Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBagi tujuan penyelarasan perdagangan global yang lebih efektif, Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) telah ditubuhkan pada tahun 1995. Walaupun WTO berasaskan model kapitalisme liberal dengan prinsip multilateralisme, didapati bahawa negara yang kuat pengaruh sosialisme-komunisme turut menganggotainya, termasuklah negara China. China merupakan negara yang lambat menyertai WTO, iaitu hanya diterima penyertaannya pada bulan Disember 2001, enam tahun selepas penubuhan WTO. Penyertaannya dalam mekanisme utama perdagangan dunia sebelum WTO, iaitu GATT pernah digantung dalam tempoh yang lama, walaupun China telah menganggotai GATT berkenaan mulai tahun 1948.
Selain daripada faktor ideologi negara itu sendiri, China pernah digantung daripada terlibat dalam mekanisme perdagangan dunia kerana negara berkenaan tidak bersungguh-sungguh memperlihatkan komitmennya dalam menepati perjanjian. Hanya kira-kira 35 tahun selepas penggantungannya, iaitu pada tahun 1986 barulah penyertaan China ke dalam GATT dipertimbangkan semula.
China terkenal dengan rekod silamnya yang enggan dan sambil lewa dalam mematuhi perjanjian, misalnya yang berkaitan dengan hak harta intelek (IPR). Sebagai contoh, pada tahun 1992, walaupun Amerika Syarikat (AS) dan China telah bersetuju untuk memperkukuhkan perlindungan hak harta intelek, cetak rompak harta intelek terus berlaku dalam banyak kegiatan ekonomi di bandar-bandar utama China. Sebenarnya, bukan isu IPR itu sahaja yang menyebabkan China lambat diterima penyertaannya ke dalam WTO dan diterima masuk semula ke dalam GATT, sebaliknya terdapat beberapa isu lain yang menyumbang kepada kelewatan tersebut.
Status Negara Membangun
Isu utama terhadap kelewatan diterima masuk dalam WTO adalah berkaitan dengan keistimewaan status “negara membangun” yang dimiliki oleh negara China. Dalam sistem ekonomi global, negara membangun termasuk China memiliki keistimewaan sebagai negara berstatus bukan negara maju. Antara perlindungan yang diberikan termasuklah perlindungan untuk industri kecil yang baru ditubuhkan, faedah Sistem Keutamaan Umum (GSP) dan masa peralihan yang lebih lama untuk melaksanakan prinsip liberal dalam perjanjian WTO.
Saiz ekonomi negara China yang begitu besar dan ditambah pula dengan faktor China sebagai pengeksport terbesar di dunia menjadikan banyak negara maju tidak berpuas hati dengan keistimewaan status negara membangun yang dimiliki China. Negara-negara maju semacam mahu memaksa supaya China segera melakukan reformasi ekonominya secara menyuluruh dan tidak mengambil kesempatan dengan adanya status peralihan tersebut.
Sebenarnya, ideologi sosialisme-komunisme China itu sendiri menjadikan negara berideologi kapitalisme-liberalisme tidak sebulu dengan China. Sebagaimana yang dicatatkan sebelum ini, WTO berasaskan model kapitalisme liberal dengan model multilateralisme. Multilateralisme antara lain bermaksud bahawa semua negara anggota berhak mengadakan hubungan dengan kesemua negara anggota dan semua negara mendapat hak eksport dan import yang sama melalui model multilateralisme itu. Hal ini bermakna, bukan sahaja status negara membangun yang dimiliki China menjadikan banyak negara memendam rasa, bahkan faktor ideologi ekonominya juga tetap menjadi bahan gunjingan ketidakpuasan hati negara anggota WTO.
Hakikat yang China telah ada melancarkan pembaharuan ekonomi berasaskan prinsip pasaran bebas sememangnya tidak dapat dinafikan. Malah, sosialisme yang suatu masa dahulu merupakan musuh ketat kapitalisme semasa era Perang Dingin telah menjadi kembar siam dalam amalan ideologi ekonomi negara Naga Tanah Besar berkenaan. Oleh sebab dimensi sosialisme yang berasaskan ekonomi perancangan pusat masih ada, tentulah peranan negara membantu meningkatkan kecekapan firma negara berkenaan tetap ada.
Pengaruh kerajaan dalam sektor ekonomi negara berkenaan tidak mungkin dapat diubah dalam satu malam. Perpatah Inggeris ada menyebut, “Rome wasn’t built in a day”. Tambahan lagi, terdapat banyak bukti bahawa Model Pembangunan Ekonomi Pimpinan Pemerintah telah membantu banyak negara mundur melonjakkan kedudukan ekonominya. Contoh yang ketara ialah Jepun dan Korea Selatan serta Singapura.
Kewujudan isu peranan pemerintah yang membantu firma swasta China inilah AS menuduh China sebagai tidak jujur dalam hubungan ekonomi antarabangsanya, terutamanya dengan AS sendiri. Keadaan ini menjadikan AS semakin bingung apabila negara itu mendapati defisit perdagangannya dengan China saban tahun semakin meningkat.
Semua negara anggota WTO digesa agar mengamalkan prinsip kental sistem perdagangan bebas seperti Teori Kelebihan Perbandingan, namun perkara ini tidak dipandang serius oleh negara Naga Tanah Besar berkenaan. Oleh sebab itu, apabila China diterima menyertai WTO, terdapat isu yang organisasi berkenaan cuba untuk tidak memberikan China keistimewaan yang sama berdasarkan ekonomi pasaran yang diberikan kepada negara anggota lain, terutamanya negara maju.
Pengaruh Ekonomi China
Hari ini, tidak ada mana-mana negara yang boleh menidakkan kepentingan negara China dalam ekonomi dunia. Pengaruhnya dalam pertubuhan antarabangsa termasuk GATT dan WTO telah menyebabkan negara kuasa besar terutamanya AS, sentiasa memerhatikan tindak tanduk negara itu. Apabila China mengadakan hubungan diplomatik dengan Rusia, terutama dalam isu perang Ukraine, bukan sahaja AS dan NATO, negara anggota Kesatuan Eropah juga masing-masing terpaksa berdepan dengan kata dua ekonomi dan politik. Mereka teragak-agak sama ada mahu memutuskan hubungan (decuppling) dagangan dengan China atau sekadar menghilangkan risiko (derisking) dengan negara China akibat hubungan China dengan Rusia dalam Perang Rusia-Ukraine.
Pilihan tersebut digunakan oleh negara Barat pada masa ini sebagai manifestasi kuatnya pengaruh China terhadap faedah perdagangan negara Barat. Ringkasnya, negara maju terpaksa sama ada meneruskan hubungan ekonomi dengan negara Naga Tanah Besar berkenaan tetapi berhadapan dengan isu keselamatan ataupun memutuskan hubungan tetapi kerugian faedah ekonomi dengan negara yang semakin galak berkembang itu.
Hakikatnya, sejarah China bermula dengan statusnya sebagai sebuah negara yang mundur dan bergolak. Mulai tahun 1966, semasa Revolusi Kebudayaan digerakkan oleh Mao Zedong di China, negara berkenaan mengamalkan dasar yang hampir sama dengan negara Amerika Selatan, iaitu Dasar Penggantian Import (self-sufficient economy). Walau bagaimanapun, penyertaan aktifnya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1970-an telah membolehkan negara berkenaan mula mengadakan hubungan dagang dengan negara luar, terutamanya Barat.
Sebelumnya, iaitu pada tahun 1950, ketika pemerintahan lama China di bawah pimpinan Chiang Kai-shek telah dibubarkan (yang mana beliau telah meninggalkan China), pada masa itulah Chang Kai-shek pernah menarik keluar keanggotaan China daripada GATT dan faktor ini telah digunakan sebagai hujah negara Barat bahawa China telah terkeluar dari pakatan perdagangan ini.
Di pihak China pula, negara berkenaan berhujah bahawa faktor ini tidak mempunyai implikasi undang-undang dan negara berkenan tidak sewajarnya digantung keanggotaannya kerana Chiang Kai-shek tidak lagi memimpin kerajaan China pada ketika itu. Hanya semasa pemerintahan Deng Xiaoping, China mendapati bahawa negaranya tidak akan dapat banyak faedah dagangan antarabangsa tanpa aktif memberikan komitmennya terhadap GATT. Bagi maksud inilah negara tersebut mahu memperbaharui keahliannya pada tahun 1986.
Hari ini, sebagai ahli China sudah menerima layanan sama dengan kebanyakan negara anggota WTO termasuk di bawah peraturan Most Favored Nation (MFN). Kemajuan yang dikecapi oleh China sebahagiannya adalah disebabkan oleh peluang perdagangan yang lebih luas semenjak negara berkenaan menyertai WTO pada Disember 2001. Belt and Road Iniatiative (BRI) yang dilancarkan pada 2013, adalah satu daripada perancangan besar yang menjadikan China negara kuasa besar, menyaingi blok Barat pada hari ini dengan sistem kacukan kapitalisme dan sosialisme, dua sistem yang menjadi musuh utama sehingga mewujudkan Perang Dingin dalam tempoh yang lama sebelum ini.
China hari ini bukannya China yang semalam. Ekonomi China hari ini adalah kemajuan ekonomi yang mampu bersaing dengan kuasa blok Barat. Ketika Trump galak dengan dasar Trade Protectionism beberapa tahun dahulu, China menunjukkan dirinya kepada dunia dengan Model Kembar Siam Sosialisme-Kapitalisme. Dunia ekonomi pada hari ini bukan mementingkan model ekonomi yang sesebuah negara mesti ikuti – sosialisme atau kapitalisme. Kata-kata Deng Xiaoping berikut wajar direnungkan, iaitu “Tidak penting sama ada kucing itu hitam atau putih, yang penting kucing itu adalah kucing yang tangkas menangkap tikus.”