23 Ogos 2023, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Teknologi pada masa ini tidak dapat dipisahkan kerana teknologi menjadi instrumen arus perdana dalam aktiviti harian. Penggunaan teknologi juga telah diaplikasikan dalam sektor kewangan yang dikenali sebagai “fintech”. Tidak ketinggalan dek arus transfromasi digital ini, kutipan dan agihan zakat di Malaysia juga memanfaatkan aplikasi teknologi digital bagi memudahkan kutipan daripada pembayar zakat dan menjadikan agihan zakat kepada asnaf lebih efektif. Sebagai contoh, setiap Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah meletakkan platform bayaran atau sistem JomPay dalam laman sesawang masing-masing supaya masyarakat boleh melakukan transaksi zakat tanpa sempadan. Bahkan, terdapat juga sebahagian MAIN yang bekerjasama dengan platform e-dagang sebagai ejen kutipan zakat. Teknologi ini telah memainkan peranan yang besar dalam mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang zakat dari aspek tanggungjawab, data agihan dan kumpulan zakat serta aktiviti yang dijalankan.

Selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang membincangkan enam nilai teras, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta,  hormat, keyakinan dan ihsan; pengurusan zakat terus memperkasakan zakat digital. Teknologi blok rantai (blockchain) diperkenalkan selaras dengan nilai daya cipta yang ingin digarap sebagai inovasi baharu terhadap industri zakat. Teknologi blok rantai ini terkenal dengan nilai ketelusan, mudah dijejak kesan dan selamat. Hal ini akan dapat menghidupkan harapan masyarakat terhadap perubahan seiring sikap amanah dalam melakukan perubahan ke arah kebaikan. Begitu juga dengan nilai kemampanan, kesejahteraan dan ihsan yang menjadi teras MADANI juga dapat dilihat melalui fungsi zakat itu sendiri sebagai instrumen perkembangan sosioekonomi masyarakat. Apabila teknologi blok rantai diadaptasi dalam sistem pengurusan zakat, sudah pastinya transformasi ini akan menyumbang kepada ketiga-tiga nilai tadi.

Blok Rantai

Hari ini, teknologi blok rantai telah banyak dibahaskan dan ditimbulkan untuk diadaptasi dalam pelbagai sektor. Hal ini berikutan teknologi tersebut mempunyai prinsip bahawa semua transaksi tidak boleh diubah, mudah dijejak kesan dan mempunyai ketelusan. Lantaran itu, blok rantai seperti pangkalan data terbuka (open public ledger) yang tidak mempunyai pengawal sistem (decentralized) menyimpan dan merekod data setiap transaksi, seterusnya maklumat tersebut diagihkan merentasi setiap rangkaian yang ada dalam sistem blok rantai tersebut. Sesuai dengan prinsip tersebut, teknologi blok rantai dilihat akan dapat mendatangkan manfaat terhadap setiap industri yang mengguna pakai teknologi tersebut. Apatah lagi jika diteliti teknologi tersebut selaras dengan prinsip zakat yang memerlukan pengurusan yang telus, tetap dan mudah dijejak kesan dari sudut rekod pembayar zakat dan agihan kepada asnaf.

Teknologi blok rantai telah banyak dibahaskan dan ditimbulkan untuk diadaptasi dalam pelbagai sektor.

Tidak dinafikan bahawa usaha penggunaan teknologi dalam pengurusan zakat perlu dipuji, namun masih terdapat isu yang menyebabkan hilangnya kepercayaan dan kesetiaan masyarakat. Hal ini mengakibatkan mereka  memilih untuk membayar zakat secara langsung kepada asnaf. Malahan, isu ketiadaan data terkumpul yang sistematik terutamanya data asnaf juga menjadi satu daripada isu dalam pengurusan zakat kerana data asnaf tersebut jika diwujudkan, pastinya gerak kehidupan asnaf tersebut dapat dikenal pasti dan dipantau supaya kehidupan mereka akan lebih produktif. Hal ini kerana tujuan utama zakat dalam Islam adalah untuk menjadikan asnaf zakat sebagai pembayar zakat pada akhirnya.

Bersediakah Kita?

Revolusi Industri 4.0 telah menjadi teras negara. Apabila diteliti, adaptasi teknologi blok rantai dalam pengurusan zakat di Malaysia dilihat seiring dengan proses transformasi digital yang diinginkan oleh negara. Pengurusan gerak kerja yang menjadi satu daripada fungsi rancangan hala tuju ini sangat seiring dengan zakat yang memerlukan pengesanan identiti dalam pengurusannya. Keadaan dan produktiviti asnaf sepatutnya sentiasa dipantau bagi memastikan kejayaan proses transformasi asnaf.

Hal ini dipersetujui sebahagian MAIN apabila mereka menyatakan bahawa asnaf berada dalam keadaan yang tidak tetap dan sangat dinamik di mana ia bergantung kepada produktiviti mereka. Oleh itu, melalui sistem yang mengenal pasti, merekod dan mengemas kini keadaan asnaf tanpa sebarang perubahan dan campur tangan pihak ketiga akan membantu pengurusan zakat dengan lebih sistematik dan mengelakkan sebarang krisis ketidakpadanan data dan agihan.

Dalam pada itu, institusi zakat juga telah memulakan kesediaan dari sudut memahami penyediaan infrastruktur untuk pelaksanaan teknologi blok rantai ini. Kita tahu bahawa infrastruktur menjadi satu perkara penting untuk mengadaptasi sesebuah teknologi baharu sama ada teknologi kos kewangan, kos infrastruktur teknologi komunikasi (IT) dan kos sumber manusia. Tidak dapat dinafikan bahawa pelaksanaan teknologi seperti blok rantai ini pastinya memerlukan kos yang banyak kerana hal tersebut masih lagi pada peringkat permulaan. Namun, sebahagian institusi zakat sangat meraikan kedatangan teknologi blok rantai dalam pengurusan zakat melalui persiapan sumber modal insan dengan menghadiri latihan dan pembangunan berkaitan dengan fintech. Kesediaan beberapa institusi zakat ini termasuklah dalam usaha membangunkan sistem teknologi secara dalaman dan bersedia untuk melabur bagi pelaksanaan teknologi ini untuk kepentingan kutipan dan agihan zakat yang lebih efektif pada masa akan datang.

Cabaran Masa Hadapan

Walaupun potensi teknologi blok rantai dapat dilihat perkembangannya tetapi cabaran pelaksanaannya terhadap pengurusan zakat perlu diteliti kerana di Malaysia, pelaksanaan adalah bergantung pada undang-undang. Tambahan pula, undang-undang atau polisi terhadap teknologi blok rantai sehingga kini masih lagi belum diteroka dan ditubuhkan. Rancangan hala tuju telah pun dilancarkan di Malaysia, namun aspek kesahan teknologi blok rantai ini sangatlah bergantung pada kewujudan undang-undang yang memandu penggunaannya.

Tambahan lagi, pengurusan zakat di Malaysia adalah berasaskan undang-undang setiap negeri, iaitu perihal zakat ditadbir urus oleh negeri masing-masing. Pelaksanaan teknologi blok rantai dalam zakat perlu diperhalusi juga dari aspek privasi pelanggan. Hal ini kerana perkara yang akan dikongsi dan diagihkan dalam sistem blok rantai termasuklah data pembayar serta asnaf dan hal ini perlu lebih berwaspada supaya tidak melanggari Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Sebahagian institusi zakat sangat meraikan kedatangan teknologi blok rantai dalam pengurusan zakat.

Di samping itu, cabaran teknologi blok rantai juga merangkumi literasi blok rantai dalam kalangan masyarakat. Literasi atau pengetahuan terhadap teknologi blok rantai sangatlah penting terutama dari sudut pengurusan zakat. Hari ini masyarakat dilihat masih lagi keliru dengan teknikal dan praktikal teknologi blok rantai. Ada yang berpendapat bahawa walaupun persediaan ke arah blok rantai itu sangat tinggi, pengetahuan yang mendalam amat diperlukan. Hal ini perlu disemarakkan melalui kempen kesedaran, seminar dan bengkel untuk tambah kefahaman tentang teknologi blok rantai.

Tuntasnya, institusi zakat menantikan kedatangan teknologi blok rantai ini untuk manfaat zakat yang lebih besar. Cabaran implementasi teknologi ini juga menuntut penyelesaian dan jelaslah bahawa teknologi blok rantai akan menjadi satu daripada usaha ke arah Malaysia MADANI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.