Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDalam ketidaktentuan ekonomi global masa ini, Malaysia sebagai sebuah negara membangun turut terkesan. Masyarakat perlu lebih bersedia dengan segala pengurusan dan perancangan kewangan sejak dari awal. Ditambah pula dengan situasi negara yang akan mencapai status negara tua dengan lebih cepat berbanding dengan negara maju. Situasi ini menyebabkan banyak belia yang terbeban dengan pelbagai tanggungjawab terutamanya dalam aspek kewangan kerana mereka bukan sahaja perlu menyara keluarga kecil mereka, tetapi juga ibu bapa masing-masing yang secara tak langsung menjadikan mereka ini digelar “generasi sandwic”.
Generasi sandwic sebenarnya bukanlah suatu isu yang baharu di negara ini kerana hal tersebut telah mula diperkatakan sejak tahun 90-an lagi. Berdasarkan kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPMKM-5) mendapati bahawa 68.2% atau hampir enam juta wanita di negara ini dikategorikan sebagai keluarga “sandwic”. Kecanggihan dunia perubatan hari ini membolehkan jangka hayat seseorang semakin panjang kini menjadikan isu ini semakin hangat diperkatakan. Malaysia dijangka akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila 15% daripada jumlah penduduk merupakan warga emas.
Umumnya, generasi sandwic merupakan golongan yang terperangkap dalam urusan penjagaan dua generasi, iaitu kanak-kanak dan warga emas yang sudah uzur. Situasi ini menuntut pelaksanaan tugas penjagaan secara serentak yang sedikit banyak membebankan mereka. Kebiasaannya, golongan sandwic ini berada dalam lingkungan umur di bawah 40 tahun, iaitu berada dalam golongan pertengahan umur.
Generasi sandwic juga bermaksud seseorang yang masih perlu membiayai orang tua mereka setelah orang tua memasuki alam persaraan selain masih perlu menanggung perbelanjaan sendiri dan keluarga kecil mereka. Tuntutan yang cukup besar ini sudah tentu secara tidak langsung bukan sahaja menuntut mereka untuk memiliki sumber kewangan yang cukup, tetapi juga masa untuk menjaga keperluan kedua-dua golongan, iaitu ibu bapa dan anak-anak yang menjadi tanggungjawab mereka. Bagi mereka yang mempunyai kewangan yang stabil dan mampu mengupah penjaga buat ibu bapa, sudah tentu hal ini tidak merunsingkan. Namun demikian, kebanyakan situasi di negara ini adalah sebaliknya. Generasi sandwic di negara ini kebanyakannya termasuk dalam kategori B40 yang keadaan ekonomi mereka tidak stabil dan memerlukan bantuan daripada kerajaan.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah, sesetengah keluarga sandwic yang tinggal serumah turut terbeban dengan pelbagai peranan dalam satu masa, iaitu selepas seharian bekerja, pulang ke rumah dan mengambil tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan penjaga orang tua. Tuntutan tersebut dilakukan atas dasar tanggungjawab anak terhadap ibu bapa. Yang menjadikan kewujudan lebih banyak generasi sandwic di negara kita adalah kebanyakan ibu bapa di Malaysia menitikberatkan ikatan dan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa masing-masing. Mereka kurang menitikberatkan persediaan kehidupan mereka semasa alam persaraan atau pun semasa di usia tua kerana mereka meletakkan tanggungjawab tersebut kepada anak masing-masing.
Tidak dapat dinafikan bahawa Islam sendiri menuntut anak-anak untuk berbakti kepada kedua orang tuanya dan sudah tentulah setiap anak juga berharap mereka mampu berbuat demikian. Bahkan, perbuatan tersebut juga merupakan antara kesempatan bagi anak-anak untuk membalas jasa kedua-dua orang tua yang membesarkan mereka. Namun begitu, faktor desakan hidup dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini menjadikan mereka terbeban dengan perbelanjaan tiga pihak, iaitu diri sendiri, anak dan ibu bapa. Bebanan tersebut cukup merungsingkan sehingga menjejaskan kesihatan mental generasi sandwic ini yang mengakibatkan segelintir daripada mereka memilih untuk bersikap lepas tangan. Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat 656 kes pengabaian atau dipinggirkan keluarga membabitkan warga emas di seluruh negara dalam tempoh lima tahun belakangan ini. Mantan Ketua Pengarahnya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot menyatakan bahawa tahun 2020 mencatatkan kes tertinggi, iaitu sebanyak 162 kes.
Dalam usaha untuk mengurangkan generasi sandwic bagi negara yang sedang menuju ke arah negara menua tidak lama lagi, masyarakat sebenarnya perlu bersedia dengan pelan persaraan. Pelabur dan pakar hartanah, Dr. Azizul Azli Ahmad menyatakan bahawa para ibu bapa disarankan agar tidak jadikan anak-anak sebagai mesin persaraan. Anak-anak digelar sebagai anak derhaka kerana tidak mahu menyara mereka, sedangkan ibu bapa yang lalai dan tidak membuat perancangan persaraan. Jika kita bersedia lebih awal dengan menyediakan sumber kewangan yang cukup sebagai tabung persaraan, ibu bapa akan memudahkan urusan anak-anak yang baru bermula untuk hidup berkeluarga.
Masyarakat Malaysia perlu berusaha memastikan keterjaminan kewangan selepas persaraan sejak dari awal agar mampu mengelakkan kewujudan generasi sandwic yang semakin terbeban dengan ketidaktentuan ekonomi hari ini. Namun begitu, jika diperhatikan kewujudan generasi sandwic sukar dielak apatah lagi dihapuskan apabila kaji selidik yang dilakukan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) mendedahkan bahawa sebanyak 84% rakyat Malaysia tiada simpanan tetap setiap bulan. Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Profesor Datuk Dr. Norma Mansor, tahap celik kewangan yang rendah dan peningkatan kos sara hidup menjadi penyebab utama rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang rendah, hutang yang besar serta isu muflis dalam kalangan belia masa ini. Situasi ini amat membimbangkan kerana generasi belia hari ini gemar bekerja sendiri dan tidak menyediakan simpanan tetap secara berkala sehingga menyebabkan kesukaran untuk menamatkan generasi sandwic di negara ini.
Masyarakat yang mempunyai simpanan wang persaraan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula perlu lebih bijak menguruskan simpanan mereka dan tidak mengeluarkan simpanan tersebut untuk sesuatu yang bersifat kehendak seperti pengubahsuaian rumah secara berlebihan. Menurut pihak KWSP, peratusan ahlinya yang mempunyai tahap simpanan rendah kritikal meningkat sebanyak 48% selepas tempoh pandemik COVID-19 berbanding dengan hanya 28% sebelumnya. Hal ini amat menggusarkan kerana simpanan persaraan yang semakin kecil tersebut jelas tidak mampu menampung kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun. Ketidakterjaminan kewangan tersebut akhirnya akan menyebabkan kita meletakkan beban kewangan kepada anak-anak yang secara langsung menjadikan mereka generasi sandwic.
Dalam menuju ke arah negara menua, perancangan kendiri berkaitan dengan kewangan dan pelan persaraan perlu diberikan perhatian oleh masyarakat terutamanya bagi membantu mengurangkan beban generasi sandwic yang semakin meningkat dan seterusnya menghapuskan generasi ini suatu hari nanti. Kerajaan dan institusi berkaitan juga diharapkan dapat menyokong dan membantu masyarakat mempunyai kesedaran terhadap pelan persaraan yang mantap dan rapi agar tidak membebankan generasi seterusnya. Bebanan generasi sandwic dan kemiskinan semasa tua dapat dielakkan sekiranya masyarakat, kerajaan dan institusi berkaitan memandang isu ini dengan lebih serius dan mengambil tindakan yang sewajarnya.