30 April 2024, 07:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Mertajam – Lembaga Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan untuk menampilkan 150 syarikat Malaysia di Ekspo China-Asean 2024 (CAEXPO 2024) yang akan berlangsung di Nanning, China dari 24 September hingga 28 September 2024.

Pengarah Matrade bagi China dan Asia Timur Laut serta Asean dan Oceania Mazlan Harun berkata penyertaan dalam pameran itu penting susulan kedudukan Malaysia sebagai sumber import terbesar China dalam kalangan negara Asean. Beliau berkata perkara itu menunjukkan potensi besar pasaran China bagi perniagaan Malaysia.

“Tahun ini, penyertaan kita akan menjadi lebih signifikan kerana kita telah dijemput untuk menjadi Negara Kehormat bagi CAEXPO edisi ke-21 dan pavilion Malaysia akan diberikan tumpuan khas.

“Kita akan mengetengahkan pavilion yang jauh lebih besar, menyediakan ruang mencukupi untuk syarikat Malaysia mengetengahkan pelbagai produk mereka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Promosi CAEXPO 2024.

Matrade menawarkan lebih daripada sekadar ruang reruai kepada syarikat itu memandangkan masing-masing akan mempunyai peluang rangkaian dengan pembeli berkualiti melalui padanan perniagaan yang diatur lebih awal yang dianjurkan dengan kerjasama Sekretariat CAEXPO dan China Construction Bank disokong oleh Kedutaan China di Malaysia.

Beliau turut menekankan bahawa sepanjang penganjuran 20 edisi ekspo itu, CAEXPO merekodkan penyertaan lebih 2000 syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana telah menjana jualan bernilai lebih RM6.3 bilion, dengan 1.3 juta pengunjung.

Selain itu, beliau berkata penyertaan syarikat Malaysia dalam CAEXPO 2024 akan memperingati ulang tahun ke-50 bubungan diplomatik Malaysia-China dan menyumbang kepada kejayaannya yang berterusan.

Beliau turut menggesa perniagaan Malaysia supaya memanfaatkan pasaran China yang luas dengan menampilkan jenama mereka dan membina hubungan dengan peserta utama semasa CAEXPO 2024.

Pavilion Malaysia mencatatkan jualan berjumlah RM625.42 juta tahun lepas, dengan tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani untuk jualan seterusnya.

Sebanyak 107 syarikat, sembilan kementerian dan agensi kerajaan telah menyertai Matrade di CAEXPO tahun lepas.

Perdagangan Malaysia dengan China tetap signifikan pada suku pertama 2024, dengan jumlah perdagangan melebihi RM112 bilion telah meningkat sebanyak 3.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama 2023.

Hadir sama pada acara itu ialah Konsulat Besar China di Pulau Pinang ,Zhou Youbin dan Timbalan Setiausaha Agung Sekretariat CAEXPO, Liang Yiguang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.