7 Julai 2023, 11:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Matlamat utama Bank Negara Malaysia (BNM) adalah untuk mengukuhkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan. Keputusan menaikkan atau menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) bertujuan untuk menangani isu ekonomi semasa. Namun begitu, setiap dasar yang dilaksanakan memberi impak positif dan juga negatif khususnya kepada pengguna.

Menurut pakar ekonomi, OPR merupakan suatu kadar faedah yang dijalankan oleh BNM untuk meredakan inflasi. Berdasarkan laporan BNM, pada suku pertama tahun 2022, OPR berada pada paras 1.75 peratus dan inflasi mencatatkan nilai sebanyak 2.2 peratus. OPR naik kepada 2.75 peratus pada suku keempat tahun 2022 dan inflasi turut naik kepada 3.9 peratus. Hal ini berpunca daripada faktor permintaan dan kenaikan kos serta harga barang yang diimport dari negara luar.

Tindakan BNM untuk mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus pada 9 Mac 2023 yang lalu adalah bertujuan untuk mengawal inflasi. Kementerian Kewangan Malaysia menganggarkan kadar inflasi negara boleh mencecah 11 peratus sekiranya pelaksanaan OPR ini tidak dijalankan. Hal ini bermakna negara bakal mengalami inflasi yang lebih dahsyat berbanding dengan situasi semasa. Jelaslah bahawa OPR berfungsi sebagai instrumen utama dalam meredakan inflasi.

Kesan OPR terhadap Kebajikan Rakyat

Pelaksanaan kenaikan OPR hakikatnya menjejaskan kebajikan rakyat. Hal tersebut membuka pelbagai persoalan terhadap nasib yang bakal dihadapi oleh pengguna khususnya golongan peminjam. Adakah kedudukan OPR pada kadar 2.75 peratus tersebut hanyalah bertujuan untuk mengatasi isu inflasi tanpa menghiraukan impak terhadap bebanan hutang rakyat?

Kenaikan kadar OPR sudah pasti menyebabkan kos pinjaman akan turut meningkat melalui peningkatan bayaran ansuran. Hal ini amat membebankan rakyat apabila mereka terpaksa membuat bayaran komitmen bulanan yang lebih tinggi berbanding dengan yang sedia ada.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa pertumbuhan inflasi ini masih didorong oleh tiga kumpulan utama, iaitu restoran dan hotel (6.8 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (6.7 peratus) dan pengangkutan (4.0 peratus). Kadar peratusan inflasi yang tinggi bagi makanan dan minuman telah menyebabkan harga barangan asas seperti telur ayam di pasaran naik. Peningkatan harga bahan mentah menyumbang kepada kenaikan harga produk yang berasaskan bahan mentah tersebut. Lebih memburukkan keadaan apabila barangan lain turun mengalami kenaikan harga tanpa sedar.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata purata harga ayam standard pada bulan Februari 2023 meningkat kepada RM10.33 sekilogram berbanding dengan RM9.46 pada Februari 2022. Berdasarkan laporan daripada Utusan Malaysia pada 12 Mei 2022, harga barang dianggarkan meningkat pada kadar 50 hingga 60 peratus susulan daripada kenaikan gaji minimum negara daripada RM1200 kepada RM1500. Hal ini jelas memperlihatkan bahawa kos sara hidup rakyat semakin meningkat dan membebankan.

Langkah Pengawalan Impak OPR

Terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil bagi mengurangkan impak yang besar akibat kesan daripada kebaikan OPR dan peningkatan kos sara hidup. Rakyat perlu berhemah dalam sistem pengurusan kewangan supaya sentiasa bersedia dengan situasi masa hadapan yang tidak menentu.

“Simpan dahulu, baru belanja” merupakan formula yang mampu menyelamatkan pengurusan kewangan rakyat. Rakyat dinasihati agar tidak sesekali berbelanja melebihi pendapatan dan sentiasa membuat simpanan khas untuk tujuan kecemasan. Setelah menerima gaji, wajiblah menyimpan sejumlah wang walaupun dengan jumlah simpanan yang kecil.

Di samping itu, perancangan kewangan yang teliti mestilah dilakukan oleh setiap isi rumah. Dewasa ini, amalan menyenaraikan barang yang hendak dibeli sebelum berbelanja dianggap remeh. Namun begitu, amalan tersebut wajar diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Hal ini kerana melalui amalan tersebut dapat mengawal diri daripada berbelanja barang mengikut kehendak serta mengelakkan berlakunya pembaziran.

Kenaikan OPR telah memberikan tekanan yang besar kepada rakyat Malaysia berdasarkan kadar gaji minimum RM1500 yang masih rendah dan tidak selari dengan kadar produktiviti. Seperti yang dilaporkan oleh BNM, analisis nisbah gaji terhadap produktiviti menunjukkan bahawa pekerja tempatan masih dibayar kurang daripada bayaran bagi pekerja dalam ekonomi penanda aras. Hal ini menunjukkan bahawa tahap produktiviti gaji semasa di Malaysia adalah tidak sejajar.

Jumlah gaji yang diterima kebanyakan rakyat dilihat tidak dapat menampung kehidupan mereka dalam ekonomi semasa ini. Hal ini bertambah buruk apabila rakyat perlu menanggung beban komitmen dengan institusi perbankan akibat daripada kenaikan OPR. Lebih menyedihkan apabila golongan yang melalui keadaan ini kebanyakan daripada golongan M40 dan B40. Penganalisis ekonomi  dari Pusat Pengajian Perniagaan, Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan bahawa kenaikan OPR lebih membebankan golongan M40 yang kebanyakannya mempunyai pinjaman perumahan yang menggunakan kadar faedah diapungkan. Golongan ini masih berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki kedudukan kewangan mereka yang terjejas teruk akibat kehilangan sumber pendapatan semasa pandemik COVID-19 yang lalu.

Situasi semasa kini memperlihatkan bahawa rakyat semakin bergelut dengan masalah hutang, harga barangan yang meningkat, dan peningkatan kos sara hidup yang luar kawalan mereka. Rakyat meletakkan harapan besar agar BNM tidak menaikkan kadar OPR melebihi 2.75 peratus pada masa akan datang. Hal ini bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat menstabilkan kedudukan kewangan sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Kerajaan mestilah mengkaji dengan teliti saranan BNM yang memperkenalkan konsep upah hidup (living wage) dalam laporan mereka. Upah hidup merupakan suatu tahap pendapatan yang diperlukan bagi isi rumah agar mampu menampung perbelanjaan minimum taraf hidup yang boleh diterima. Hal ini termasuklah keupayaan untuk melibatkan golongan masyarakat, peluang untuk peribadi dan pembangunan keluarga, serta bebas daripada tekanan kewangan yang teruk.

Apabila Malaysia semakin hampir ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, hal ini merupakan masa yang tepat bagi seluruh rakyat mencapai minimum taraf hidup yang boleh diterima. Pelaksanaan upah hidup merupakan satu daripada langkah yang sesuai sebagai penanda aras untuk menilai kecukupan gaji semasa dan bantuan sosial. Hal ini bertujuan untuk meneliti dasar ke arah matlamat demi mencapai kadar minimum yang boleh diterima sebagai taraf hidup yang selesa.

Selain itu, golongan belia yang baru memasuki alam pekerjaan juga mempunyai peranan dalam pengurusan kewangan. Golongan ini seharusnya mengelakkan diri daripada berhutang untuk membeli rumah, kereta dan sebagainya dalam keadaan terburu-buru tanpa perancangan kewangan yang baik. Mereka perlu mengukuhkan kedudukan kewangan dan mengutamakan perbelanjaan asas untuk menjalani kehidupan. Tidak dinafikan, gaya hidup moden kini banyak mempengaruhi golongan muda, seperti trend perkahwinan mewah dan membuat pinjaman untuk membeli kereta idaman tanpa menilai kemampuan gaji dan perbelanjaan bulanan semasa.

Penggunaan kad kredit tanpa kawalan boleh menyebabkan rakyat boros dan berbelanja melebihi kemampuan.

Di samping itu, rakyat juga dinasihatkan agar mengelakkan diri daripada berbelanja dengan menggunakan kad kredit. Penggunaan kad kredit menyebabkan rakyat boros dan berbelanja melebihi kemampuan. Bahkan, keadaan bertambah buruk sehingga menyebabkan muflis akibat hutang kad kredit yang melampau. Hal ini kerana kadar bunga yang dikenakan adalah tinggi, iaitu sebanyak 18 peratus setiap tahun. Kegagalan membayar hutang kad kredit mempengaruhi laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) yang mencerminkan kredibiliti anda sebagai penghutang.

Tambahan pula, antara bentuk simpanan yang disarankan kepada rakyat termasuklah simpanan berbentuk emas kerana mempunyai pelbagai kelebihan. Antaranya termasuklah emas berfungsi sebagai pelindung nilai yang melindungi nilai aset daripada kerugian disebabkan oleh inflasi. Nilai emas tetap dan stabil walaupun sistem ekonomi dan politik tidak menentu terutamanya sewaktu inflasi. Sudah tentu, harga emas sentiasa meningkat dalam jangka masa panjang dan merupakan bentuk pelaburan yang memberikan pulangan yang baik dan stabil berbanding instrumen pelaburan lain.

Walaupun OPR sememangnya memainkan peranan penting dalam meredakan masalah inflasi, namun begitu masih ramai rakyat yang terkesan dengan kedudukan OPR ketika ini. Oleh itu, walaupun rakyat mempunyai peranan untuk membendung kegawatan kewangan masing-masing, kawalan kenaikan OPR oleh BNM dan juga langkah daripada pihak kerajaan juga dapat memberi sedikit sebanyak pencerahan kepada rakyat untuk meringankan beban mereka buat sementara waktu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.