19 Julai 2023, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam ilmu falak, tarikh satu Muharam merupakan permulaan tahun baharu bagi kalendar Hijrah yang dikira berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi matahari, iaitu selama 354 hari bagi tempoh setahun. Hal ini berbeza dengan kalendar Masihi yang dikira berdasarkan pergerakan bumi mengelilingi matahari, iaitu selama 365 hari setahun. Oleh sebab itu, pergerakan tahun Hijrah adalah sebanyak 10 atau 11 kali sehari lebih cepat berbanding dengan tahun Masihi.

Perbezaaan antara takwim Hijrah dan Masihi ini memberi kesan terhadap perkiraan tarikh aktiviti umat Islam di seluruh dunia. Misalnya bagi penetapan tarikh awal Ramadan dan Syawal. Begitu juga dengan pengiraan haul atau tempoh genap setahun untuk urusan ibadat zakat. Malah, perbezaan ini turut melibatkan pengiraan jangka hayat yang berbeza jika umur individu dikira menggunakan takwim Hijriah.

Detik satu Januari disambut tepat pada jam 12.00 tengah malam. Hal ini berbeza dengan amalan tradisi umat Islam yang menyambut satu Muharam sejurus selepas azan Maghrib. Aktiviti pada awal bulan Muharam atau Maal Hijrah juga disambut dengan doa awal tahun yang memohon supaya diri dilindungi dan diubah keadaan semasa kepada yang lebih baik.

Amalan menyambut Maal Hijrah mungkin dipandang remeh oleh sebilangan umat Islam sendiri. Namun begitu, jika diteliti dan dijiwai dengan sepenuhnya, sambutan Maal Hijrah ini mampu memberi kesan bukan sahaja dalam aspek kebudayaan tetapi juga dalam aspek ekonomi dan muamalat umat Islam itu sendiri. Ketika Khalifah Umar al-Khattab menetapkan bahawa tarikh satu Muharam sebagai hari pertama bagi takwim Hijriah, hal tersebut bukan sekadar membezakan umat Islam dengan bukan Islam melalui identiti atau astronomi semata-mata. Sebaliknya, hal tersebut turut melibatkan aspek ibadat dan budaya umat Islam.

Awal Muharam merupakan suatu detik yang amat sesuai bagi umat Islam memperbaharui niat untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya yang bermaksud, “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa-apa yang dia niat. Maka, sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa-apa yang dia hijrah kepadanya.”

Tindakan akan menentukan hasil yang bakal dicapai dan setiap tindakan bermula dengan niat. Dalam erti kata lain, niat mempunyai impak, baik secara positif mahupun negatif. Berdasarkan hadis, sekiranya seseorang individu memperbaharui niat untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul, maka tindakan yang diambil akan membuahkan hasil yang seiring. Sebaliknya jika niat melakukan sesuatu hanyalah untuk habuan duniawi semata-mata, maka dikhuatiri hasil baik yang diterima juga hanya sekadar memenuhi manfaat keduniaan.

Seseorang yang memperbaharui niat pada awal bulan Muharam untuk berhijrah ke arah yang lebih baik akan menikmati limpahan ganjaran daripada Allah SWT sepanjang tahun tersebut. Amalan memperbaharui niat ini merupakan amalan yang kecil tetapi mempunyai impak yang besar. Mereka yang tidak pernah memperbaharui niat ibarat tidak bermuhasabah terhadap apa-apa yang telah mereka lakukan pada masa lalu dan berisiko melakukan perkara yang sama berulang kali tanpa sebarang azam untuk melakukan transformasi diri ke arah yang lebih baik.

Sebagai contoh amalan menginfakkan harta kepada golongan miskin. Sama ada seseorang itu berniat hijrah atau tidak berniat untuk beramal terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya, harta yang diinfakkan tetap sampai kepada golongan miskin yang disasarkan. Yang membezakannya ialah keberkatan dan keredaan Allah SWT mengiringi harta dan kehidupan si penyumbang yang telah berniat berbanding dengan mereka yang tidak berniat.

Ahli pemikir Barat memberi perhatian terhadap aspek niat dalam membina perubahan sosial. Buku-buku dalam bidang ilmu sosiologi menjelaskan tentang Teori Tingkah Laku Terancang bahawa niat menentukan tingkah laku individu. Untuk melakukan perubahan sosial, penekanan perlu diberikan terhadap tiga faktor utama yang mempengaruhi niat seseorang, iaitu sikap, norma subjektif dan tanggapan kawalan tingkah laku. Penemuan makmal terhadap penyelidikan dan eksperimen tentang niat oleh saintis Barat membuat kesimpulan bahawa niat mampu mempengaruhi secara mendalam semua aspek kehidupan manusia. Andaian sains sejak 400 tahun yang lalu bahawa niat manusia tidak boleh menjejaskan realiti fizikal juga disangkal.

Strategi dalam merealisasikan niat dan matlamat juga perlu tepat. Di peringkat organisasi, niat lazimnya dizahirkan melalui pernyataan visi dan misi yang panjang tanpa benar-benar difahami. Akibatnya niat hanya menjadi bahan dokumen atau hiasan dinding yang indah tanpa dihayati dan diamalkan. Bagi pemimpin organisasi, niat yang baik tetapi tidak disampaikan dengan komunikasi yang padat dan jelas boleh membawa kepada kegagalan. Kisah perjalanan syarikat Canon dan Honda boleh dijadikan iktibar bahawa niat yang membawa perubahan utama kepada kejayaan perniagaan, bukannya sumber pengeluaran.

Dahulu program pembasmian kemiskinan diatur mengikut keperluan masyarakat luar bandar dan bandar, kini program kemiskinan disasarkan mengikut strata B40, M40 dan T20.

Pada peringkat negara, niat untuk melaksanakan perubahan pasti lebih mencabar. Setiap pemimpin membawa gagasan tersendiri melalui dasar dan polisi negara. Peristiwa Hijrah oleh Rasulullah SAW dan sahabat setia Baginda perlu benar-benar dihayati. Walaupun dengan bimbingan wahyu untuk seruan tauhid, dakwah Baginda menerima tentangan daripada kaum baginda sendiri sehingga terpaksa berhijrah ke Madinah. Dengan penyatuan kaum dan Piagam Madinah, akhirnya Madinah berkembang menjadi tamadun umat Islam dan dunia.

Dalam konteks semasa, bagi membina gagasan ekonomi dan Malaysia Madani, niat pemimpin perlu dizahirkan dengan komunikasi yang jelas dan seiring dengan dasar dan pelan tindakan.  Niat dan hasrat penyatuan kaum berhadapan dengan cabaran komunikasi digital tanpa sempadan. Isu-isu 3R, iaitu perkauman, agama dan institusi diraja (race, religion and royalty) dimainkan sehingga menimbulkan kekecohan jika tidak dikawal.

Jika cabaran ekonomi pada awal kemerdekaan Malaysia adalah untuk berhijrah daripada kepompong kemiskinan kepada pembangunan, cabaran semasa pula berhijrah kepada kemajuan seimbang. Jika dahulu program pembasmian kemiskinan diatur mengikut keperluan masyarakat luar bandar dan bandar, kini program kemiskinan disasarkan mengikut strata B40, M40 dan T20.

Niat dan Dasar Malaysia Madani yang baik oleh pucuk pimpinan tidak mungkin berjaya jika tidak dihargai oleh rakyat. Transformasi radikal menuntut penghijrahan berterusan daripada rakyat. Barisan pemimpin negara pula perlu terlebih dahulu berhijrah menjadi teladan terbaik kepada rakyat. Dalam usaha berhijrah ke arah ekonomi Madani, takrifan dan falsafah bagi memaknai kemiskinan itu sendiri mungkin perlu berubah. Jika seseorang individu yang tidak memiliki harta dianggap miskin, apakah anggapan ini wajar untuk terus diterima masyarakat? Seseorang mungkin dianggap miskin secara indvidu tetapi kaya secara kolektif. Hal ini kerana falsafah kemiskinan itu telah berhijrah daripada pemilikan harta secara individu kepada pemilikan harta secara kolektif.  Sebagai contoh, umat Islam secara individu hanya mempunyai simpanan wang yang sangat sedikit tetapi memiliki akses terhadap perbendaharaan yang banyak melalui tabung simpanan umat Islam secara keseluruhan.

Bersempena dengan Maal Hijrah 1445, inspirasi Malaysia Madani perlu dihayati sebagaimana peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW. Penghijrahan ini bukan lagi proses migrasi kemiskinan dari desa ke kota tetapi niat berhijrah untuk meningkatkan kualiti kehidupan dengan aktiviti ekonomi dan gaya hidup seimbang di kota mahupun di desa. Penghijrahan bukan lagi untuk memiliki hartanah mewah dan akaun bank peribadi tetapi perkongsian harta dan tunai secara bersama.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat 276 Surah al-Baqarah yang bermaksud, “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Seruan ayat ini amat bersesuaian untuk memperbaharui niat bagi mengiringi doa supaya kita dilindungi daripada godaan nafsu dan syaitan serta berusaha ke arah yang lebih baik dengan berinfak dan menjauhkan diri dari riba, selari dengan prinsip ekonomi ihsan dalam Malaysia Madani. Keberkatan ekonomi ihsan akan dirasai apabila perkongsian kekayaan berlaku sehingga kadar inflasi kesan menurun dan rakyat dapat menikmati harga barangan yang lebih berpatutan dalam ekonomi bebas riba. Bukanlah hal yang mustahil untuk membina Malaysia Madani jika niat yang ikhlas memulakan langkah hijrah ekonomi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.