2 September 2023, 07:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Slogan “Mana Lagi? Melaka Lah” telah dipilih untuk Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). Bersempena dengan TMM2024, kerajaan Melaka menetapkan sasaran sebanyak 18.7 juta pelancong domestik dan antarabangsa akan berkunjung ke Melaka dengan jumlah hasil pelancongan mencecah RM23.48 bilion. Bagi mencapai sasaran tersebut, sektor paling penting yang perlu diberi perhatian ialah pelancongan.

Pelancongan ditakrifkan sebagai pergerakan atau perjalanan manusia yang bersifat sementara ke sesuatu destinasi di luar lingkungan tempat tinggal ataupun tempat bekerja dengan tujuan untuk melihat alam semula jadi, berehat, bercuti, urusan kerja, atau menjalankan sebarang aktiviti yang menyenangkan hati. Menurut Kamus Dewan Perdana, melancong bermaksud pergi ke sesuatu tempat dalam tempoh tertentu untuk melawat, beristirahat dan sebagainya.

Bagi menarik kedatangan pelancong, kerajaan negeri telah mengatur 19 acara pelancongan utama bertaraf antarabangsa yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2024. Acara tersebut termasuklah Tahun Baharu Cina Melaka, Raptor Watch, Melaka Berselawat, Festival Bot Antarabangsa Melaka, Festival Makanan Melaka, Melaka Multisport Festival, Melaka International Muay Thai, Pesta Durian Melaka dan Konsert Mega Melaka. Kerajaan Melaka turut mempromosi TMM2024 menggunakan konsep 3M, iaitu Mesra, Mudah dan Mampu. Melaka merupakan destinasi utama pelancong sama ada pelancong domestik mahupun antarabangsa. Hal ini dibuktikan dengan kedatangan pelancong yang meningkat pada setiap tahun.

Jadual 1 Statistik Kedatangan Pelancong ke Melaka (1999 – 2019)

Tahun Domestik Antarabangsa Jumlah Keseluruhan
Orang
1999 829 408 882 987 1 712 395
2000 1 129 467 1 040 520 2 169 987
2001 1 528 971 1 039 627 2 568 598
2002 1 842 336 1 133 851 2 976 187
]2003 2 860 336 742 612 3 602 948
2004 2 987 310 1 017 728 4 005 038
2005 3 719 292 976 470 4 695 762
2006 3 964 477 1 133 355 5 097 832
2007 4 857 248 1 366 063 6 023 311
2008 6 004 105 1 201 387 7 205 492
2009 7 293 762 1 611 511 8 905 273
2010 8 177 869 2 176 792 10 354 661
2011 9 070 901 3 094 965 12 165 866
2012 10 198 855 3 512 279 13 711 134
2013 10 366 594 3 946 123 14 312 717
2014 10 846 706 4 185 324 15 032 030
2015 11 270 392 4 466 467 15 736 859
2016 11 222 455 5 059 626 16 282 081
2017 11 049 328 5 745 140 16 794 468
2018 11 333 444 5 686 654 17 020 098
2019 13 029 221 5 698 116 18 727 337

Peningkatan jumlah pelancong dari tahun 1999 hingga 2019 membukti bahawa kerajaan negeri berjaya mempromosikan pelbagai produk pelancongan Melaka. Namun begitu, akibat penularan COVID-19 yang menyebabkan pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan sektor pelancongan Melaka terjejas pada tahun 2020 dan 2021. Pada ketika itu, kerajaan negeri mengambil langkah memperkenalkan “Melakan Visit Melaka 2020” bagi menyelamatkan sektor pelancongan. Pada tahun 2020, jumlah kedatangan pelancong ke Melaka berjumlah 5 053 586 orang yang merangkumi 4 537 250 pelancong domestik dan 516 336 pelancong antarabangsa. Pada tahun 2021, pelancong yang datang ke Melaka hanya berjumlah 2.6 juta orang.

Walau bagaimanapun, sektor pelancongan Melaka semakin pulih menjelang tahun 2022 apabila negara memasuki fasa endemik dan banyak peraturan berkaitan COVID-19 dilonggarkan. Hal ini membolehkan Melaka menerima kedatangan lebih 6 juta pelancong pada tahun 2022. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5.6 juta orang ialah pelancong domestik, manakala pelancong asing berjumlah 406 517 orang. Bagi tahun 2023, kerajaan negeri mensasarkan jumlah kedatangan pelancong ke Melaka adalah sebanyak 8.2 juta orang.

Usaha memperkenal dan mempromosikan Melaka giat dijalankan sejak 1980-an lagi. Pada ketika itu, strategi pembangunan pelancongan menjadi tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) untuk menarik perhatian dan meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri Melaka melalui perancangan dan penyediaan kemudahan prasarana serta menggalak dan memperkenalkan Melaka di pasaran domestik dan antarabangsa. Berdasarkan Laporan Teknikal Rancangan Tempatan Daerah Melaka Tengah bagi tahun 2000 hingga 2015, sektor pelancongan Melaka terbahagi kepada 11 subsektor, iaitu warisan, kebudayaan, rekreasi (ekopelancongan), sukan, beli-belah, konvensyen, kesihatan, pendidikan, makanan, tani dan belia.

Pada tahun 2010, strategi pelancongan lebih memberikan fokus terhadap 12 subsektor yang bertemakan “Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia”, mempertingkatkan promosi pelancongan negeri berasaskan domestik dan antarabangsa, menyediakan prasarana lengkap dengan sumber manusia yang mencukupi, mempromosikan niche market atau niche product selain mempertingkatkan kajian dan pembangunan. Negeri Melaka telah diiktiraf sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April 1989 dan kemudiannya diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008.

Sektor pelancongan Melaka kini mempunyai 14 subsektor, iaitu kebudayaan, sejarah, rekreasi, beli-belah, konvensyen, kesihatan, sukan, pendidikan, pertanian, makan-makan, Melaka My Second Home, belia, ekopelancongan dan agama. Agama merupakan subsektor pelancongan baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Melaka pada tahun 2020. Subsektor baharu ini diperkenalkan atas faktor negeri Melaka yang pernah terkenal sebagai pusat perkembangan Islam sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bagi mencapai hasrat tersebut, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Universiti Melaka (UniMel) bekerjasama dalam melaksanakan kajian mengumpul dan mencari semula kesan-kesan peninggalan sejarah Melaka sebagai bukti perkembangan dan penyebaran agama Islam di Alam Melayu.

Antara tinggalan sejarah Islam di Melaka termasuklah masjid lama yang berusia ratusan tahun. Masjid lama seperti Masjid Kampung Hulu, Masjid Tengkera, Masjid Kampung Kling, Masjid Bukit Cina (Masjid Al-Hamideen), Masjid Lama Machap, Masjid An-Nur Peringgit, Bangunan Masjid Tanah, Masjid Kampung Air Barok dan Masjid Serkam Pantai menjadi satu daripada produk pelancongan agama yang dapat menarik pelancong domestik dan antarabangsa. Masjid lama yang terbiar dan usang wajar diambil alih dan dibaik pulih oleh kerajaan Melaka.

Walau bagaimanapun, subsektor pelancongan agama tidak hanya terbatas pada agama Islam memandangkan Melaka mempunyai kepelbagaian agama. Sebagai contoh, terdapat gereja lama yang merupakan tinggalan sejarah Kristian di Melaka seperti Gereja Saint Paul, Gereja Christ, Gereja Saint Francis Xavier, Gereja Saint Peter, Gereja Saint Theresa, Gereja Saint Mary, Gereja Tamil Methodist dan Mar Thoma Syrian Church. Tinggalan sejarah ini juga dapat dijadikan produk pelancongan terutama bagi menarik kedatangan pelancong antarabangsa. Selain gereja, Melaka juga mempunyai tokong lama yang dibina ratusan tahun dahulu seperti Tokong Bunga Raya, Tokong Cheng Hoon Teng, Tokong Hai Long Kong dan Tokong Poh San Teng.

Jalan Harmoni juga wajar dijadikan produk pelancongan agama. Hal ini kerana kawasan tersebut terdapat Masjid Kampung Kling, Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi, Tokong Cheng Hoon Teng dan Tokong Xiang Lin Si. Penduduk tempatan turut menggelarkan jalan tersebut sebagai Jalan Tukang Emas, Jalan Tukang Besi dan Jalan Tokong. Selain itu, terdapat rumah ibadat bagi penganut agama Sikh, iaitu Gurdwara Sahib Melaka. Rumah ibadat pelbagai agama ini wajar diletakkan dalam subsektor pelancongan agama bagi menarik pelancong yang sudah tentu terdiri daripada penganut agama yang berbeza.

Bagi menarik kedatangan lebih banyak pelancong domestik dan antarabangsa, kerajaan Melaka perlu memperbanyakkan lagi acara pendidikan dan kebudayaan. Antara acara pendidikan yang boleh dilaksanakan termasuklah pesta buku. Untuk mencapai hasrat tersebut, kerajaan negeri boleh menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Melaka seperti mana penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada setiap tahun. Pesta buku anjuran Popular dan Big Bad Wolf juga perlu kerap diadakan di Melaka.

Selain itu, jabatan, agensi atau pertubuhan berkaitan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi boleh menganjurkan seminar atau persidangan antarabangsa berkaitan sejarah, budaya dan warisan negeri Melaka seperti persidangan tentang hubungan China – Melaka dan Jepun – Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga kini. Persidangan seperti itu dapat mengetengahkan kepentingan hubungan dua hala terhadap pembangunan ekonomi dan pembentukan sosiobudaya yang rencam di negeri Melaka. Sebelum ini, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia dan Persatuan Zheng He Antarabangsa pernah menganjurkan Festival Antarabangsa Cheng Ho di Melaka yang berlangsung pada 14 hingga 16 November 2019.

Manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka menganjurkan 5th International Islamic Heritage Conference (ISHEC) 2023 bertempat di UiTM Kampus Bandaraya Melaka pada 15 hingga 16 Mac 2023. 5th ISHEC 2023 yang dilaksanakan secara bersemuka dan atas talian mendapat 117 penyertaan yang terdiri daripada negara Malaysia, Indonesia, Yaman, Arab Saudi, India dan Pakistan. Terdapat sembilan tema utama ISHEC 2023, iaitu al-Quran dan hadis; manuskrip dan warisan; syariah dan undang-undang; ekonomi dan kewangan Islam; akidah dan pemikiran Islam; pendidikan dan peradaban; dakwah dan komunikasi; sains dan teknologi; serta pengurusan dan kepimpinan. Penganjuran seminar atau persidangan antarabangsa dapat menyumbang kepada sektor pelancongan negeri kerana kehadiran peserta dalam dan luar negara yang akan menginap, membeli-belah, melawat lokasi menarik dan mencari tempat makan di Melaka.

Melawat Kampung Morten, Portugis dan Chetti merupakan suatu kebiasaan bagi para pelancong kerana jarak mudah sampai dan berdekatan dengan pusat bandar. Namun, sempena TMM2024, para pelancong akan dibawa melawat Kampung Orang Asli (KOA). Bagi merealisasikan idea tersebut, kerajaan negeri melalui agensi pelancongan menyediakan pakej lawatan dan menginap tiga hari dua malam di KOA. Beberapa KOA akan dipilih sebagai projek Lawat dan Inap 3H 2M di KOA.

Di Melaka, terdapat 14 KOA yang berada di Alor Gajah (8 KOA) dan Jasin (6 KOA). KOA di Alor Gajah berada di Bukit Payung, Bukit Sebang, Machap Umboo, Bukit Besar, Kubang Badak, Tebong Stesyen, Hutan Percha dan Bukit Putus. Manakala di Jasin, KOA berada di Air Dusun, Air Sialang, Solok Terentang, Bukit Seraya, Gapam Baru dan Lubuk Bandung. Menginap di KOA dapat memberikan suatu pengalaman yang unik kepada para pelancong. Pelancong akan lebih memahami gaya hidup, adat, kepercayaan dan budaya Orang Asli. Projek Lawat dan Inap 3H 2M wajar dipertimbangkan oleh kerajaan negeri untuk dijadikan sebagai satu daripada produk pelancongan.

Melancong dan mengambil gambar sebagai kenangan merupakan dua perkara yang sama sekali tidak boleh dipisahkan. Melaka sememangnya banyak tempat atau premis menarik yang berbaloi untuk perkongsian dalam Instagram atau instaworthy seperti Masbro Village, The Riviera, Nomaps, A Famosa, Muzium Maritim Melaka yang merupakan replika Flor de la Mar, Masjid Selat Melaka, Muzium Istana Kesultanan Melaka, mural di sepanjang Sungai Melaka, My Kiehl’s Heritage, The Shore Sky Tower, Encore Melaka, Freeport A’Famosa Outlet, Jonker Street dan Masjid Cina Al-Muttaqin. Justeru, lokasi instaworthy di Melaka perlu dipromosikan oleh kerajaan negeri. Langkah tersebut bukan sahaja mampu menarik minat pelancong, malahan dapat membantu mempromosikan pengusaha premis atau peniaga setempat.

Pusat beli belah seperti Dataran Pahlawan, Mahkota Parade, Freeport A’Famosa Outlet dan Melaka Mall boleh juga menganjurkan acara seperti pertandingan e-sukan serta festival atau expo anime yang melibatkan pertandingan cosplay, menjemput cosplayer terkemuka dalam dan luar negara, permainan dan jualan barangan berkaitan anime. Acara sebegini kerap dianjurkan di pusat beli belah di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang. Antaranya termasuklah Let’s Anime Cosplay Event, Atria Shopping Gallery, Damansara (12 hingga 14 Mei 2023); Jom Otaku Matsuri di Da Men Mall, Subang Jaya (20 hingga 21 Mei 2023); CosWorld Festival, City Junction, Pulau Pinang (26 hingga 28 Mei 2023); dan Costime, Paradigm Mall Convention Mall, Johor Bahru (3 hingga 4 Jun 2023). Penganjurannya bukan sahaja menarik kedatangan pelancong domestik malahan antarabangsa.

Selain itu, pusat beli belah dapat menawarkan potongan harga atau diskaun bagi produk keluaran tempatan khususnya produk negeri Melaka. Hal ini sekali gus dapat merealisasikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang bertujuan untuk memartabatkan barangan Malaysia selain memperkukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan para pengguna di negara ini membeli barangan buatan Malaysia. KBBM juga merupakan inisiatif yang akan membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka serta memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara. Terdapat empat objektif inisiatif tersebut, iaitu merangsang ekonomi, semangat patriotisme, kesedaran dan memasar produk tempatan.

Kadar harga bilik hotel dan rumah inap desa yang berpatutan juga boleh ditawarkan kepada para pelancong. Diskaun harga tiket bas kepada mereka yang ingin melancong ke Melaka wajar diberikan selain mengaktifkan semula perkhidmatan monorel. Perkhidmatan monorel sepanjang 2.5 kilometer yang melalui Sungai Melaka dan Kampung Morten mula beroperasi pada tahun 2010 dengan kos pembinaannya bernilai RM16.5 juta. Kini, monorel tersebut tidak lagi beroperasi. Jika monorel kembali beroperasi, kerajaan negeri boleh menyediakan pakej lawatan di sekitar Melaka. Pakej tersebut akan merangkumi pelancong dibawa bersiar-siar dengan menaiki monorel, beca di sekitar Banda Hilir dan perkhidmatan Melaka River Cruise.

Masih banyak lagi produk pelancongan yang dapat diketengahkan oleh kerajaan negeri bagi menarik kedatangan pelancong seperti mempromosikan aktiviti lasak di beberapa tempat seperti Skytrex Adventure Melaka dan Taman Eko Rimba Bukit Batu Lebah. Sektor pelancongan Melaka kembali aktif setelah dua tahun mengharungi PKP. Dalam tempoh tersebut, sektor pelancongan Melaka amat terjejas. Sebagai contoh, Jonker Walk mengalami kerugian RM2.5 juta sehari tanpa kedatangan pelancong. Selain itu, untuk Melaka menerima jumlah kedatangan pelancong yang tinggi seperti sebelum pandemik COVID-19 masih memerlukan masa. Namun, hal tersebut tidaklah mustahil. TMM2024 merupakan pemula untuk melonjakkan kembali kedatangan pelancong ke negeri bersejarah ini bagi tahun-tahun akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.