2 Jun 2023, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur  (PBAKL) pada edisi ke-40 baru-baru ini menampilkan pembaharuan apabila buat julung kalinya memperkenalkan negara tamu, negeri tamu dan kementerian tamu kepada para pengunjung acara itu. Untuk tujuan tersebut, tiga pavilion telah disediakan dengan negara tamu yang menjadi tumpuan ialah China, negeri tamu pula ialah Sarawak dan Kementerian Pendidikan mengisi slot yang dikhaskan untuk kementerian tamu.

Kementerian Pendidikan Malaysia dipilih sebagai Kementerian Tamu dalam PBAKL 2023.

Pembaharuan ini khususnya yang melibatkan negara tamu dilihat sangat penting dalam industri perbukuan kerana hal tersebut membuka ruang penerokaan baharu dalam industri tersebut yang boleh dicapai melalui kerjasama strategik secara lebih meluas terutamanya yang meliputi transaksi jualan hak cipta dan penerbitan karya terjemahan. Antara penerbit buku dari China yang bertandang di PBAKL termasuklah SDX Joint Publishing (Sanlian Bookhouse) yang ditubuhkan pada tahun 1930. Pada tahun 2002, syarikat ini menganggotai keahlian China Publishing Group. Dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini, lebih 6000 buah buku telah diterbitkan. Antaranya termasuklah hasil karya Chen Yinque, hasil karya Ch’ien Chung-shu, dan  Siri Perpustakaan SDX & Harvard-Yenching Academic yang sarat dengan nilai ideologi, budaya dan sosial yang signifikan.

Selain terlibat dengan penerbitan buku, SDX juga komited terhadap jurnal. Sehingga kini, Life Weekly telah dinilai sebagai majalah paling berpengaruh di China; terbitan berkala Reading Monthly pula mempunyai peminat yang tersendiri khususnya dalam kalangan intelektual Cina. SDX turut mengendalikan kedai buku 24 jam yang pertama di Beijing, iaitu SDX Taofen Book Store yang pernah memenangi Anugerah The Bookstore Spirit of China di Pesta Buku London pada 2018. Platform media baharu SDX yang dikenali sebagai Zhongdu telah dipilih sebagai 10 platform sains sosial dan kemanusiaan terbaik pada tahun 2020.

Idea menghadirkan negara tamu dalam acara pesta buku berskala besar sebenarnya telah pun dimulakan dalam penganjuran pesta buku terbesar di dunia, Frankfurter Buchmesse atau Frankfurt Book Fair (FBF) yang berlangsung di kota Frankfurt, Jerman sejak dari tahun 1976. Kehadiran sebuah negara sebagai etamu kehormat menghidupkan Frankfurter Buchmesse dengan wajah dan watak baharu setiap tahun. Bagi negara yang menjadi tetamu kehormat itu pula, penampilannya dalam acara perbukuan terbesar di dunia itu mempunyai dua kepentingan, iaitu  yang pertama, bidang kesusasteraan dan kebudayaan negara tersebut pastinya mendapat sorotan dan perhatian yang luar biasa; dan kedua, industri penerbitan di negara tersebut secara tidak langsung menjadi tumpuan acara antarabangsa terbesar dalam dunia buku dan media dan berpeluang mendapat jemputan dalam acara perbukuan yang diadakan di negara-negara lain. Secara keseluruhannya penampilan tetamu kehormat dalam sesebuah acara perbukuan menjadi magnet kepada penonton dan cangkuk yang melekat kepada media untuk membuat liputan.

Objektif Kehadiran Tetamu Kehormat

Antara objektif utama Frankfurter Buchmesse memperkenalkan tetamu kehormat dalam acaranya termasuklah untuk mengukuhkan rangkaian antarabangsa dalam industri penerbitan dan institusi kebudayaan setiap negara yang terpilih; membawa sasteranya ke serata dunia; dan meningkatkan bilangan terjemahan dari negara tersebut. Untuk tujuan tersebut, tetamu kehormat biasanya akan mengadakan program khas bagi mempromosikan terjemahan. Dengan peluang yang terhidang, negara yang menjadi tetamu kehormat bukan sahaja dapat mengukuhkan perdagangan lesen dan memperluaskan hubungan penerbitan antarabangsa, malah penganjur juga mendapat manfaat dari sudut peningkatan perhatian, promosi pengarang dan kehadiran penerbit di pasaran buku terbesar di dunia.

Dari aspek pembaca dan orang awam, kehadiran tetamu kehormat menawarkan titik akses baharu kepada kesusasteraan dan kebudayaan bagi sesebuah negara. Negara yang diketengahkan sudah tentu menghadirkan minat yang luar biasa dalam kelompok pengamal media sehingga ada yang menyatakan bahawa liputan terhadap sesebuah negara yang menjadi tetamu kehormat mencecah ribuan laporan pada satu-satu masa.

Penampilan sesebuah negara sebagai tetamu kehormat juga memberikan dorongan untuk perdebatan yang lebih sengit tentang negara tersebut sehinga menghasilkan kesedaran yang lebih besar tentang politik, sejarah dan masa ini atau masa hadapan tentang kedudukan negara tersebut. Program sokongan terhadap kebudayaan bagi negara yang menjadi tetamu kehormat menyumbang kepada penubuhan atau hubungan budaya antarabangsa yang berpanjangan sekali gus menggalakkan pertukaran budaya, dialog dan pelancongan.

Kaedah Menjadi Tetamu Kehormat

Untuk menjadi tetamu kehormat, mana-mana negara yang berminat perlu mengemukakan permohonan melalui persatuan penerbit negara tersebut dengan menyertakan beberapa kriteria yang diperlukan seperti senario industri penerbitan yang sedang berkembang maju bagi negara yang membuat permohonan, sokongan untuk terjemahan, dan bajet serta struktur organisasi yang mencukupi untuk merealisasikan program tersebut.

Pemilihan sesebuah negara menjadi tetamu kehormat dalam acara Frankfurter Buchmesse selanjutnya dilakukan melalui perundingan dengan lembaga penyeliaan Börsenverein des Deutschen Buchhandels (Persatuan Penerbit dan Penjual Buku Jerman). Kontrak antara Frankfurter Buchmesse dan tetamu kehormat kemudiannya dimeterai antara penganjur dengan kementerian kebudayaan atau persatuan penerbit negara tersebut dan hal tersebut biasanya ditandatangani tiga tahun lebih awal daripada penampilan sebenar negara yang terpilih menjadi tetamu kehormat.

Tetamu Kehormat pada dasarnya bertanggungjawab untuk mereka bentuk, mengatur dan membiayai penampilannya di pameran itu. Untuk berbuat demikian, sejurus selepas kontrak ditandatangani, tetamu kehormat akan menubuhkan jawatankuasa penganjur untuk mengendalikan persiapan kira-kira dua tahun sebelum acara berlangsung. Biasanya, jawatankuasa penganjur ini akan bekerjasama dan bergabung dengan kementerian kebudayaan atau pendidikan serta persatuan penerbit kebangsaan.

Peranan Penganjur dan Tetamu Kehormat

Kira-kira setahun sebelum penampilan negara dalam acara sebagai tetamu kehormat, sebuah pejabat akan dibuka di Frankfurt, dengan meletakkan wakil daripada jawatankuasa penganjur yang boleh dihubungi di tapak pameran. Di samping itu, agensi dalam perhubungan awam juga diperlukan untuk membantu mengendalikan semua komunikasi, pengiklanan dan kehadiran yang berkaitan dengan urusan tetamu kehormat.

Pada masa yang sama penganjur Frankfurter Buchmesse menawarkan bimbingan kepada tetamu kehormat yang merangkumi perancangan dan pelaksanaan penampilan negara tersebut dalam acara. Bagi tetamu kehormat pula, wakil daripada jawatankuasa penganjur akan memainkan peranan sebagai antara muka yang mewakili negara di Frankfurter Buchmesse dengan pelbagai institusi kebudayaan dan rakan kongsi yang bekerjasama di seluruh Jerman.

Selain itu, melalui program dan acara profesional, Frankfurter Buchmesse menyokong rangkaian dan menghubungkan industri penerbitan tetamu kehormat dengan industri buku dan media antarabangsa. Untuk penampilan tetamu kehormat itu sendiri, Frankfurter Buchmesse menyediakan kawasan pavilion seluas kira-kira 2000 meter persegi di tapak pesta.

Karya terbitan Negara Tamu turut dipamerkan di tapak pesta buku.

Dan hasilnya, program tetamu kehormat pastinya menjadi tumpuan sepanjang acara berlangsung, iaitu lima hari yang dipilih dalam bulan Oktober setiap tahun. Kebiasaannya tetamu kehormat membuat penampilan dalam majlis perasmian pameran itu yang dimulakan oleh seorang sasterawan atau tokoh pemimpin dari negara tersebut. Astaka tetamu kehormat akan berada di tengah-tengah ruang pameran dan dari situ, tetamu kehormat akan menampilkan hasil karyanya melalui pameran yang direka khas dan menawarkan program yang pelbagai dalam ruang acara bersepadu, dengan bacaan, perbincangan, persembahan dan barangkali diselit juga waktu ria (happy hour) kepada pengunjung.

Secara purata, tetamu kehormat membawa kira-kira 50 pengarang ke Frankfurter Buchmesse. Juga dipamerkan di pavilion termasuklah pameran antarabangsa tentang karya yang bercirikan motif negara tersebut merangkumi  karya sastera dalam terjemahan. Penerbit dari negara yang diketengahkan turut hadir di gerai secara kolektif termasuk di pelbagai kawasan tematik Frankfurter Buchmesse.

Program sokongan yang pelbagai turut ditawarkan di luar tapak acara misalnya di sekitar bandar Frankfurt dan lokasi lain. Hal ini adalah kerana kehadiran tetamu kehormat tidak terhad kepada hanya lima hari di Frankfurter Buchmesse dalam bulan Oktober, sebaliknya negara tersebut turut diberi ruang untuk memberikan pendedahan terhadap banyak keluaran baharu negara itu kepada industri dan masyarakat tempatan. Sepanjang penampilannya sebagai tetamu kehormat, khususnya semasa minggu Frankfurter Buchmesse, negara yang diketengahkan akan membawa sorotan budayanya ke Frankfurt dan kawasan sekitarnya, serta di kebanyakan bandar lain yang melibatkan perbincangan panel mengenai politik, kesusasteraan dan peristiwa semasa yang berkaitan dengan seni seperti teater, tarian, muzik, filem, persembahan, malam sastera-kulinari, dan konvensyen.

Banyak penerbit dan institusi kebudayaan tempatan mengambil tema tetamu kehormat dengan menyepadukan tajuk dan sumbangan negara tersebut ke dalam program mereka. Dengan itu, tetamu kehormat dapat mengambil kesempatan daripada rangsangan besar tersebut untuk menyertai pameran perdagangan dan festival sastera dan kebudayaan di tempat yang lain. Dikatakan sejumlah 500 acara yang berkaitan dengan tetamu kehormat berlangsung setiap tahun di Frankfurter Buchmesse dan juga kawasan-kawasan terpilih yang telah ditetapkan menerusi program kerjasama antara negara yang diketengahkan dengan penerbit serta institusi kebudayaan tempatan.

Sumber gambar: Facebook rasmi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.