29 September 2023, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu kekurangan bekalan beras negara kembali hangat di seluruh negara apabila terdapat laporan kesukaran para pengguna memperolehnya. Sejak krisis beras melanda dunia pada tahun 2008, kebergantungan tinggi terhadap import beras menjadi isu yang semakin serius. India sudah menyekat 10 juta tan beras ke seluruh dunia. Hal ini terpaksa lakukan oleh negara tersebut bagi menstabilkan harga dalam negaranya dan menyasarkan keperluan bagi rakyatnya. Pada asalnya, India mengeskport 21 juta tan beras, dan hal ini memperlihatkan bahawa hampir 50 peratus beras telah dihalang untuk dieksport. India merupakan pengeksport beras terbesar di dunia, iaitu sebanyak 40 peratus untuk keperluan beras dunia.

Sungguhpun demikian, India bukanlah pengeluar beras terbesar dunia. Negara China merupakan pengeluar beras terbesar dunia, namun disebabkan penduduk China yang ramai, maka China hanya mengeksport 2.2 juta tan beras. Beberapa bulan kebelakangan ini, fenomena El-Nino yang melanda menyebabkan India dan Malaysia juga merasa tempiasnya. Ketika itu sudah bermula pengurangan hasil padi disebabkan petani tidak digalakkan berjemur di bawah terik matahari ekoran dikhuatiri mengalami strok haba.Negara  India juga terkena tempias El Nino yang menyebabkan cuaca panas dan kering sehingga mengakibatkan hasil padi merosot.

Sejak Disember 2017 hingga 2021, negara sudah berhadapan dengan fenomena El Nino dan kesannya sangat ketara hingga mengancam pengeluaran padi. Setiap tahun, lebih 50 ribu hektar sawah musnah. Nisbahnya merangkumi 40 peratus akibat banjir dan 10 peratus akibat kemarau. Ertinya, negara sudah melaksanakan kajian dan memiliki maklumat terperinci. Persoalannya, sudahkah kita belajar daripada kajian tersebut? Atau sekadar meletakkan alasan pada tempat yang salah?

Teknologi memberikan manusia lebih banyak akses awal untuk melihat perubahan El Nino secara saintifik. Sebagai contoh, MetMsia sudah menyediakan maklumat tentang ayunan peralihan monsun yang akan berlaku lebih awal. Bermula pada 19 September hingga hujung Oktober, ramalan taburan hujan pada kadar tinggi berserta ribut petir akan melanda Malaysia selama 10 minggu. Fakta ini boleh dijangka dengan melihat fenomena kipas Pasifik yang sangat aktif. Sejak awal September lalu, muncul taufan “lima beradik” yang melanda tiga benua.

Faktor cuaca menjadi satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi oleh sektor tanaman padi.

Semua bilah taufan ini berlaku akibat “kipasan besar” berikutan pertembungan dengan arus sejuk Antartika dan wap panas di lautan Pasifik. Taufan Idalia yang melanda Amerika Syarikat pada 26 Ogos lalu adalah yang terburuk dalam tempoh 125 tahun. Selain Florida, kipas El Nino di Pasifik secara serentak melibas Filipina dengan taufan Super Saola pada tarikh yang sama. Manakala, ekor taufan Haikan menuju ke Taiwan melalui selatan Thailand pada 28 Ogos hingga 5 September. Ekor Haikan merupakan faktor utama yang menyebabkan berlakunya taburan hujan lebat yang memusnahkan banyak petak tanaman padi di Kedah dan Perlis.

Secara relatifnya, masyarakat dunia tidak komited untuk mengawal 1.8°C peningkatan suhu global menjelang 2030. Setakat tahun 2023, tingkatan suhu dunia sudah mencapai paras 1.4°C. Hal ini bermaksud, untuk mengawal baki 0.4°C merupakan satu titik sukar dalam tempoh tujuh tahun ini. Realiti “pendidihan suhu global” harus diakui dan negara perlu mempunyai pelan tindakan berdasarkan mentaliti baharu, iaitu bersesuaian dengan realiti “padi kita untuk beras kita”. Bukan sekadar mencari alasan yang tidak padan dengan realiti yang dihadapi oleh rakyat dan pengguna di lapangan.

Rajah 1
Rajah 2

Apabila terdapat pelbagai pertikaian berkenaan bekalan beras, carian statistik tentang jumlah tanah dan pengeluaran yang diterbitkan oleh Jabatan Pertanian menjadi perhatian. Rajah 1 dan 2 menunjukkan data dari tahun 2017 hingga 2021 Melalui data tersebut berdasarkan keluasan tanah dan pengeluaran, terdapat corak yang bertahan dan terdapat data yang berundur ke belakang. Pada tahun 2017, pengeluaran bagi sehektar tanah ialah 3750 kilogram, manakala pada tahun 2021 menurun kepada 3749 kilogram.

Rajah 3

Pada tempoh yang sama, tentunya jumlah penduduk negara bertambah. Mengikut statistik (Rajah 3), jumlah penduduk bagi tahun 2017 adalah sebanyak 32.022 juta dan meningkat kepada 32.655 pada tahun 2021. Sekiranya pengeluaran beras dalam negara tidak bertambah, negara akan mengalami situasi kekurangan beras. Selain itu punca hasil padi di Kedah lebih rendah berbanding dengan Sekinchan, Selangor yang berpunca daripada pengairan, pembajaan dan penjagaan. Pesawah di Sekinchan menjadikan kerja di sawah sebagai kerja hakiki dan bukan sambilan.

Walau apa-apa pun usaha kerajaan dari segi polisi dan bantuan, jumlah tanah yang ditanam dengan padi tidak akan bertambah sekiranya rakyat tidak mahu menambah sawah baharu. Jika sawah yang sedia ada mahu ditukarkan kepada perumahan dan perindustrian, situasi tersebut masih sukar untuk ditangani oleh kerajaan. Maka itu, tidak hairanlah terdapat sawah yang terbiar tanpa diusahakan. Pada 18 September lalu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa tanah seluas 50,000 hektar telah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek penanaman padi di Sabah dan Sarawak.

Pilihan seterusnya adalah dengan meningkatkan produktiviti. Hal ini juga memerlukan usaha tenaga kerja yang akan mengerjakan sawah. Walaupun kerajaan memperuntukkan sejumlah bantuan kepada para pengusaha tanaman padi, hasilnya tetap bergantung pada komitmen pesawah. Jika seseorang mahu mengekalkan tahap usaha yang sedia ada, namun mengharapkan pendapatan mereka bertambah, hal tersebut ibarat angan-angan Mat Jenin. Hasil yang diperoleh perlu berdasarkan kebijaksanaan dalam membuat kajian dan penyelidikan bersama-sama agensi yang bertanggungjawab terhadap pertanian padi dan berdaya usaha untuk memanfaatkan kemajuan teknologi hari ini dalam penanaman dan perusahaan padi. Sekiranya pengusaha di lapangan tidak berani berubah, bagaimanakah impian untuk merealisasikan pertambahan keluasan tanah bagi penanaman padi dan memperoleh hasil yang berganda?

Kerajaan bercadang meneroka tanaman padi air masin dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan ruji tersebut di negara ini. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata perbincangan awal sudah dibuat bersama-sama pakar berkaitan di China bagi mendapatkan pandangan dan penggunaan teknologi yang bersesuaian. Kerajaan berperanan untuk memandu dan membantu rakyat yang mahukan perubahan. Jika tidak ada sesiapa yang mahu berikhtiar dengan cara baharu, kita akan tetap berada pada tahap ini.

Pada zaman kebanyakan anak muda yang teruja untuk menjadi pempengaruh Tiktok, padi dan beras tidak akan bertambah dengan bertambahnya kandungan di media sosial. Jika masyarakat masih kurang peka akan situasi yang sedang melanda negara, hal ini tidak akan membawa kepada penyelesaian selain daripada kekecohan di media massa tanpa ada tindakan drastik dan holistik yang diambil.

Meninjau negara jiran tetangga pula, Thailand merupakan pengeksport beras kedua terbesar dunia diikuti oleh Vietnam. Namun begitu, Thailand dan Vietnam juga menghadapi penyusutan mata wang berbanding dengan Dolar Amerika seperti Malaysia. Bahan asas pembuatan baja terpaksa diimport dari Ukraine dan Rusia. Kedua-dua negara ini membekalkan 28 peratus nitrogen, fosforus dan potasium untuk keperluan dunia. Bahan tersebut merupakan komponen utama dalam pembuatan baja. Apabila berlaku peperangan antara Ukraine dengan Rusia, maka dunia berhadapan dengan isu kekurangan bahan mentah dan harga bahan tersebut melambung di pasaran. Hal ini mengakibatkan harga baja di Malaysia juga meningkat dengan mendadak dan tinggi.

Kerajaan memberikan bantuan subsidi untuk petani padi lebih daripada RM1.5 bilion setahun. Walau bagaimanapun, purata hasil petani padi pada tahap 3.7mt/ha sahaja. Ketiadaan komunikasi antara agensi kerajaan yang boleh meningkatkan hasil padi dan beras menyebabkan berlakunya kerugian oleh petani kesan daripada kesilapan membaca atau meramal perubahan iklim. Selain faktor alam, faktor biji benih juga dikhabarkan bermasalah kerana ketiadaan kartel bekalan dan pengilang padi beras yang mengambil kesempatan dengan memanipulasi industri dan menganiaya petani.

Setiap industri mempunyai rantaian nilainya. Semakin tinggi kedudukannya, maka semakin tinggi pelaburan yang dibuat dan hal ini mendatangkan pulangan yang  lebih banyak. Pertanian tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian melainkan jika seseorang individu itu mempunyai modal yang besar. Bagi mewujudkan industri pertanian padi beras yang sistematik, semua pihak termasuk petani, pembekal bahan mentah seperti benih dan baja, pengilang, pemborong padi beras, penjual dan pemantau perihal harga, pasaran dan jualan padi beras perlu saling bersepakat dan berkerjasama membangunkan industri tersebut. Pemilik tanah yang boleh diusahakan sebagai kawasan penanaman padi perlu diberikan penerangan dan kesedaran terhadap keperluan membangunkan industri pertanian padi beras bagi memenuhi keperluan permintaan beras di negara ini dengan tidak memikirkan keuntungan untuk menjual tanah semata-mata.

Sektor pertanian merupakan tulang belakang ekonomi rakyat dan negara. Bagi meningkatkan daya saing, sektor ini memerlukan nilai tambah bagi membolehkannya bersaing dengan industri lain demi kemaslahatan rakyat. Belia tani wajar diberi lonjakan baharu selain pemain industri konsisten membela nasib petani, menjernihkan isu, dan mampu bezakan isu tempatan dan antarabangsa. Semoga dengan usaha ini isu kekurangan bekalan beras tempatan untuk kegunaan rakyat negara ini dapat diatasi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.