2 Mei 2024, 18:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pengumuman pelaburan oleh Microsoft berjumlah RM10.5 bilion (USD2.2 bilion) dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) untuk tempoh empat tahun akan datang mempercepatkan lagi transformasi digital Malaysia.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pengumuman pelaburan terkini oleh Microsoft itu juga adalah komitmen berterusan Bersama Malaysia syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu sejak tahun 2021.

“Pelaburan terkini itu juga bakal mentransformasikan Malaysia sebagai peneraju hab digital serantau dan menyasarkan melatih 200,000 rakyat Malaysia serta memperkasakan pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman negara ini menerusi teknologi canggih dan inovatif,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pelaburan itu difasilitasi oleh satu daripada agensi MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama dengan agensi awam lain meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan digital.

Tambahnya, pelaburan itu juga menyokong inisiatif nasional Malaysia untuk menerima teknologi baharu termasuk AI dan Generatif AI yang boleh menjana produktif sebanyak USD113.4 bilion di Malaysia.

MITI memaklumkan pelaburan komited Microsoft itu dibuat oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella ketika Forum Kepimpinan Nasional AI di Putrajaya hari ini yang juga dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan yang sama berkata, perkongsian strategik dengan Microsoft itu selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP2030) yang bukan saja membantu menerima teknologi dengan pantas tetapi juga memupuk inovasi serta keselamatan ekonomi dan keterangkuman.

Tambah beliau, selain untuk menarik pelaburan yang berkualiti, pihaknya juga sedang mencari rakan kongsi yang boleh membantu memperjuangkan komitmen negara untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat melalui teknologi pemboleh baharu termasuk AI supaya mereka juga boleh meraih manfaat ekonomi digital yang lebih rancak di Malaysia.

“Pelaburan komited RM10.5 bilion Microsoft mempercepatkan ke arah hasil yang positif dan komitmen Malaysia terhadap infrastruktur digital yang utuh telah meyakinkan banyak syarikat multinasional yang diiktiraf di peringkat global untuk menubuhkan atau mengembangkan kehadiran mereka di sini, seperti yang dibuktikan oleh pelaburan digital bernilai RM144.7 bilion yang diluluskan dari tahun 2021 hingga tahun 2023,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella berkata, pihaknya komited untuk menyokong transformasi AI Malaysia dan memastikan teknologi itu dapat memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

“Pelaburan kami dalam infrastruktur digital dan kemahiran akan membantu perniagaan, komuniti dan pemaju Malaysia menggunakan teknologi terkini untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi yang insklusif di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.