Oleh G. Manimaran
1 Februari 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada pertengahan tahun 1990, selaku wartawan pelatih, saya telah berpeluang membuat liputan sidang media Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, Tan Sri Elyas Omar. Pada pertemuan itu, Tan Sri Elyas telah berkongsi impian besar beliau terhadap masa hadapan pembangunan Kuala Lumpur sambil menekankan harapan akan ada sokongan padu secara berterusan daripada setiap pemegang taruh tanpa mengira lapisan, kedudukan dan sektor. Mesej beliau amat jelas. Majoriti warga Kuala Lumpur datang ke ibu negara untuk mencari rezeki. Kuala Lumpur menjadi hab kepada semua. Maka, dokongan mereka dalam pelbagai cara amat penting untuk terus menghidupkan Kuala Lumpur. Pada saat itu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baharu berusia 16 tahun. Hari ini nadi pembangunan negara mencecah usia lima dasawarsa.

Sehingga hari ini Kuala Lumpur kekal sebagai pusat mencari rezeki. Kedudukannya sebagai pusat aktiviti ekonomi, nadi pembangunan dan pusat pentadbiran membolehkan Kuala Lumpur terus megah sebagai tempat bergantung hidup dan menjana pendapatan bagi setiap individu dan entiti, bukan sahaja bagi rakyat tempatan, malah warga asing yang datang dalam pelbagai rupa, iaitu pemodal, pelabur dan tenaga kerja.

Bertitik tolak daripada hanya sebuah pekan kecil, hari ini Kuala Lumpur muncul sebagai antara bandar raya utama, moden dan sibuk di dunia. Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar raya bertaraf dunia dan memiliki semua ciri untuk diiktiraf sebagai sebuah bandar raya antarabangsa. Kuala Lumpur menjadi ibu negara yang tidak pernah “rehat” daripada pergerakan manusia dan kenderaan. Hal ini kerana Bandaraya Kuala Lumpur menjadi tumpuan rakyat dari setiap pelosok Malaysia. Pada masa yang sama, gelombang pembangunan berterusan dengan bangunan pencakar langit terus mengisi setiap sayap ibu negara. Jalan raya di ibu negara diperbesar dan dilebarkan bagi memenuhi keperluan semasa. Pembinaan prasarana tidak pernah terhenti di Kuala Lumpur tidak pernah berhenti.

Jubli Emas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Tahun ini Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meraikan ulang tahunnya yang ke-50. Memetik ucapan Perdana Menteri pada ketika itu, iaitu Tun Abdul Razak Hussein dalam ucapannya semasa upacara meletakkan batu asas Tugu Peringatan Pusat Asal Kuala Lumpur pada 1 Februari 1974 berkata,

“Pagi tadi istiadat menandatangani Perjanjian Kuala Lumpur sudah pun disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dengan disaksikan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Gabenor-gabenor dan Yang Dipertua Negara Sabah, diikuti dengan Perisytiharan Kuala Lumpur yang menandakan tertubuhnya Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur). Pada upacara ini, barang kali elok juga saya sebutkan sedikit asal-usul sejarah Kuala Lumpur ini semenjak Raja Abdullah, adik kepada Raja Jumaat Lukut yang terkenal itu, mula sampai ke tempat ini pada 118 tahun yang lalu.”

Menurut beliau lagi, berdasarkan riwayatnya, rombongan Raja AbduIlah yang terdiri daripada kurang lebih 87 orang pekerja Cina telah mudik ke Sungai Kelang dan kebetulan memilih persimpangan Sungai Kelang dan Sungai Gombak untuk dijadikan pangkalan perahu bagi tujuan pembukaan lombong bijih di tempat yang kini dipanggil sebagai Ampang. Kejayaan lombong bijih ini menarik lebih ramai orang Melayu dari Sumatera, iaitu dari Mendeling, Rawa, Bangkahulu dan Batu Bara datang membuka kampung di sekitar tempat tersebut. Lama-kelamaan pangkalan itu menjadi sebuah pekan kecil dan diberi nama Kuala Lumpur.

Mengimbau kembali detik Kuala Lumpur diiktiraf sebagai  “bandar raya” pada 1 Februari 1972, dan kemudiannya diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Februari 1974, Perjanjian Kuala Lumpur telah dimeterai di Istana Negara. Dalam titah baginda, Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan harapan agar Kuala Lumpur terus maju dan makmur sebagai lambang perpaduan rakyat seluruh negara dan mencerminkan kemajuan bangsa dan negara Malaysia setanding dengan ibu kota negara maju yang lain.

Kuala Lumpur menempuh era pembaharuan yang mempamerkan wajahnya menjadi bandar raya moden.

Istiadat penyerahan Kuala Lumpur sebagai wilayah baharu telah berlangsung pada 1 Februari 1974, secara rasmi sebagai Bandaraya Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Selepas pengisytiharan tersebut, Kuala Lumpur telah menjadi sebuah wilayah yang dikendalikan oleh kerajaan pusat di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan No.2) 1973. Serentak dengan itu, kawasan Kuala Lumpur telah diperluas dari 93.24 kilometer persegi kepada 243.46 kilometer persegi. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapannya turut menyifatkan bahawa dengan penubuhan Wilayah Persekutuan ini maka terciptalah lembaran baharu dalam sejarah Malaysia sebagai hasil pengorbanan yang besar oleh Sultan Selangor bagi membolehkan Kuala Lumpur lahir sebagai lambang kemegahan bangsa dan negara.

Kuala Lumpur sebagai Ibu Negara Malaysia

Kuala Lumpur menjadi ibu negara Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1946 dan berlanjutan sehingga ke hari ini. Dalam ucapannya, Perdana Menteri, Tun Abdul Razak juga menyentuh bahawa Perjanjian Kuala Lumpur menandakan titik perpisahan dengan zaman lalu kerana dengan itu, maka berakhirlah keadaan dua tugas bandar raya tersebut sebagai ibu negeri Selangor dan ibu negara Persekutuan.

Beliau juga memberikan jaminan bahawa kerajaan akan mengambil langkah menjalankan segala usaha agar Kuala Lumpur menjadi ibu negara Malaysia dalam erti kata sepenuhnya. Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa Kuala Lumpur akan menempuh era pembaharuan yang akan mempamerkan wajahnya menjadi bandar raya moden tetapi mengekalkan identiti dan karakter yang memberikan kemegahan kepada rakyat Malaysia di samping pujian daripada pelawat dari luar negara.

Bercerita tentang pembangunan masa hadapan, Tun Abdul Razak berkongsi bahawa Majlis Bandaraya [kini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)] dan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA atau kini dikenali sebagai UDA Holdings Berhad) akan bekerjasama dengan pihak swasta dalam pelaksanaan pemulihan bandar di bahagian yang usang dan berumur selain membangunkan projek baharu yang akan menambah keindahan Kuala Lumpur.

Harapan, impian dan cita-cita beliau dalam membangunkan Bandaraya Kuala Lumpur menjadi realiti secara berperingkat sebagaimana yang disaksikan sekarang. Kemajuan dan perkembangan Kuala Lumpur yang bermula dengan deretan kedai atap lebih seratus tahun dahulu melalui transformasi sebagai sebuah bandar raya yang terkenal di mata dunia.

Peredaran masa turut menyerlahkan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran. Bermulanya Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran apabila Sir Andrew Clarke, Gabenor Negeri-negeri Selat melantik J.G. Davidson sebagai Residen British di Selangor pada Disember 1873. Beliau telah memindahkan ibu kota Selangor dari Klang ke Kuala Lumpur pada tahun 1880 apabila Frederick Weld menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat yang baharu. Bertitik tolak dari itu, Kuala Lumpur telah berkembang pesat dan telah dipilih sebagai ibu negeri bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896, diikuti oleh pemerintahan Malayan Union dan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara. Pada tahun 1890, Kuala Lumpur mula diurus di bawah seliaan Lembaga Kebersihan yang bertanggungjawab menjaga kebersihan jalan raya, pemasangan lampu, mentadbir pasar dan sebagainya. Kemudian fungsi tersebut diambil alih oleh DBKL yang menyumbang kepada pengisian kelahiran sebuah Wilayah Persekutuan sehingga kini mampu berdiri sebaris dengan kota-kota besar dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.