Oleh Suria Janib
3 Jun 2023, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – ASEAN Rights Fair 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Mei hingga 1 Jun 2023 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Kuala Lumpur dijangka memberikan harapan yang cerah kepada pemain industri buku khususnya penerbit ulung, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam sesi pertemuan dan kerjasama antara pemain industri buku dengan anggota rantau ASEAN, beberapa pihak menunjukkan minat untuk saling bertukar hak pelesenan penerbitan dengan DBP. Pengarah Pustaka Nasional, Syed Ali Semait bersedia memberikan kerjasama yang baik untuk memberikan laluan terbitan buku DBP berbahasa Melayu menembusi pasaran Singapura.

Pengarah Pustaka Nasional, Syed Ali Semait bersedia memberikan kerjasama dengan memberikan laluan terbitan buku DBP.

“Kita mempunyai satu bahasa, sama-sama melahirkan hasrat untuk mencambahkan ilmu dalam kalangan masyarakat menerusi penerbitan buku. Buku DBP sudah lama dikenali di Singapura. Kita berhasrat untuk meneruskan hubungan ini semula menerusi pertukaran penjualan pelesenan penerbitan,” katanya.

Selain itu, penerbit World Scientific dari Singapura, Chua Hong Koon juga bersedia memberikan kerjasama yang baik untuk bertukar maklumat berkaitan dengan pelesenan penerbitan buku kanak-kanak. “Industri kami berminat untuk mendapatkan informasi berkaitan dengan karya cereka klasik kanak-kanak daripada terbitan DBP. Setakat ini penerbit kami sudah menerbitkan buku kanak-kanak berasaskan sumber manuskrip Sejarah Melayu: Singapura Dilanggar Todak dan antologi cereka: Puteri Gunung Ledang.

Menurut jurucakap Graha Ilmu, HBR Slamet penerbit Indonesia itu juga bersedia memberikan kerjasama yang baik dengan DBP bagi melebarkan penerbitan buku antara kedua-dua belah pihak.

Penulis dan Ketua Bahagian Harta Intelek DBP bersama-sama jurucakap Graha Ilmu.

Ibu Flora daripada penerbitan PT Kanisius, Yogyakarta, Indonesia juga menyatakan minat yang serius berhubung dengan pembelian pelesenan penerbitan yang melibatkan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak.

Selain negara ASEAN, negara dari Tembok Besar China juga menunjukkan minat terhadap pembelian pelesenan buku kanak-kanak terbitan DBP. Olivia Wang dari Jieli Publishing House menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama dengan DBP pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.