28 Julai 2023, 15:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan 33 laporan dalam satu Majlis Pengumuman Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 yang dirasmikan oleh Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli bertempat di Dewan Anggerik, DOSM.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa buat julung kalinya analisis kali ini akan diterbitkan, iaitu laporan khusus bagi Kemiskinan Malaysia dan laporan Ketidaksamaan Pendapatan Malaysia. Bagi memberikan perspektif yang lebih jelas, hasil kajian ini turut digarap dalam satu laporan inti sari yang memuatkan semua analisis mengikut topik yang terpilih untuk memberikan perspektif yang lebih jelas. Laporan yang terlibat termasuklah Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Malaysia, 2022; 14 Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran, 2022; Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022; 14 Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran, 2022.

Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) memuatkan analisis berkaitan pendapatan yang diperoleh oleh isi rumah. Sementara itu, Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES) pula mengandungi maklumat berkaitan corak perbelanjaan penggunaan isi rumah di Malaysia. Dr. Mohd Uzir menyatakan bahawa nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM2589 (2019: RM2208) dengan nilai PGK makanan sebanyak RM1198 (2019: RM1169) dari sudut analisis insiden kemiskinan mutlak. Insiden kemiskinan mutlak sebelum krisis kesihatan global mencatatkan 5.6% pada tahun 2019.

Berdasarkan kajian anggaran kemiskinan yang dijalankan oleh DOSM, kesan daripada pandemik COVID-19, insiden kemiskinan pada tahun 2020 telah meningkat kepada 8.4% dan sedikit menurun kepada 8.2% pada tahun 2021. Seterusnya, insiden kemiskinan mutlak pada tahun 2022 menunjukkan penurunan kepada 6.2% berbanding dengan tahun 2021. Insiden kemiskinan mutlak pada 2022 melibatkan anggaran 487 576 isi rumah. Insiden kemiskinan di bandar turut meningkat daripada 3.9% pada tahun 2019 kepada 4.5% pada tahun 2022, manakala bagi kawasan di luar bandar pula mencatatkan penurunan daripada 12.4% kepada 12.0% pada tempoh yang sama.

Bilangan isi rumah miskin tegar yang berpendapatan di bawah RM1198 pula menurun 0.2% (18 445 isi rumah) berbanding dengan 0.4% pada tahun 2019. Selain itu, Dr. Mohd Uzir turut menyatakan DOSM sedang membangunkan papan pemuka (dashboard) statistik pendapatan dan kemiskinan yang turut merangkumi analisis Geospatial bagi tujuan penyebaran dan kefahaman masyarakat umum yang lebih menyeluruh.

Merujuk penemuan nilai Pekali Gini 2022  yang dikira berdasarkan pendapatan kasar telah mencatatkan penurunan sebanyak 0.003 mata indeks kepada 0.404 (2022) daripada 0.407 (2019). Hal itu bermakna jurang ketidaksamarataan pendapatan semakin mengecil sebanyak 0.3% pada tahun 2022 berbanding dengan tahun 2019.

Bagi tempoh tersebut, Pekali Gini di kawasan bandar menurun kepada 0.393 daripada 0.398 (2019) manakala Pekali Gini di luar bandar juga menurun kepada 0.351 daripada 0.367. Pekali Gini mengikut etnik juga menurun bagi semua etnik, iaitu Bumiputera kepada 0.387 daripada 0.389, Cina 0.412 daripada 0.417 dan India 0.406 daripada 0.411.

Meskipun secara umumnya pendapatan isi rumah di Malaysia semakin meningkat, namun begitu jurang pendapatan antara etnik masih ketara. Jurang pendapatan antara etnik Cina dan Bumiputera direkodkan pada kadar 1:0.71 (2022) berbanding dengan 1:0.72 (2019). Sementara itu, jurang pendapatan antara  Cina dan India ialah 1:0.84 pada tahun 2022 dan ini menunjukkan keadaan yang sedikit lebih baik berbanding dengan tahun 2019 (1:0.83).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.