negara.

Walaupun fungsi pentadbiran persekutuan sudah beralih ke Putrajaya, namun Kuala Lumpur sebagai nadi aktiviti ekonomi bagi Malaysia kekal segar dan kukuh. Hab perdagangan dalam talian kekal mengisi kemajuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Zon perindustrian fizikal yang menghiasi kawasan pinggir Kuala Lumpur telah beralih ke bandar bersebelahan termasuklah Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya serta Cyberjaya. Statistik pada tahun 2022 menunjukkan bahawa sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dianggarkan sebanyak RM239.8 bilion. KDNK per kapita pula dianggarkan mencatatkan lebih RM130,000. Ibu negara ini juga mencatatkan skor Indeks Kebahagiaan yang tertinggi.

Dari sudut infrastruktur jalanan, kepesatan pembangunan dan kepadatan pergerakan manusia turut menyumbang kepada kewujudan siri lebuh raya. Terkini, lebuh raya mega bertingkat yang turut menghubungkan keseluruhan bandar utama di Lembah Klang turut dapat dilihat di Bandaraya Kuala Lumpur. Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang beroperasi sejak Oktober 2022 merupakan lebuh raya pertama di Malaysia yang berbumbung yang secara langsung memperlihatkan panorama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kepesatan ekonomi telah memberikan kesan besar terhadap aspek pengangkutan.

Pada masa yang sama, kepesatan ekonomi telah memberikan kesan besar terhadap aspek pengangkutan. Dari zaman lanca dan beca sehinggalah kepada sistem transit aliran ringan (LRT), KLIA Ekspres yang menghubungkan ibu negara dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang menyediakan kemudahan pengurusan banjir dan pada masa yang sama menjadi laluan alternatif masuk dan keluar Kuala Lumpur, dan sistem transit pantas MASSA (MRT) yang menghubungkan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya. Kemudahan komuter, monorel dan pelbagai kemudahan lain disediakan demi keselesaan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan para pelancong. Perkembangan positif ini telah memacu negara menjadi satu daripada kuasa ekonomi yang disegani di rantau ini.

Perkembangan Semasa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Di sebalik keunggulan Kuala Lumpur dek pembangunan dan pentadbiran,  Kuala Lumpur juga telah merakamkan pelbagai peristiwa suka duka dalam lipatan sejarah negara. Pada 28 Julai 1978, Wilayah Persekutuan telah diletakkan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Selepas setahun kementerian itu dimasuhkan, keperluan kementerian khusus kembali ketika rombakan Jemaah Menteri pada awal Disember 2023. Keputusan mengembalikan Kementerian Wilayah Persekutuan menunjukkan kepentingan dan signifikannya Wilayah Persekutuan dalam arus pembangunan negara. Sudah tentu hal tersebut perlu bagi memastikan kesinambungan pembangunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut A.T. Kearney, Kuala Lumpur lazimnya dilaporkan atau akan muncul sebagai antara 10 bandar raya utama di rantau Asia. Kuala Lumpur menduduki tangga keenam sebagai bandar raya paling dikunjungi oleh pelancong sepanjang tahun lalu. Fakta laman web Travelness itu berdasarkan Indeks Bandar Destinasi Global hasil kajian oleh Mastercard yang menyenaraikan bandar raya berdasarkan jumlah ketibaan pelawat semalaman antarabangsa dan perbelanjaan rentas sempadan.

Sebanyak 13.79 juta pengunjung dari seluruh dunia telah melawat Kuala Lumpur sepanjang tahun 2023. Kuala Lumpur bukan sahaja berkongsi landskap budaya rakyat Malaysia, malah menyumbang kepada keseluruhan pembangunan dan rantaian kemakmuran negara. Tempias impak dan kesan positif turut dirasai oleh pelbagai negeri dan wilayah di luar Kuala Lumpur. Kuala Lumpur disenaraikan sebagai bandar yang lebih baik berbanding dengan beberapa bandar raya terkenal dunia.  Pengiktirafan oleh majalah Time Out itu menyenaraikan 53 bandar terbaik di dunia bagi tahun 2022, dan Kuala Lumpur menduduki tempat ke-33 sebagai bandar terbaik.

Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang dilancarkan pada November lalu oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat bukan sahaja memberikan tumpuan untuk memacu ekonomi dan sektor awam tetapi juga menekankan terhadap kesejahteraan rakyat. Pelan ini disediakan mengikut Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Agenda Bandar Baharu bagi memastikan Kuala Lumpur memenuhi keperluan hari ini dan masa hadapan. Pelan yang menggantikan PSKL2020 itu menekankan aspek ekonomi, sosial, alam sekitar dan budaya melalui enam matlamat utama.

Ironinya, Kuala Lumpur telah berkembang maju dan akan terus mengalami kemajuan pesat. Arus pembangunan selama ini tidak terlepas daripada siri cabaran dan isu. Lebih-lebih lagi selepas Pusat Pentadbiran Persekutuan berpindah ke Putrajaya dan kewujudan hab koridor multimedia Cyberjaya serta impak pandemik COVID-19 empat tahun lalu. Pakar perancangan perlu memberikan suntikan lebih membina dalam mempertahankan roh sebenar ibu negara yang sewajarnya perlu membawa pembangunan berimbang di samping mengekalkan warisan Kuala Lumpur. Kita wajar mempertahankan roh dan jiwa sebenar Kuala Lumpur untuk kekal sebagai “KL yang gemilang” untuk semua.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.