Oleh Rashid Ating
16 Oktober 2023, 12:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengumuman Sarawak sebagai satu daripada negeri yang berpendapatan tinggi oleh ahli ekonomi Bank Dunia, Dr. Apurva Sanghi pada 6 Julai 2023 telah meletakkan Sarawak sebaris dengan negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Labuan. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dalam perjalanan Malaysia untuk mencapai status negara maju, pendapatan Sarawak telah melebihi USD13,205 (RM61,500).

Kejayaan Sarawak menjadi sebuah negeri yang berpendapatan tinggi ini dipacu oleh industri pelancongan yang merupakan penyumbang terbesar terhadap Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK). Hal ini melonjakkan nama Sarawak yang diiktiraf sebagai negeri keempat dan pertama di Borneo yang mendapat status negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Sarawak dilihat agak agresif dalam aktiviti pelancongan sama ada domestik mahupun antarabangsa. Perubahan gelaran jawatan Ketua Menteri kepada Premier merupakan satu isyarat bahawa Sarawak bertekad untuk bergerak ke hadapan mengikut acuan dan rentaknya yang tersendiri. Secara keseluruhannya, dalam tempoh 12 bulan terakhir (bermula dari September 2023 sehingga September 2022) Sarawak telah menganjurkan 48 aktiviti yang berkonsepkan pelancongan untuk menarik minat lebih ramai lagi pelancong mengunjungi Sarawak. Daripada 48 aktiviti ini, separuh daripadanya adalah program, aktiviti, lawatan, penganjuran seminar bertaraf antarabangsa seperti memenangi bidaan untuk Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi @world #WCIT 2023, Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa Sarawak, menyertai World Travel Mart di London, lawatan delegasi ke Ibu Pejabat Pertubuhan Pelancongan Dunia Bersatu (UNWTO) di Madrid, Sepanyol, Festival & Anugerah Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) dan penganjuran Persidangan Antarabangsa Pelancongan dan Hospitaliti Bertanggungjawab (ICRTH) 2023 di Bogor, Indonesia.

Di samping itu, Sarawak juga menganjurkan aktiviti di peringkat daerah dan negeri untuk memperkukuhkan lagi sektor pelancongan di negeri ini seperti penganjuran Kursus Kompetensi Perkhidmatan Makanan & Minuman, Pesta Menuai & Cerita Rakyat Sarawak Tahunan 2023, Pelancaran Rasmi Kuching Park Hotel sebagai hotel pintar dan digital pertama di Kuching dan Majlis perasmian Pameran Fotografi Budaya Etnik Ukit di peringkat daerah. Manakala, di peringkat negeri pula, acara seperti Pelancaran rasmi Festival Busking Kuching 2023, Kuching Got Talent Final 2023, Berhias Sempena 60 Tahun Kemerdekaan Sarawak dan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Sarawak (STSC) 2023 merupakan beberapa inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan negeri Sarawak untuk memajukan industri pelancongan di negeri ini.

Penganjuran persidangan, program, aktiviti dan bidaan ini membuktikan Sarawak berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam sektor pelancongan. Hal ini dibuktikan dengan dapatan dari Survei Pelancongan Domestik 2022 menunjukkan bahawa Sarawak merupakan negeri ketiga yang menerima jumlah pelawat tertinggi, iaitu 15.5 juta orang selepas Selangor (22 juta orang) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (16.9 juta orang), manakala dari segi jumlah terimaan, Sarawak berada di tempat ketiga dengan RM5.4 bilion selepas Selangor (RM8.7 bilion) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM7.7 bilion).

Keunikan dan tarikan yang terdapat di Sarawak merupakan aset yang berupaya menjulang nama negeri tersebut ke mercu kejayaan.

Kemuncak bagi kesemua pencapaian ini adalah semasa YB Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak mengetuai 15 orang delegasi ke Ibu Pejabat Pertubuhan Pelancongan Dunia Bersatu (UNWTO) di Madrid, Sepanyol. Di sini, Sarawak menerima dua berita gembira, iaitu Pusat Penyelidikan Borneo Bertanggungjawab (REBORN) dan Persatuan Penyelidik Sarawak (SRS) diterima masuk sebagai ahli gabungan Organisasi Pelancongan Dunia Bangsa Bersatu (UNWTO) dan Profesor Madya Dr. Hiram Ting, Pengerusi SRS dan REBORN yang berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti UCSI Cawangan Kuching dilantik menjadi salah seorang ahli panel bagi UNWTO. Pelantikan Profesor Madya Dr. Hiram Ting merupakan satu penghormatan kepada rakyat Malaysia dan Sarawak khususnya kerana beliau menjadi penduduk Sarawak pertama yang dilantik sebagai ahli panel oleh pertubuhan tersebut.

Walaupun Sarawak berjaya menempatkan diri sebagai satu daripada negeri yang berpendapatan tinggi, namun terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa gambaran tersebut tidak relevan dan tidak mencerminkan keadaan ekonomi Sarawak secara keseluruhan (hanya mewakili daerah Kuching sahaja, dan mengabaikan daerah lain yang jauh di pendalaman). Tidak dapat disangkal bahawa dakwaan ini mempunyai kebenarannya yang tersendiri, namun dari sudut lain Sarawak sebenarnya telah bergerak maju ke hadapan, malah mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang diketahui lebih pesat membangun jika dibandingkan dengan Borneo (Sabah dan Sarawak) yang agak ketinggalan dari segenap aspek sama ada ekonomi, sosial dan politik.

Keunikan dan tarikan yang terdapat di Sarawak merupakan aset yang berupaya menjulang nama negeri tersebut ke mercu kejayaan. Usaha penambahbaikan setiap kekurangan dan kelemahan dalam aspek ekonomi, sosial dan budaya amat dituntut agar Sarawak boleh terus maju seiring negeri lain di Malaysia. Semoga dengan pengiktirafan yang diterima ini tidak membuatkan Sarawak terlalu berpuas hati dan mengabaikan tanggungjawab membangunkan aspek yang masih terkebelakang di negeri itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.