Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangProgram Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 memberikan peluang kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai mereka. Hal ini boleh menggalakkan pembayar cukai secara sukarela melaporkan pendapatan yang sepatutnya dan membuat bayaran cukai tersebut dalam tempoh pelaksanaan yang ditetapkan.
Peluang bagi pembayar cukai baharuĀ
Semua kategori pembayar cukai ditawarkan PKPS 2.0 kecuali kategori fail majikan. Program ini layak disertai oleh mereka yang mempunyai pendapatan yang tidak pernah dilaporkan atau kurang dilaporkan, perbelanjaan atau tuntutan terlebih tuntut atau tidak dibenarkan, pelepasan/potongan atau rebat terlebih tuntut dan elaun modal/insentif terlebih tuntut. Program ini juga boleh disertai oleh mereka yang ingin melaporkan pelupusan aset dan membuat penyeteman dokumen atau perjanjian yang tidak disetem dalam tempoh dibenarkan.
PKPS 2.0 turut memfokuskan penyertaan pembayar cukai baharu selaras dengan pelaksanaan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) mulai tahun 2023 yang melibatkan sebanyak 7.8 juta individu warganegara dan pemastautin tetap yang diberikan TIN secara automatik.
Taksiran cukai atas pengakuan melibatkan tahun ke belakang
Taksiran terhadap pembayar cukai baharu yang telah memulakan perniagaan atau mempunyai pendapatan dibuat bagi tahun taksiran 2022 dan tahun ke belakang. Taksiran terhadap pembayar cukai sedia ada pula dibuat bagi tahun 2021 dan tahun ke belakang bagi yang pernah melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) tetapi tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP). Sementara itu, mereka yang pernah melaporkan pendapatan kepada HASiL dan mempunyai pendapatan atau pendapatan tambahan yang tidak dilaporkan pula ditaksir bagi tahun 2021 dan tahun ke belakang.
Pengakuan juga boleh dibuat oleh mereka yang tidak melaporkan pelupusan aset bagi tahun taksiran 2022 dan tahun ke belakang. Bagi pembayar duti, PKPS 2.0 boleh disertai sekiranya mereka mengemukakan dokumen atau perjanjian yang ditandatangan pada atau sebelum 1 Mei 2023 untuk disetemkan mulai 6 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.
Semua pengakuan sukarela bagi pendapatan tahun ke belakang akan ditaksir berdasarkan tahun taksiran yang sepatutnya seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang percukaian. Bagi Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), pengakuan sukarela atas pelaporan pelupusan aset tahun ke belakang ditaksir berdasarkan tahun taksiran aset tersebut dilupuskan.
Tiada audit dan penalti
HASiL menerima maklumat pengakuan sukarela dalam tempoh PKPS 2.0 dengan suci hati. Tiada tindakan audit atau siasatan akan dilakukan pada masa hadapan. Tindakan audit atau siasatan boleh diambil bagi tahun taksiran terlibat sekiranya gagal melunaskan bayaran cukai dalam tempoh masa yang ditetapkan. Pembayar cukai juga akan menikmati tawaran penalti pada kadar 0% bagi pendapatan yang dilaporkan menerusi program ini. Bagi duti setem pula, tawaran pengecualian pengenaan penalti sepenuhnya atas mana-mana dokumen atau perjanjian yang ditandatangan pada atau sebelum 1 Mei 2023 dan masih belum disetemkan.
Permohonan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja
Permohonan yang lengkap dan memenuhi syarat kelayakan akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh penerimaan. Walau bagaimanapun, 30 hari bekerja diambil bagi memproses permohonan melibatkan isu harga pindahan. Surat penyelesaian akan dikeluarkan bersama-sama notis taksiran/taksiran tambahan bagi pengakuan yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Sertai PKPS 2.0 secara dalam talian
Pengakuan sukarela boleh dibuat hingga 31 Mei 2024 menerusi mytax.hasil.gov.my menggunakan BNCP bagi tahun taksiran yang terlibat. BNCP yang tidak boleh diakses perlu dikemukakan secara manual ke Pejabat HASiL yang mengendalikan fail pembayar cukai atau ke Pejabat HASiL berhampiran. BNCP manual termasuk Borang Pengakuan Sukarela bagi Kes Harga Pindahan boleh dimuat turun dan dicetak dari Portal Rasmi HASiL. Bagi pembayar duti, dokumen/perjanjian perlu dikemukakan melalui Stamp Assessment and Payment System (STAMPS) untuk disetemkan.
Bayaran cukai dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis
Bayaran cukai boleh dibuat sekali gus dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis atau secara ansuran hingga 31 Mei 2024 berdasarkan aturan bayaran ansuran yang dipersetujui tanpa mengemukakan dokumen sokongan. Permohonan aturan bayaran ansuran perlu dikemukakan melalui Pautan PKPS 2.0 di Portal Rasmi HASiL atau MyTax menggunakan Borang Permohonan Bayaran Ansuran PKPS 2.0. Tindakan undang-undang dan audit boleh diambil pada masa hadapan jika tunggakan cukai tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan. Oleh itu, pemohon boleh memohon bayaran ansuran mulai sekarang bagi mengurangkan komitmen bulanan kerana tempoh ansurannya adalah lebih panjang. Sekiranya tempoh PKPS 2.0 semakin singkat, maka bilangan ansuran juga akan turut berkurangan menyebabkan amaun ansuran bulanan akan menjadi lebih tinggi.
Pendapatan diterima atau disimpan di luar negara tertakluk pada cukai
Pendapatan diperoleh atau terbit dari Malaysia walaupun disimpan dalam akaun bank di luar negara masih tertakluk pada cukai pendapatan di Malaysia. Sekiranya pendapatan tersebut belum dilaporkan, pembayar cukai perlu melaporkannya menerusi PKPS 2.0 berdasarkan tahun taksiran pendapatan tersebut diperoleh dan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Pendapatan luar negara yang diterima di Malaysia oleh pemastautin juga tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia mulai 1 Januari 2022. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian cukai diberikan berhubung dengan pendapatan tersebut yang tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Sertai PKPS 2.0 sekarang!
Rebut tawaran lunas cukai tanpa penalti. Sertai PKPS 2.0 sekarang hingga 31 Mei 2024 menerusi Portal MyTax di mytax.hasil.gov.my atau melalui pautan PKPS 2.0 di www.hasil.gov.my.