16 November 2023, 08:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perbincangan tentang kewangan Islam bukan sekadar “kewangan” bahkan melihat ekonomi Islam secara holistik. Sudah lama perbincangan berkenaan berlegar-legar dalam kalangan akademia dan para pemain industri. Kewangan Islam merupakan subset kecil ekonomi Islam. Ekonomi Islam akan merujuk sains sosial dan tingkah laku manusia dalam memaksimumkan input dan output selaras dengan syariat (hasil kefahaman umum pemikir ekonomi Islam).

Belanjawan 2024 menyerlahkan peranan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan dengan mengangkat kedudukan ekonomi Islam ke hadapan. Hal ini termasuklah memperuntukan sejumlah hampir RM20 juta bagi merancakkan kajian, kreativiti dan inovasi ekonomi Islam. Usaha ini akan diterajui oleh Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dengan pelibatan bersama MIFC dan industri. Menariknya, peruntukan ini adalah untuk kajian kreativiti dan inovasi ekonomi Islam, bukan hanya tertumpu terhadap kewangan Islam.

Pada hakikatnya, kewangan Islam hanyalah suatu sub daripada ekonomi Islam. Sekian lama masyarakat seolah-olah melihat perbankan Islam sebagai suatu ekonomi Islam sedangkan perbankan Islam hanya satu daripada komponen ekonomi Islam. Untuk melihat inovasi dan kreativiti ekonomi Islam, kita memerlukan anjakan paradigma yang tidak hanya dari aspek mikro dan kontrak, tetapi juga aspek makro (monetari dan fiskal). Hal ini merupakan cabaran bagi pemain dalam ekonomi (termasuk kewangan Islam).

Selain itu, para penasihat syariah berhadapan dengan cabaran untuk lebih berfikiran terbuka dan melihat ekonomi Islam dalam bentuk yang lebih holistik. Percambahan dan perdebatan idea tentang perkara ini memerlukan dimensi yang dinamik dan terbuka. Hala tuju ekonomi Islam memerlukan kajian yang mendalam. Selaras dengan itu, Persidangan Antarabangsa tentang Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF2023) juga akan dianjurkan pada bulan Disember 2023. Persidangan ini  sebagai titik mula perbincangan hala tuju ekonomi Islam. Seperti yang disebutkan dalam Belanjawan 2024, matlamatnya adalah: “… bagi mencerakinkan permasalahan ini sebagai usaha mempelopori peralihan kepada sistem kewangan Islam yang lebih syumul.”

Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) merupakan hab kewangan Islam dan patuh syariah. Pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya selama lima tahun bagi entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perdagangan yang berkaitan dengan kewangan Islam termasuklah perbankan digital Islam, bursa digital Islam, syarikat berkaitan ummah dan pengeluar token digital Islam mulai tahun taksiran 2024. Hal ini akan menggiatkan lagi keampuhan IBFC untuk bergerak setanding dengan Dubai International Financial Centre (DIFC) dan pusat kewangan yang lain di dunia. Terdapat keperluan tumpuan yang perlu diberikan terhadap Labuan IBFC, terutamanya yang berkaitan dengan Islamic Wealth Management.

Industri halal merupakan industri yang amat besar merangkumi aspek kewangan, makanan dan minuman, fesyen, dan perdagangan.

Selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 yang menetapkan penanda aras sumbangan industri halal sebanyak 11% kepada  Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030, sembilan institusi kewangan menawarkan program khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal di bawah platform bersepadu halal yang menawarkan akses kepada dana khas dan program bina upaya. Kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 hari kepada 30 hari. Halal Development Corporation (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal. Industri halal merupakan industri yang amat besar merangkumi aspek kewangan, makanan dan minuman, fesyen, dan perdagangan.

Dana tambahan sehingga RM25 juta secara geran padanan dengan institusi kewangan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan menerusi program I-TEKAD. Kerajaan memberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan yang terbit daripada Islamic Securities Selling and Buying (ISSB) mulai tahun taksiran 2024. Hal ini bagi meningkatkan keseluruhan jumlah dagangan sekuriti dan kecairan pasaran saham patuh syariah melalui pelibatan lebih ramai pelabur dan broker dalam transaksi ISSB selain memastikan layanan setara diberikan bagi transaksi Securities Borrowing and Lending (SBL). Institusi perbankan Islam dan pengendali takaful mampu menerokai inovasi berimpak melalui penawaran pelbagai jenis modal yang memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat khususnya mereka yang terpisah dari akses kepada perkhidmatan kewangan melalui Amalan Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI). VBI mempunyai potensi yang amat besar sebagai pemangkin bagi pengukuhan kewangan Islam (substance of Islamic Finance). Harus ditegaskan kepada industri bahawa VBI bukannya tanggungjawab sosial korporat (CSR) tetapi merupakan pusat keuntungan (profit centre) yang dibuat secara mampan dan berhemah.

Masih belum ada lagi syarikat yang menetapkan sasaran Net Zero pada tahun 2024 menyebabkan tiada keperluan bagi negara ini mengenakan cukai karbon setakat ini.

Di samping itu, Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) akan terus memperkukuh daya saing negara dalam bidang kewangan Islam. Pada masa ini, terdapat beberapa saingan Pusat Kewangan Islam di dunia. Dubai Islamic Economy Development Centre (DIEDC) mempunyai daya saing yang tinggi. Terdapat beberapa garis kerja kasar DIEDC dan juga DIFC untuk meletakkan Dubai sebagai satu daripada pusat ekonomi dan kewangan Islam di dunia. Pihak kerajaan juga boleh membuat paras piawaian (benchmarking) berdasarkan piawaian yang DIEDC tetapkan. Sekarang hampir semua negara komited kepada Net Zero Emissions (NZE) termasuk Malaysia. Negara seperti Malaysia perlu mencapai sasaran Net Zero, maka syarikat di Malaysia juga harus mencapai sasaran itu dan bukannya Carbon Neutral Target. Hal ini kerana dua perkara itu mempunyai perbezaan. Net Zero mengutamakan penyingkiran karbon (carbon removal) sebagai mengimbangi karbon (carbon offset) dan bukan penghindaran karbon (carbon avoidance).  Hal ini kerana organisasi perlu mematuhi panduan yang diberikan oleh Science Based Target (SBTi) yang digunakan dalam aktiviti yang berkaitan dengan Bursa Carbon Exchange (BCX).

Hal ini merupakan suatu kelas aset yang baharu dalam kewangan dan ekonomi Islam. Terdapat beberapa fatwa berkenaan dengan dagangan karbon sebagai patuh syariah seperti IDB dan Bursa. Pada masa ini, BCX merupakan badan tunggal pertukaran karbon (carbon exchange) yang patuh syariah tetapi pada dagangan sulung awal tahun baru ini, semua instrumen yang didagangkan merupakan penghindaran karbon sahaja. Jadi, beberapa syarikat yang menyasarkan sasaran Net Zero terpaksa melihat kepada pertukaran yang lain dan bukan BCX jika mereka ingin mencapai sasaran tersebut. Setakat ini, belum ada lagi syarikat yang sudah menetapkan sasaran Net Zero pada tahun 2024. Oleh itu, masih tiada keperluan untuk negara mengenakan cukai karbon buat masa ini.

Di samping itu, sebanyak RM1.6 bilion nilai kemudahan pinjaman dan jaminan disediakan khusus untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera bertujuan untuk meningkatkan kapasiti dan daya saing termasuklah penyediaan pembiayaan modal teroka kepada syarikat pemula Bumiputera. Modal teroka secara Islam (Islamic Venture Capital and Private Equity) antara dua aspek yang perlu diberikan penekanan. Malaysia mempunyai rangka kerja undang-undang yang baik dan kerangka syariah yang dinamik. Peruntukan nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang tersedia untuk manfaat PMKS adalah berjumlah sehingga RM44 bilion. Hal ini juga dapat memberikan manfaat dan berkaitan dengan kewangan dan ekonomi Islam kerana para usahawan boleh beroperasi dalam industri halal. Lazimnya pembiayaan mereka juga melibatkan pembiayaan kewangan Islam.  Pembiayaan tersebut akan disalurkan melalui pembiayaan secara patuh syariah.

Dana wakaf meningkat kepada RM500 juta bagi pinjaman mudah untuk meningkatkan pembangunan semula tanah wakaf di seluruh negara. Inisiatif ini merupakan usaha yang baik kerana institusi wakaf berhadapan dengan kekangan kewangan untuk membangunkan tanah wakaf. Pandangan fikah tentang pelaksanaan wakaf ini perlu lebih dinamik, seperti pelaksanaan wakaf sementara dan istibdal. Selain peruntukan langsung ekonomi dan kewangan Islam, terdapat beberapa peruntukan tidak langsung yang juga akan memberi manfaat kepada ekonomi dan kewangan Islam. Penstrukturan semula institusi kewangan pembangunan (DFI) dilakukan melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, SME Bank dan Exim Bank.

Perkara ini juga mempunyai perkaitan dengan kewangan Islam kerana ketiga-tiga entiti ini mempunyai portfolio Islamik yang amat besar. Penggabungan ini sudah tentulah memberikan kekuatan modal kepada entiti gabungan ini. Mudah-mudahan, keluasan ekonomi Islam akan boleh membugar dan berguna dalam memacu ekonomi negara pada masa hadapan. Harta kekayaan tidak berputar dalam golongan tertentu sahaja bagi menangani jurang ketidaksamarataan ekonomi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.