Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPerdagangan dan pembuatan dunia semakin distrukturkan dan tersusun di sekitar rantaian nilai global (GVC). Rantaian nilai merangkumi pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh firma untuk membawa produk atau perkhidmatan daripada konsep sehingga kepada pengguna akhir. Berdasarkan kelebihan perbandingan lokasi, terdapat fragmentasi geografi proses pembuatan di seluruh dunia. Model Heckscher-Ohlin menerangkan bagaimana sebuah negara harus bertindak dan berdagang dalam keadaan sumber dan kepakaran berbeza- beza dan tidak seimbang di seluruh dunia.
Kemunculan GVC dalam tempoh dua dekad yang lalu mempunyai implikasi terhadap perdagangan dan pelaburan, baik pada negara yang melaksanakan langkah-langkah tersebut mahupun ekonomi global.
Globalisasi ekonomi telah menyebabkan peningkatan integrasi ekonomi dunia melalui perdagangan dan aliran modal. Isu utama dalam perdebatan globalisasi adalah sama ada hal tersebut adalah penyelesaian politik dan ekonomi kepada pasaran baru muncul, atau merupakan bentuk imperialisme baharu, iaitu ekonomi memuncul yang bukannya benar-benar mendapat manfaat daripada globalisasi, sebaliknya akhirnya dieksploitasi.
Sementara itu pandemik COVID-19 dan sekatan pergerakan nasional yang berlaku di seluruh dunia menghalang atau menghentikan aliran bahan mentah dan barangan siap yang akhirnya mengganggu aktiviti perkilangan.
Kedaulatan Terjejas?
Fenomena globalisasi dapat mengurangkan kedaulatan negara bangsa melalui beberapa kaedah. Antaranya termasuklah melalui proses peralihan kuasa membuat keputusan kepada entiti supranasional, seperti Kesatuan Eropah (EU), yang diberi kuasa perundangan dalam banyak aspek kehidupan sosial, ekonomi dan politik; berkaitan dengan keperluan yang datang daripada institusi luar, seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Institusi Antarabangsa ini dapat memaksa negara anggota untuk membuat keputusan tertentu; Pengaruh syarikat multinasional besar (MNC), berdasarkan kekuatan ekonomi mereka, dapat mempengaruhi keputusan ekonomi dan politik negara bangsa.
Kajian politik ekonomi antarabangsa menunjukkan bahawa hal ini sentiasa memerlukan kerangka kerja untuk menentukan hubungan antara negara-negara dan antara institusi- institusi ekonomi dan politik. Imperialisme pernah menyediakan kerangka kerja ini dan pada masa ini, globalisasi pula memainkan peranannya.
Walau bagaimanapun, adalah mustahak untuk menyedari bahawa globalisasi, akan terus kekal berlaku. Oleh itu, terpulang kepada negara-negara untuk mencari jalan dan cara agar tidak kehilangan kedaulatan mereka, satu daripada cara terbaik adalah dengan mempunyai kerajaan yang dipilih secara demokratik yang kuat. Kerana hanya kerajaan yang dipilih dan kuat boleh menterjemahkan kehendak rakyat untuk pembangunan di samping mengimbangi antara kepentingan syarikat besar dan kepentingan negara.
Kerajaan autoritarian yang tidak terpilih atau pemerintah yang lemah akan menghadapi kesukaran untuk mentadbir dengan berkesan, mengimplementasi pembangunan dan menggubal undang-undang secara saksama dan seterusnya melindungi kedaulatan negara bangsa.
Secara umumnya, kerajaan Malaysia menolak pelaburan asing yang tidak bertanggungjawab dan pinjaman meragukan yang boleh membebankan dan merosakkan ekonomi. Kerajaan Malaysia kini lebih teliti, dan mengiktiraf pelaburan langsung asing dan pemindahan teknologi dari luar negara yang mengutamakan kesejahteraan masa depannya.
Pertimbangan Geopolitik
Apakah Amerika Syarikat (AS) akan kalah kepada China dalam persaingan geopolitik jangka panjang di Asia Timur? Adakah negara-negara kecil di Asia condong ke arah China untuk mendapatkan keuntungan ekonomi dengan mengorbankan kepentingan AS? Ketika Naga yang sedang meningkat (China) mencabar Helang (AS) yang tidak mahu tersingkir dari hinggapnya, salah faham mengenai tindakan dan niat masing-masing boleh membawa mereka ke dalam perangkap maut. Perangkap ini pertama kali dikenal pasti oleh Thucydides, seorang ahli sejarah Yunani kuno.
Graham Allison di Harvard Kennedy School yang mengingatkan kita akan bahaya langsung dari Thucydides Trap – beliau membuat postulasi bahawa perang antara kuasa yang semakin meningkat dengan kuasa yang sedia ada tidak dapat dielakkan. Rumusan daripada tulisan Thucydides berdasarkan Sejarah Perang Peloponnesia, beliau menyatakan bahawa kebangkitan Athens telah mencetuskan ketakutan di Sparta yang akhirnya menjadikan perang tidak dapat dielakkan.
Umpamanya lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan pada tahun lepas dan pertemuan beliau dengan Presiden Taiwan telah menyemarakkan ketegangan antara tanah besar China dengan AS. Taiwan kini telah menjadi barisan hadapan yang utama dalam persaingan AS-China. Namun begitu, Taiwan Semiconductor Manufacturing Co. (TSMC) mendapati dirinya terperangkap di antara dua kuasa besar. TSMC menghasilkan lebih daripada separuh cip semikonduktor dunia yang dikontrak. Manakala cip buatan TSMC bergantung kepada AS untuk teknologinya, China pula tetap penting untuk pertumbuhan masa hadapannya.
Sejak kebelakangan ini, kita harus berterima kasih kepada Jepun dan India kerana menjadi pengimbang strategik di antara naga China yang semakin meningkat dan helang AS. Berlatarbelakangkan landskap global yang sedang tidak henti-henti berubah secara menyeluruh. Sepertimana kancil yang pintar dalam peribahasa lama, ekonomi yang terbuka seperti Malaysia perlu belajar menari bersama-sama dengan raksasa sistem perdagangan antarabangsa sambil membuat pembaharuan struktur yang diperlukan dalam kerajaan dan ekonomi.
Dalam konteks ini, pepatah ataupun peribahasa Melayu memperincikan ketangkasan dan kepintaran Sang Kancil. Strategi dan percaturan mengikut masa adalah segala-galanya. Sementara kita menari di samping gergasi, kita perlu berhati-hati agar tidak dipijak oleh mereka. Sebaliknya, kita bertindak mengikut Peraturan Antarabangsa yang diguna pakai dan seterusnya meraih keuntungan yang maksimum. Sebagai rumusan, ketika kita aktif mengambil bahagian dalam globalisasi, pada masa yang sama kita mesti memastikan bahawa kedaulatan ekonomi negara utuh dan terpelihara.