Oleh Makmor Tumin
27 Oktober 2023, 10:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sekiranya barang atau perkhidmatan mewah mesti diberikan hak harta intelek (IPR) eksklusif kepada pembuat atau pencipta barangan tersebut, sewajarnya mungkin tidak menimbulkan masalah. Hal ini kerana barangan tersebut sememangnya disasarkan kepada pengguna yang kaya dan berada. Sebagai contoh, sekiranya pakaian atau kasut berkualiti dan berjenama antarabangsa hendak diberikan hak tanda dagangan bagi memastikan harga dan kualitinya sentiasa menarik, hal tersebut sememangnya tiada masalah untuk dibenarkan.

Walau bagaimanapun, sekiranya barangan asasi seperti ubat yang penting untuk rawatan bagi orang awam dijual dengan harga yang mahal hendak diberikan IPR kepada pengusaha, tentunya seolah-olah ada sesuatu yang mesti dipertikaikan atau setidak-tidaknya dibahaskan. Ubat merupakan keperluan yang menjadi sebab kepada hidup mati seseorang dan hal tersebut haruslah difahami sebagai hak asasi kesihatan manusia dan bukan dengan sewenang-wenangnya hendak dimonopoli pengeluarannya.

Memang ada negara yang memberi keutamaan terhadap pematuhan peraturan IPR, misalnya negara blok kapitalisme liberal, terutamanya Amerika Syarikat (AS). Namun begitu, banyak negara yang secara amnya masih bersifat longgar terhadap pematuhan peraturan berkenaan. Antara negara tersebut termasuklah negara Timur Tengah dan Afrika Utara, Amerika Selatan dan juga negara ekonomi kuasa besar seperti China.

Umumnya, negara membangun masih memerlukan pemindahan teknologi dan pengetahuan ke negara mereka secara percuma atau setidak-tidaknya pada kos yang sangat minimum bagi memastikan kemajuan negaranya tidak terencat disebabkan oleh syarat pematuhan IPR berkenaan. Secara amnya, tugas utama seseorang formulator polisi adalah untuk memastikan ditemukan titik keseimbangan antara menggalakkan inovasi tempatan dengan tidak menggadaikan kepentingan kesejahteraan masyarakat. Dalam isu ubat-ubatan misalnya, di samping memastikan keuntungan industri perubatan, para penggubal polisi perlu akur tentang kemampuan masyarakat mendapatkan rawatan dengan adanya ubat-ubatan terkini yang berkualiti.

Sekilas pandang, kelihatannya tidak ada apa-apa yang besar dalam isu ini. Sebenarnya, isu hak paten terhadap pengeluaran ubat-ubatan dan hak pesakit adalah satu isu yang sangat mencabar dan kerap mendatangkan ketegangan yang berpanjangan menyebabkan isu IPR bersimpang siur. IPR produksi ubat-ubatan disebut hak paten sebagaimana hak cipta bagi produksi buku manakala tanda dagangan pula adalah bagi pengeluaran pakaian dan kasut, sebagaimana yang disentuh dalam huraian sebelum ini.

Umumnya, ketegangan terjadi antara keperluan melindungi hak paten kepada industri dengan  memastikan keperluan pesakit untuk mendapatkan akses terhadap ubat-ubatan, baik dari segi mampu milik ataupun kualitinya. Hal ini tidak termasuk ketegangan yang berkaitan peranan kerajaan sendiri untuk mempromosikan inovasi dalam sektor penjagaan kesihatan negaranya. Melalui perlindungan hak paten berkenaan, maka hal tersebut akan dapat memberikan insentif kepada syarikat farmaseutikal untuk melabur dalam penyelidikan dan kemajuan ubat baharu yang lebih berkualiti.

Sesebuah pelaburan tentulah memerlukan kos yang tinggi, bukan sahaja dari segi wang, tenaga dan masa, tetapi juga risiko pengeluaran ubat berkenaan. Dalam usaha untuk memastikan pihak industri dapat mengaut keuntungan bagi menanggung kos sebelumnya, hak eksklusif paten sememangnya wajar dibenarkan. Hal ini bertujuan bagi membolehkan pemegang paten berkenaan mempunyai tempoh masa yang lebih lama untuk menjual ubat atau mengenakan yuran terhadap hak paten berkenaan bagi menampung kos melalui hak eksklusif untuk mengeluarkan dan menjual ubat tertentu mengikut tempoh masa yang biasa dibenarkan, iaitu 20 tahun. Namun begitu, tempoh yang diberikan ini sebenarnya agak panjang.

Situasi seperti inilah yang sebenarnya mendatangkan banyak masalah dan ketegangan. Hal ini kerana situasi tersebut bukan sahaja dapat menghalang kemasukan ubat versi generik (yang harganya kebiasaannya lebih murah atau berpatutan) ke dalam pasaran, tetapi juga tidak menggalakkan kepada inovasi ubat yang baharu. Ubat-ubat generik keluaran tempatan sememangnya jauh lebih murah. Bagi pesakit darah tinggi yang diberi rawatan dengan amlodipine jenama Hovasc tentu tahu betapa murahnya harga ubat berkenaan. Itulah sebabnya larangan hak eksklusif seumpama ini dicabar oleh banyak pihak, terutama kumpulan masyarakat sivil.

Sewajarnya, dalam keadaan berlakunya darurat kesihatan awam, ubat-ubatan berkenaan mesti diberi dengan harga murah jika bukan secara percuma. Sebagai contoh isu yang berkaitan dengan pesakit HIV/AIDS di Afrika Selatan dengan hak paten industri ubat antiretroviral yang merupakan isu kontroversi di penghujung abad yang lalu. Hanya apabila ramai yang telah meninggal dunia dan ramai yang membantah barulah pertimbangan diambil oleh pihak firma farmasi untuk melonggarkan pematuhan IPR berkenaan. Terdapat peruntukan yang disebut sebagai perlesenan wajib di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Melalui mekanisme ini, kerajaan dibenarkan memberi lesen kepada pihak ketiga untuk menghasilkan produk yang dipatenkan atau menggunakan proses yang dipatenkan tanpa kebenaran pemegang paten. Walau bagaimanapun, sememangnya dapat diduga akan sering terjadi pertikaian tentang syarat lesen wajib diberikan dan kesannya ke atas hak pemegang paten.

Masalah lain adalah yang dikaitkan dengan istilah evergreening, iaitu amalan membuat pengubahsuaian kecil atau penambahbaikan terhadap produk atau proses sedia ada yang dipatenkan untuk memanjangkan tempoh perlindungan paten. Hak paten boleh diteruskan dengan hanya mengubah ubat daripada bentuk tablet kepada bentuk kapsul. Bukankah amalan seperti ini hanya memanjangkan monopoli ubat tertentu? Bukan itu sahaja, hal ini sebenarnya menyekat persaingan dalam industri perubatan itu sendiri, termasuk menghalang kemajuan ubat generik (alternatif) yang jauh lebih murah itu. Hal ini sebenarnya menghalang kemajuan kualiti ubat-ubatan secara keseluruhan kerana hak paten berkenaan membolehkan penyelidikan terhenti seketika, namun pengeluar ubat masih dapat mengaut keuntungannya. Oleh sebab itu, terdapat gesaan supaya pematuhan hak paten berkenaan dikecualikan bagi tujuan penyelidikan.

IPR penting kerana dapat menyediakan perlindungan undang-undang untuk inovator dan pencipta.

Tidak dinafikan bahawa IPR berperanan penting dalam menggalakkan inovasi, kreativiti dan pembangunan ekonomi, di samping melindungi kepentingan pencipta dan pengguna itu sendiri. IPR merujuk kepada hak undang-undang yang diberikan kepada individu atau organisasi bagi ciptaan atau rekaan mereka. Ciptaan ini boleh termasuk ciptaan karya sarjana dan seni, simbol, kemasyhuran nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perdagangan atau sebarang aktiviti kempen dan promosi.

IPR penting kerana dapat menyediakan perlindungan undang-undang untuk inovator dan pencipta. Dengan adanya peruntukan tersebut, hal ini akan dapat membenarkan individu dan organisasi mempunyai kawalan eksklusif ke atas ciptaan mereka, pada masa yang sama dapat menghalang orang lain daripada menggunakan, menyalin atau mengaut keuntungan daripada mereka tanpa kebenaran. Sebagaimana yang disentuh sebelum ini, individu dan syarikat bukan sahaja perlu melaburkan masa, wang dan usaha untuk membangunkan ciptaan baharu dan karya kreatif, malah mereka perlu menunggu tempoh yang lama untuk mendapat balik kos yang dilaburkan sebelumnya.

Ganjaran kewangan diharapkan daripada pelaburan sedemikian, namun yang tidak kurang pentingnya ialah pengiktirafan daripada inovasi dan kreativiti yang dicurahkan dan dipamerkan. Ganjaran lain juga boleh diperoleh, misalnya dengan menjana pendapatan melalui royalti dan dengan kaedah mengenakan yuran perlesenan tertentu. Kesemuanya boleh menjadikan pengusaha lebih bermotivasi untuk terus berinovasi. Galakan kepada para usahawan dan perniagaan untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan mesti diteruskan. Hal ini demikian kerana merekalah yang membawa negara ke arah kemajuan teknologi dalam industri baharu termasuk memberikan peluang terhadap peningkatan jumlah pekerjaan.

Hakikatnya, tidak ramai pengguna yang faham bahawa IPR itu juga mempunyai fungsinya yang tersendiri terhadap kumpulan pengguna. Pematuhan IPR dapat membantu melindungi pengguna sendiri dengan memastikan kualiti dan ketulenan produk di samping perkhidmatan yang disediakan. Sebagai contoh, tanpa adanya pematuhan IPR seperti hak paten kepada pihak farmasi, kemungkinan lambakan ubat-ubatan tiruan di pasaran. Pengguna boleh mendapatkan ubat pada harga murah, namun begitu kualiti dan ubat berkenaan amat diragukan ketulenannya.

Kita tentunya mahu teknologi baharu yang dicipta dan diguna untuk menghasilkan produk yang terkini dan berkualiti. Kesemuanya amat bergantung pada kemampuan pengusaha untuk terus melabur dan demikian itulah pentingnya pematuhan kepada IPR berkenaan. Namun begitu, sebagaimana yang dibincangkan dalam bahagian pendahuluan sebelum ini, IPR bagi barangan mewah amat dialu-alukan. Namun, IPR untuk barangan keperluan bagi menjaga kepentingan inovator boleh menjejaskan hak asasi manusia. Kelonggaran terhadap hak paten ubat-ubatan perlulah dipertimbangkan untuk diberikan kepada negara membangun bagi membolehkan pengguna mendapat faedah daripada ubat-ubat berkenaan serta pengaliran dan pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada negara membangun dapat dilakukan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.