19 Jun 2023, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahun 2023 telah memasuki bulan keenam yang begitu mencabar bagi rakyat Malaysia. Suatu kajian masa hadapan meramalkan bahawa beberapa cabaran yang bakal dihadapi oleh rakyat Malaysia. Hal ini kedengaran menggerunkan, namun perlu diperhalusi agar langkah mengawal cabaran tersebut dapat dilaksanakan.

Kerancuan Isu Dalaman Negara

Realiti yang berlaku di negara ini dan bukan isu baharu untuk diketengahkan sebagai cabaran sebuah negara yang menuju ke arah negara maju termasuklah pencerobohan tanah kerajaan. Pencerobohan ini kian menjadi-jadi sama ada pencerobohan bagi tujuan penanaman pokok buah-buahan, penempatan haram atau membina rumah ibadat secara haram. Mereka gunakan pengaruh politik dan sentimen agama untuk menghalalkan perbuatan salah yang sudah terang lagi bersuluh.

Isu pemanasan global dengan cuaca yang tidak menentu telah mengakibatkan bencana alam yang luar biasa seperti banjir dan kemarau yang mengundang strok haba. Fenomena El Nino yang sedang dialami kini menyebabkan hujan berkurangan sekali gus berisiko mengakibatkan paras air sungai merosot dan empangan menjadi kering. Fenomena ini dijangka berlarutan hingga bulan September 2023. Hal ini amat membimbangkan kerana bencana ini dapat menjejaskan kesihatan dan keselamatan masyarakat.

Selain itu, kes dadah yang tidak pernah selesai dan terus bermaharajalela menjadi cabaran yang kian mendesak. Sejak tahun 1952 lagi, kerajaan telah berusaha untuk menangani isu ini melalui penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Namun begitu, ekoran masalah dadah yang semakin meruncing sehingga menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara, pada 19 Februari 1983, kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara. Ironinya, berita terkini yang menggemparkan kita apabila Polis Persekutuan Australia (AFP) merampas dadah jenis heroin seberat 336 kilogram yang dianggarkan bernilai RM789.56 juta dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac 2023. Bagaimanakah hal ini boleh berlaku?

Begitu juga dengan masalah Ah Long yang tidak pernah selesai dan terus mengganas dengan perbuatan salah laku jenayah seperti mengugut, membakar, dan mengurung peminjam. Belum pun reda masalah ini, kini timbul pula masalah penipu (scammer) dalam talian yang terlibat  dengan penjualan data peribadi dan jenayah komersial lain. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa kes jenayah komersial pada tahun 2022 mencatatkan sebanyak 30 536 kes membabitkan kerugian berjumlah RM1.73 bilion.

Walau bagaimanapun, berbanding dengan cabaran yang dinyatakan sebelum ini, rakyat Malaysia lebih bimbang terhadap kemasukan pekerja asing, pendatang tanpa izin dan pelarian yang berpusu-pusu masuk ke Malaysia. Kemasukan pekerja asing ini dianggap sebagai “lmbong emas” bagi golongan yang berkepentingan namun mendatangkan pelbagai masalah terhadap rakyat tempatan.

Berdasarkan pemerhatian, Malaysia dikatakan sebagai tempat lambakan pelarian daripada 50 buah negara, (Berita Harian 24 April 2022). Hal ini memberikan ancaman besar terhadap kedaulatan negara. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ketika merasmikan pembukaan Penggal Kedua Sidang Parlimen Ke-15 pada bulan Februari lalu bertitah agar satu usaha berterusan dan bersepadu perlu dipergiatkan oleh kerajaan bagi memastikan negara terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman termasuk pencerobohan pendatang tanpa izin. Menurut worldpopulationreview.com pula, Malaysia mencatatkan kemasukan warga asing 11 minit bagi setiap seorang. Bagaimanakah hal ini boleh berlaku?

Apabila kita cuba menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja, maka kita akan membawa masuk beratus ribu orang pekerja dari luar bersama-sama dengan masalah, sikap dan perangai mereka. Hal inilah yang memberikan kesan negatif dan mengancam keharmonian masyarakat tempatan yang terdiri dari berbilang kaum dan hidup dalam keadaan aman dan damai.

Sebagai langkah mengatasi isu kekurangan tenaga kerja, kerajaan telah meluluskan kemasukan 500 000 orang pekerja asing secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM). Menurut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, kemasukan pekerja asing itu khusus bagi lima sektor, iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

Sektor perladangan banyak menggunakan khidmat tenaga buruh asing.

Rakyat Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya rakyat asing dapat bekerja di Malaysia secara sah, mematuhi undang-undang negara serta menghormati adab dan budaya terhadap rakyat tempatan. Setelah bekerja dalam tempoh tertentu mereka perlu balik ke negara asal dan tidak mengambil kesempatan untuk menetap terus di negara ini sehinggu berlaku lambakan populasi rakyat asing di Malaysia.

Mengamalkan Budaya Setempat

Penulis juga berpengalaman bekerja di luar negara. Apabila jawatan sebagai ahli kimia penyemperitan (extrusion chemist) diiklankan selama setahun di New Zealand, tidak ada rakyat tempatan yang berminat atau yang layak. Penulis memilih untuk memohon jawatan tersebut. Sepanjang bekerja di New Zealand, penulis membayar cukai pendapatan dan lain-lain bayaran yang dikenakan. Penulis juga menjaga adab dan menghormati budaya mereka serta boleh tinggal bersama-sama komuniti mereka.  Penulis kembali ke Malaysia setelah tempoh perkhidmatan tamat dan hal ini tidak menimbulkan sebarang masalah terhadap rakyat negara tersebut.

Perniagaan kedai runcit yang banyak dimonopoli oleh warga asing.

Malangnya hal ini tidak berlaku di Malaysia. Pada asalnya, mereka ini diperlukan untuk bekerja di sektor pembinaan, pertanian, penternakan dan sektor 3D (kotor, sukar dan bahaya), namun sedikit demi sedikit mereka mula membina komuniti dan menjalankan perniagaan. Bagi pekerja di sektor pembinaan pula mereka menjadi kontraktor untuk ubah suai dan membina rumah. Begitu juga dalam sektor pertanian, mereka mulai menceroboh tanah kerajaan atau menyewa tanah dan mengusahakan aktiviti pertanian dan hasil tersebut di pasarkan di pasar borong atau pasar tani.

Bagi pekerja Bangladesh, difahamkan bahawa bank di Bangladesh membiayai pinjaman sehingga RM25 000 sekiranya pekerja Bangladesh ini menjalankan perniagaan di Malaysia. Video yang tular di TikTok memberitahu pengusaha cuci kereta warga Bangladesh boleh meraih keuntungan perniagaan sekitar RM12 000 sebulan dan mereka tidak perlu membayar apa-apa cukai. Warga asing ini juga hanya akan menggaji warga mereka sahaja. Sebagai contoh restoran nasi Arab hanya mengambil pekerja daripada tukang masak hingga pelayan warga Arab sahaja.

Kegitan jenayah seperti pelacuran, kes jenayah berat, penyakit berjangkit, pemerdagangan manusia, setinggan, bilangan peminta sedekah yang semakin hari semakin bertambah, pergaduhan, mabuk, memandu tanpa lesen dan menjaga tempat letak kereta secara haram mulai meningkat tanpa disedari. Pendek kata lebih banyak mudarat daripada manfaat. Manfaat warga asing diperoleh oleh majikan yang menggaji mereka tetapi mudarat warga asing ditanggung oleh seluruh rakyat Malaysia.

Begitu juga dengan pelarian Rohingya. Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Hal ini berikutan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status hak pelarian di negara ini. Walau bagaimanapun, kerajaan membenarkan mereka tinggal sementara di negara ini atas dasar kemanusiaan.

Kegiatan pendatang tanpa izin dan pelarian ini banyak dimuat naik di media sosial sehinggu menimbulkan kebimbangan rakyat Malaysia. Mereka telah mengambil kesempatan atas sikap baik, sikap tolak ansur rakyat Malaysia yang akhirnya memakan diri. Bukan hanya ingin mendapatkan pekerjaan di Malaysia tetapi mereka telah membina rangkaian perniagaan di negara ini.

Anak Kecil Main Api

Tajuk lagu ini menginatkan kita bait-bait liriknya yang berbunyi, “Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi, air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang. Nenek moyang kaya-raya, tergadai seluruh harta benda, akibat sengketa sesamalah kita, cinta lenyap di arus zaman.”

Jika diperhalusi lirik lagu ini menggambarkan situasi sebenar yang dialami oleh rakyat Malaysia.  Jumlah tanah berstatus rizab Melayu hanya tinggal 12 peratus berbanding dengan lebih 50 peratus suatu ketika dahulu. Tanah rizab Melayu ini diambil dan dibangunkan dengan pelbagai projek. Walaupun termaktub dalam undang-undang (tanah rizab yang diambil) mesti diganti serta-merta, namun hal tersebut tidak berlaku dan tidak diambil berat. Begitu juga tanah adat Orang Asli.

Hari ini, cuba kita renungi bersama, di manakah kedudukan masyarakat Bumiputera Malaysia? Kedai runcit dikuasai oleh orang Aceh. Kedai makan tomyam dikuasai oleh orang Siam. Kedai karpet dikuasai oleh orang Pakistan, kedai kain dikuasai oleh orang Kemboja, kedai makan 24 jam dikuasai oleh Mamak. Pasar borong dikuasai oleh orang Bangladesh. Besi buruk dikuasai oleh orang Rohingya. Di manakah tempat kita di tanah air kita sendiri?

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.