2 Ogos 2023, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Latihan industri menjadi keperluan wajib bagi kebanyakan bidang pengajian di institusi pengajian tinggi. Latihan industri memberi peluang kepada pelajar untuk melalui pengalaman berada dalam organisasi sebagai seorang “pekerja”, mendapat peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari secara teori di kampus ke dalam dunia pekerjaan sebenar. Lebih bermakna lagi apabila pelatih indusri ini dapat belajar daripada orang lain yang lebih berpengalaman dalam bidang mereka.

Tempoh latihan industri biasanya berlangsung selama dua hingga enam bulan. Dalam tempoh ini, pelajar akan berada sepenuh masa di lokasi latihan industri untuk menjalankan tugas mengikut bidang mereka. Sepanjang tempoh beberapa bulan ini, tempoh pelatih yang diberikan elaun sebagai ganjaran untuk mereka kerana turut sama menyumbang tenaga terhadap organisasi. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang tidak menerima sebarang bentuk ganjaran seperti elaun mahupun insentif lain daripada organisasi. Situasi ini juga telah mengundang pelbagai respons, kritikan dan saranan sehingga hal tersebut turut dibincangkan dalam Kabinet Malaysia. Rentetan daripada itu, timbul persoalan tentang kewajaran bagi pelatih industri diberi elaun semasa menjalani latihan industri tersebut.

Kos Hidup Semasa

Jika kita melihat tuntutan kos kehidupan pada masa ini, dengan mempertimbangkan keadaan ekonomi semasa, pemberian elaun kepada golongan pelatih adalah amat wajar diberikan sebagai memenuhi keperluan untuk kelangsungan hidup dengan keadaan ekonomi semasa. Pelbagai kos seperti kos perbelanjaan harian, kos penginapan, kos pengangkutan dan kos bahan-bahan pembelajaran menyebabkan golongan pelatih juga tidak terkecuali sebagai  individu yang perlu mengeluarkan kos untuk perbelanjaan harian.

Rata-rata pelatih yang menjalani latihan industri, merantau di seluruh pelosok negara, dan kebanyakan mereka berada di luar kampus. Keadaan ini memerlukan mereka untuk menyediakan kos sewa rumah serta pengangkutan. Meskipun ada dalam kalangan mereka diberi bantuan mahupun pinjaman kewangan, peningkatan kos sara hidup pastinya memberikan kesan kepada mereka. Perbelanjaan harian yang tinggi ini dilihat sebagai membebankan bagi pelatih dan juga keluarga yang menanggung perbelanjaan anak-anak mereka.

Komitmen Pelatih Industri

Kewajaran pemberian elaun ini juga tidak hanya dilihat dari segi menampung kos hidup, bahkan pemberian elaun kepada pelatih, secara langsung dapat menghidupkan rasa tanggungjawab dan komitmen untuk menjalankan tugasan. Pelatih yang diberi bayaran tertentu akan melahirkan rasa lebih bertanggungjawab untuk melaksanakan tugasan yang diberi tanpa keluh kesah dalam kalangan pelatih. Kita sering mendengar kes pelatih dibuli, diminta untuk melakukan tugasan di luar bidang pengajian mereka dan diberi tugasan lebih daripada yang sepatutnya. Mereka ini mungkin berasa amat terbeban dengan tugasan luar bidang. Dalam hal ini, pihak yang bertanggungjawab dalam penenmpatan latihan industri pelatih perlu jelas dengan bidang dan skop tugas pelatih. Namun begitu, bagi sesetengah pelatih yang memandang situasi ini dari sudut yang berbeza, tugasan lain yang diberikan memberi ruang pembelajaran baharu untuk diri mereka meskipun adakalanya rasa terbeban. Dengan sedikit bayaran yang diterima, hal ini dapat membantu mengurangkan rasa terbeban dan keluh kesan si pelatih.

Naluri Seorang Pekerja

Selain itu, pemberian elaun juga dapat melahirkan rasa dan pengalaman sebenar sebagai seorang “pekerja” bagi seorang pelatih. Tempoh enam bulan bukanlah satu tempoh yang singkat. Pelatih meluangkan hampir kebanyakan masanya untuk melaksanakan tugas di organisasi. Pelatih yang menjalani latihan industri sebenarnya turut memberi sumbangan tenaga dan buah fikiran kepada organisasi, maka pembayaran elaun atau sagu hati yang setimpal kepada mereka amat dialu-alukan. Kewujudan rasa sebagai “pekerja” amat penting supaya pelatih benar-benar menghayati pengalaman mereka ketika berada di satu-satu organisasi sebagai seorang pekerja. Realiti sebenar seorang pekerja tidak hanya melakukan satu tugasan dalam satu masa. Seorang pekerja dituntut untuk melakukan tugasan yang melangkaui bidang tugas sebenar. Hal ini bergantung pada situasi semasa dan keperluan organisasi tersebut. Pengalaman ini juga dilalui oleh pelatih industri.

 

Justeru, pembekal tempat latihan atau dalam penulisan ini disebut sebagai majikan, perlu mempertimbangkan kewajaran pemberian elaun atau sagu hati kepada pelatih yang menjalani latihan di organisasi mereka. Pemberian elaun yang bersesuaian dengan skop dan spesifikasi tugas adalah amat penting, setimpal dengan usaha dan tenaga yang telah dilaburkan oleh pelatih terhadap organisasi. Persepsi bahawa pelatih industri merupakan pelajar yang sedang menimba pengalaman dan pembelajaran dalam organisasi, maka mereka boleh dilambakkan dengan apa-apa jua kerja melangkaui skop tugasan dengan tujuan untuk membantu pelatih belajar dan menimba pengalaman perlu dielakkan. Sebaliknya, pelatih industri perlu diberikan tugas yang berkaitan dengan bidang mereka dengan pantauan majikan di samping mempertimbangkan bentuk elaun yang bersesuaian setimpal dengan tugasan yang diberi.

Pihak majikan yang menawarkan elaun atau saguhati kepada pelatih, sebenarnya telah menyuntik satu bentuk motivasi kepada golongan pelatih. Motivasi berbentuk ganjaran kepada pelatih, yang dalam konteks ini ialah tenaga kerja memberikan impak yang besar kepada majikan. Meskipun pelatih yang berada di organisasi ialah pelajar yang sedang menimba ilmu, tetapi mereka juga adalah sebahagian dari tenaga kerja organisasi yang melaksanakan tugas-tugas mengikut skop bidang mereka. Maka keberadaan pelatih di organisasi juga sebenarnya dapat membantu pihak organisasi dalam pengoperasian organisasi dengan kos yang minimum.

Oleh itu, pelatih juga wajar diberi sumber motivasi sebagai tenaga kerja di organisasi. Tenaga kerja yang bermotivasi pastinya lebih bersemangat untuk ke tempat kerja serta menjalankan tugas yang diberikan. Tenaga kerja yang bermotivasi juga cenderung untuk membina budaya kerja yang positif dengan semangat berpasukan, saling menghormati serta berdaya saing secara sihat. Hal ini secara tidak langsung memberikan impak positif terhadap produktiviti kerja serta dapat mengurangkan kos lain sebagai kesan kepada tenaga kerja yang tidak produktif dalam organisasi.

Peranan Majikan

Pihak majikan perlu menyediakan sejumlah peruntukan bagi membiayai elaun atau sagu hati kepada pelatih dengan melihat mereka sebagai sebahagian daripada tenaga kerja yang menyumbang terhadap produktiviti organisasi. Perancangan awal tentang agihan peruntukan untuk pelatih dapat membantu majikan menentukan bilangan pelatih yang diperlukan untuk organisasi mereka. Majikan boleh menyediakan garis panduan yang jelas tentang pemberian elaun kepada pelatih yang berminat bagi menjalankan latihan industri di organisasi mereka. Maklumat tentang pemberian elaun atau apa-apa jua bentuk insentif boleh diuar-uarkan kepada bakal pelatih atau diiklankan secara terbuka di laman sesawang. Maklumat yang jelas juga membantu mempromosikan jenama syarikat atau organisasi tersebut.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa tidak semua organisasi atau syarikat mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi menyediakan elaun untuk para pelatih, terutamanya bagi organisasi atau syarikat berskala kecil. Sekiranya pihak majikan diwajibkan untuk memberi sejumlah elaun tertentu kepada pelatih, hal tersebut akan mengehadkan keupayaan syarikat atau organisasi untuk menawarkan peluang latihan industri kepada pelatih. Hal ini secara tidak langsung mengecilkan pilihan dan peluang pelatih untuk memilih organisasi yang mereka idamkan. Tidak dinafikan bahawa terdapat syarikat atau organisasi berskala kecil yang mampu memberi peluang pembelajaran dan pengalaman berimpak besar kepada pelatih. Justeru, hal ini dilihat sebagai suatu kerugian bagi kedua-dua belah pihak sama ada majikan, mahupun pelatih itu sendiri.

Situasi Menang-menang

Proses timbal balik antara kedua-dua belah pihak amat diperlukan. Sebagai cadangan, majikan yang tidak berkemampuan untuk membayar sejumlah elaun kepada pelatih boleh memikirkan bentuk insentif lain yang boleh ditawarkan kepada pelatih. Bagi pekerja baru, faedah dan insentif yang ditawarkan oleh majikan menjadi satu daripada faktor utama dalam pemilihan kerja. Justeru, faedah dan insentif ini juga dilihat sebagai satu bentuk ganjaran kepada pelatih. Antara contoh faedah dan insentif yang boleh ditawarkan termasuklah perlindungan kesihatan, penginapan seperti asrama, program latihan dan pengembangan kakitangan, sijil penghargaan perkhidmatan cemerlang, dan bentuk penghargaan lain yang dapat menyuntik semangat kepada para pelatih.

Bagi pelatih pula, sebelum turun ke industri, mereka perlu mengenal pasti keperluan diri sendiri. Pelatih perlu menentukan keutamaan dan nilai diri sendiri. Ada individu yang memilih kerjaya mengikut nilai peribadi seperti individu yang mementingkan gaya hidup kelas tinggi, mereka akan memilih bidang pekerjaan yang membolehkan mereka mempamerkan gaya hidup mereka, serta dapat menikmati kemudahan yang selaras dengan gaya hidup mereka. Sesetengah individu pula lebih mengutamakan proses pembelajaran dan pengalaman, lalu mereka lebih selesa mencari organisasi yang menawarkan pengalaman pembelajaran kepada mereka.

Membuat penyelidikan tentang organisasi yang ingin dipilih untuk menjalani latihan industri merupakan usaha yang baik.

Pemilihan bidang dan organisasi tertentu adalah bersifat subjektif, bergantung kepada keperluan dan kehendak masing-masing. Para pelatih perlu mengenal pasti keutamaan mereka. Sekiranya kewangan menjadi suatu keperluan, maka carilah organisasi yang boleh menawarkan elaun atau gaji kepada mereka. Membuat penyelidikan tentang organisasi yang ingin dipilih untuk menjalani latihan industri merupakan usaha yang baik. Tindakan mengambil tahu tentang kemudahan yang ditawarkan sebelum memasuki mana-mana organisasi amat mempengaruhi keputusan yang dibuat. Hal ini amat penting supaya kedua-dua belah pihak jelas dengan kontrak atau perjanjian serta tidak menimbulkan isu lain di kemudian hari. Selain itu, pelatih yang menjalankan latihan industri, perlu memahami bahawa mereka juga perlu sentiasa bersedia menghadapi risiko kemungkinan terdapat perubahan tertentu dalam organisasi, khususnya tentang isu pemberian elaun.

Jelaslah bahawa pemberian elaun kepada pelatih pada masa ini dilihat sebagai satu keperluan. Timbal balik antara kedua-dua belah pihak amat penting supaya kedua-duanya saling mendapat manfaat. Penyelesaian isu ini perlu mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak seperti pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan, wakil universiti, pihak majikan selaku pembekal tempat latihan, serta pelatih itu sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.