Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Trend harga di Malaysia memperlihatkan peningkatan inflasi 1.8 peratus pada Februari 2024 selepas tiga bulan berturut-turut dilaporkan pada kadar 1.5 peratus.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 4/2024, inflasi pada Mac 2024 bagaimanapun stabil pada 1.8 peratus.
“Sementara itu, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) meningkat 0.3 peratus pada Februari 2024, memulih daripada negatif 0.6 peratus pada Januari 2024.
“Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan 6.0 peratus dalam sektor pertanian, perhutanan & perikanan (berbanding 3.2 peratus pada Januari 2024), bersama dengan kenaikan dalam sektor perlombongan, bekalan air serta bekalan elektrik dan gas.
“Walau bagaimanapun, sektor pembuatan terus menurun sebanyak 0.7 peratus (berbanding -0.9 peratus pada Januari 2024). Pada Mac 2024, IHPR meningkat sebanyak 1.6 peratus.”
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Pelopor (IP) Malaysia meningkat 2.0 peratus, mencecah 112.7 mata pada Februari 2024 berbanding 110.5 mata pada tahun sebelumnya.
Tambah beliau, pertumbuhan konsisten dalam tempoh tiga bulan ini menggambarkan prospek ekonomi yang positif bagi suku kedua 2024, didorong oleh peningkatan dalam Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (28.0 peratus) dan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (9.9 peratus).
“Selepas 16 bulan di bawah trend, kadar pertumbuhan IP kembali melebihi trend 100.0 mata pada Februari 2024, menunjukkan ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik pada masa hadapan kerana dirangsang oleh pertumbuhan domestik dan perbelanjaan isi rumah yang berterusan.”
Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia yang diterbitkan oleh IMF dalam edisi April 2024 meramalkan pertumbuhan ekonomi global yang konsisten sebanyak 3.2 peratus bagi tahun 2024 dan tahun 2025 yang selari dengan kadar tahun sebelumnya.
Beliau berkata ekonomi negara maju diunjur mencatatkan pertumbuhan marginal, manakala ekonomi negara pasaran baharu dan membangun dijangka mengalami pertumbuhan lebih perlahan daripada 4.3 peratus pada tahun 2023 kepada 4.2 peratus pada tahun 2024 dan tahun 2025.
“Bagi sudut Malaysia, anggaran pertumbuhan KDNK awalan untuk suku pertama 2024 meningkat sebanyak 3.9 peratus, mencatatkan kenaikan daripada 3.0 peratus berbanding yang direkodkan pada suku sebelumnya.
“Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dengan peningkatan yang ketara diperhatikan dalam semua sektor utama.”