28 Disember 2023, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam sejarah dunia, tidak banyak negara yang mampu menyaingi pencapaian Malaysia dalam usaha mengubah statusnya daripada sebuah bekas tanah jajahan Inggeris menjadi sebuah negara dengan julukan “Harimau Ekonomi” Asia dalam masa beberapa dekad. Lazimnya, bekas negara jajahan terbelenggu dengan konflik dalaman akibat dasar pecah dan perintah. Malah Malaysia diakui oleh agensi antarabangsa merupakan antara negara contoh dalam pelaksanaan dasar pembasmian kemiskinan dan pengagihan kekayaan.

Diiktiraf Bank Dunia

Malaysia kini diklasifikasikan sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi dengan ekonomi yang sangat terbuka. Tidaklah menghairankan dengan pencapaian cemerlang seumpama ini, kita adalah di antara 13 negara yang dikenal pasti oleh Suruhanjaya Pertumbuhan dan Pembangunan Bank Dunia sebagai berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi purata sekurang-kurangnya tujuh peratus setahun selama 25 tahun atau lebih seperti yang dicatatkan dalam Growth Report yang diterbitkan pada tahun 2008.

Hasil penilaian Bank Dunia mendapati bahawa pertumbuhan ekonomi adalah terangkum dan kemiskinan tegar hampir dapat dibasmi. Bilangan isi rumah yang hidup di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan menyusut daripada lebih 50 peratus pada tahun 1960-an kepada sekitar lima peratus pada masa ini.

Malaysia di Ambang Negara Berpendapatan Tinggi

Ketika mengharungi perjalanan mencapai wawasan ekonomi MADANI, kita dapat menilai semula pencapaian Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Kesebelas (RMK-10 & RMK-11) yang telah berlalu. Sementara itu, hasrat Rancangan Malaysia Kedua belas (RMK-12) cuba direalisasikan.

RMK-12 yang menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara, dan pelan tersebut akan disusuli dengan RMK-13 menjelang tahun 2030. YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakarkan wawasan Ekonomi MADANI sebagai falsafah teras terhadap pentadbiran negara yang dihitung dari tahun 2023 sehingga 2030.

Dasar ini, dirangka sebagai satu pelan hala tuju negara, dengan tujuan untuk mentransformasi Malaysia secara tuntas dan holistik. Hal ini demi melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju, berpendapatan tinggi dengan ekonomi maju. Pelan ini diharapkan agar dapat menjadikan Malaysia lebih kompetitif baik pada peringkat global mahupun wilayah, terutamanya apabila tertubuhnya Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Mengikut unjuran pertumbuhan ekonomi, Malaysia mampu memenuhi takrifan Bank Dunia sebagai negara berpendapatan tinggi berdasarkan pendapatan negara kasar (GNI). Sungguhpun demikian,  kejayaan silam tidaklah menjamin pencapaian masa hadapan. Hal ini dikatakan demikian kerana pemodelan ekonomi merupakan asas bagi unjuran.

Mengekstrapolasi dari arah aliran ekonomi semasa hanya boleh dipercayai dan diguna pakai untuk tahun hadapan dan tahun seterusnya. Apabila garis waktu tempoh ramalan menjadi lebih lama, maka andaian yang dibuat akan berubah dan boleh dipersoalkan. Jika diteliti, semasa proses pemodelan ekonomi dilakukan, hasil keluaran (output) ekonomi diunjurkan berdasarkan hasil input pada masa hadapan. Namun begitu, adalah mustahil untuk mengetahui dengan tepat hasil input pada masa hadapan. Keadaan yang sebenarnya berlaku adalah input diekstrapolasi dari nilai input semasa pada ketika ini. Sungguhpun demikian, struktur ekonomi sesebuah negara akan berubah apabila melalui fasa pembangunan. Umpamanya Malaysia yang telah melalui perubahan fasa ekonomi yang pesat sejak mencapai kemerdekaan. Sudah tentu ciri-ciri utama ekonominya seperti input juga turut berubah.

Dalam konteks ini, perubahan struktur ekonomi dapat ditunjukkan dengan jelas melalui teknik Input-Output (I-O). Analisis dilakukan terhadap jadual I-O merupakan akaun terperinci yang berkaitan dengan transaksi pengeluaran dan penggunaan barangan dan perkhidmatan antara pengeluar dan pengguna dalam ekonomi Malaysia. Walaupun kita telah mengalami transformasi ekonomi yang pesat, tetapi masih terdapat kemungkinan bahawa kadar pembangunan ekonomi yang pantas tidak dapat dikekalkan dan seterusnya berlaku penyahpecutan dalam kadar pertumbuhan ekonomi. Sebenarnya perkara seumpama ini pernah berlaku terhadap ekonomi beberapa negara dunia dan dikaitkan dengan beberapa faktor penyebab.

Potensi Besar ASEAN

Malaysia bernasib baik kerana terletak di sebuah kawasan ekonomi yang diakui dinamik dan progesif. Kini, ASEAN telah muncul sebagai bukan sahaja kuasa besar ekonomi di rantau Asia, bahkan juga di pentas utama ekonomi dunia. Kita boleh manfaatkan perkara ini dengan mengambil kira kelebihan intrinsik ASEAN dan prospeknya untuk terus maju. Hal ini membolehkan pencapaian ekonomi negara akan melebihi prestasi ekonomi global.

Sungguhpun demikian, jika dikaji hasil penelitian menunjukkan bahawa terdapat ketidakseimbangan dalam pembangunan dan pertumbuhan. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat beberapa wilayah di Malaysia yang berada pada kedudukan geografi yang agak terpencil selain daripada kesan peninggalan warisan penjajahan yang turut memberikan kesan negatif.  Selain dari itu kesalinghubungan (connectivity) fizikal umpamanya rangkaian jalan raya, landasan kereta api dan pelabuhan turut memainkan peranan bagi membantu merancakkan aktiviti ekonomi.

Sebagai contoh, lima negeri atau wilayah menyumbangkan sekitar 62% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka. Bagaimana pula dengan sembilan negeri yang lain? Sayogia diingat bahawa sekitar 49 peratus rakyat Malaysia tinggal di negeri tersebut. Tidak dapat dinafikan bahawa jurang pembangunan di antara negeri atau wilayah semakin ketara, jelas dan melampau.

Perangkaan menunjukkan bahawa menjelang tahun 2030, hanya beberapa negeri akan mencapai sasaran sebagai ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh yang direncanakan, manakala negeri lain akan mengambil masa yang lebih lama untuk mencapai sasaran tersebut. Negeri-negeri yang ketinggalan ini memerlukan perhatian kerajaan pusat dan negeri untuk tumbuh pada kadar yang lebih cepat supaya mereka tidak ketinggalan. Ketidakseimbangan dalam pertumbuhan perlu diambil kira ketika merangka pelan pembangunan. Tidak sepatutnya ada keciciran dalam pembangunan ekonomi wilayah.

Perancangan pembangunan perlu meliputi semua wilayah dan tidak sepatutnya wujud keciciran pembangunan bagi wilayah tertentu.

Dalam usaha membangunkan ekonomi, perbezaan faham politik tidak boleh dijadikan rintangan dan halangan untuk menyeimbangkan tumpuan pembangunan dan pertumbuhan. Hal ini akan menyebabkan usaha untuk mencapai status negara maju sia-sia, manakala rakyat terus merana.  Nikmat pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara perlu dirasai oleh segenap lapisan masyarakat negara ini dan tidak hanya tertumpu di sesuatu lokasi fizikal dan melibatkan segmen masyarakat tertentu sahaja.

Tuntasnya, wawasan Ekonomi MADANI boleh dijayakan dengan pelaksanaan integrasi ekonomi terhadap struktur ekonomi global selain daripada integrasi ekonomi wilayah dalam kerangka ASEAN. Di samping itu, keseimbangan tumpuan pembangunan dan pertumbuhan dalam Malaysia perlu dititikberatkan dan diberikan keutamaan. Pembangunan ekonomi wilayah turut mempunyai peranan yang penting untuk dijayakan dalam usaha memacu kemajuan dan pembangunan selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.