19 November 2023, 23:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kerajaan berhasrat untuk melaksanakan e-invois secara berperingkat bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran percukaian negara dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi digital. Pelaksanaan ini adalah selaras dengan strategi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang memfokuskan pengukuhan infrastruktur perkhidmatan digital dan pendigitalan pentadbiran cukai. Melalui transformasi digital dalam pentadbiran percukaian, pelaksanaan e-invois merupakan salah satu inisiatif dalam meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kawalan pengurusan cukai serta kewangan.

E-invois merupakan representasi dalam bentuk digital bagi transaksi yang dilaksanakan antara penjual dan pembeli bagi menggantikan penggunaan dokumen kertas atau elektronik seperti dalam format pdf, jpeg dan lain-lain. Sistem itu mengandungi maklumat penting yang sama seperti dokumen tradisional seperti butiran penjual dan pembeli, keterangan item, kuantiti, harga tanpa cukai, cukai dan jumlah keseluruhan yang merekodkan data transaksi untuk operasi perniagaan harian.

E-invois telah diperkenalkan di beberapa negara lain sejak tahun 2001 termasuklah Chile, Brazil, Mexico, Denmark, Itali, Perancis, Arab Saudi, Mesir, Korea Selatan, Singapura, dan China. Selari dengan pendigitalan, pentadbir percukaian di seluruh dunia sedang beralih ke arah e-invois bagi pematuhan cukai terutamanya Centralised Clearance Model, iaitu model Continuous Transaction Control (CTC) memandangkan kesahihan data invois disahkan sebelum dikeluarkan kepada pembeli. Lebih daripada 13 negara termasuk Belgium, Jerman, Denmark, Bahrain dan Oman akan memperkenalkan Clearance Model menjelang tahun 2027.

Pelaksanaan e-Invois di Malaysia

Pelaksanaan e-invois di Malaysia akan melibatkan pengeluaran invois bagi transaksi perniagaan yang dilakukan antara perniagaan dengan perniagaan, perniagaan dengan kerajaan dan perniagaan dengan pelanggan. Pelaksanaan e-invois ini bukan sahaja melibatkan transaksi tempatan, malah turut melibatkan transaksi perniagaan luar negara. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus komited mengatur strategi dalam memperkasa agenda pembangunan dan pelaksanaan e-invois dengan menambah baik dokumentasi panduan dan rujukan pembayar cukai meliputi Garis Panduan Umum e-Invois (Versi 2.1) dan Garis Panduan Spesifik e-Invois (Versi 1.1).

Garis Panduan Umum e-Invois (Versi 2.1) mengandungi maklumat tambahan umum yang telah dikemas kini berhubung dengan pelaksanaan inisiatif e-invois, manakala Garis Panduan Spesifik e-Invois (Versi 1.1) pula menerangkan secara khusus bagi transaksi tertentu seperti transaksi melibatkan pembeli, penyata atau bil yang disediakan secara berkala, pengeluaran dan bayaran balik serta perkuisit dan manfaat pekerja. Garis panduan spesifik ini turut menerangkan tentang sebahagian perbelanjaan oleh pekerja bagi pihak majikan, pengeluaran e-invois bil kendiri dan transaksi yang melibatkan pembayaran dalam bentuk kewangan kepada ejen, pengedar atau pengagih. Bukan itu sahaja, Garis Panduan Spesifik e-Invois juga mempunyai maklumat lebih lanjut berkaitan transaksi rentas sempadan, pengagihan keuntungan, pendapatan luar negara, kadar tukaran mata wang asing, gambaran berkaitan Application Programming Interface (API) dan keselamatan siber. Pembayar cukai boleh mengakses dan memuat turun garis panduan umum dan spesifik ini menerusi pautan https://www.hasil.gov.my/e-invois/.

Manfaat e-Invois

Pelaksanaan e-invois akan meningkatkan kecekapan dan melancarkan operasi perniagaan pembayar cukai serta meningkatkan tahap pematuhan cukai termasuklah mengurangkan proses manual dan kesilapan, memudahkan pengemukaan Borang Nyata, meningkatkan kecekapkan operasi dan mendigitalkan pelaporan percukaian dan kewangan.

Bagi memudahkan peralihan kepada e-invois, pembayar cukai boleh memilih mekanisme yang paling sesuai untuk menghantar e-invois kepada HASiL berdasarkan keperluan perniagaan mereka dan keadaan tertentu. Pembayar cukai boleh memilih sama ada untuk menggunakan Portal MyInvois atau API.

Portal MyInvois ialah portal yang dihoskan oleh HASiL bagi membolehkan pembayar cukai mengakses tanpa sebarang kos sekiranya sambungan API tidak tersedia. Manakala, API ialah satu set kod pengaturcaraan yang membolehkan penghantaran data secara langsung antara sistem pembayar cukai dengan Sistem MyInvois. Mekanisme ini sesuai untuk pembayar cukai besar atau perniagaan dengan jumlah transaksi yang besar kerana hal tersebut memerlukan pelaburan awal dalam teknologi dan pelarasan kepada sistem sedia ada.

E-invois akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar. Pertimbangan dan perancangan yang teliti telah dibuat dengan mengambil kira julat pendapatan atau jualan tahunan. Hal ini bagi memastikan pembayar cukai mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk menyediakan dan menyesuaikan diri dengan pelaksanaan e-invois.

Usaha HASiL Memperkenalkan e-Invois kepada Pembayar Cukai

Dalam menyediakan maklumat komprehensif berkenaan pelaksanaan e-invois di Malaysia, HASiL giat menjalankan jalinan kerjasama bersama dengan pengamal percukaian dan badan profesional. Bukan itu sahaja, sesi libat urus bersama-sama dengan pengamal media, pempengaruh media dan pemain industri turut diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan awal dan mendapatkan maklum balas terus berkenaan strategi pemasaran yang boleh dilaksanakan bagi membantu HASiL dalam menyebarluaskan kepentingan e-invois dalam konteks urusan percukaian negara. Tambahan pula, peranan yang dimainkan oleh kumpulan ini sangat penting dan mampu bertindak sebagai duta HASiL dalam menyampaikan maklumat percukaian kepada pembayar cukai yang berkaitan.

HASiL juga telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia sebagai tanda menjalinkan kerjasama strategik bagi pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan. Melalui MoU ini, MDEC dan HASiL akan bekerjasama dalam menyelaraskan pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan dengan model pematuhan cukai di seluruh negara serta berkongsi status pelaksanaan dan rangka kerja berkenaan perancangan, strategi dan perkembangan berhubung pelaksanaan inisiatif tersebut.

Adalah diharapkan dengan penganjuran sesi libat urus dan jalinan kerjasama berkenaan pelaksanaan e-invois ini dapat memberikan gambaran yang jelas tentang hasrat pihak kerajaan untuk menambah baik sistem percukaian negara dan mendorong kepada peningkatan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai di Malaysia. HASiL mengalu-alukan sebarang pandangan dan maklum balas berhubung pelaksanaan e-invois yang boleh disalurkan menerusi e-mel rasmi [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.