2 Jun 2023, 21:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin mengumumkan bahawa pengakuan sukarela menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 boleh dibuat bermula pada 6 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024. PKPS 2.0 ini merupakan inisiatif HASiL untuk menyokong rukun kemampanan dalam pentadbiran percukaian negara seiring dengan konsep Malaysia MADANI. Program yang ditawarkan memberikan peluang kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai mereka berteraskan konsep A.E.S (Awareness, Education, Services) yang diamalkan di HASiL.

PKPS 2.0 ini memberikan peluang kepada pembayar cukai tampil secara sukarela untuk melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur selaras dengan ketetapan HASiL yang sedang berkuat kuasa serta menggalakkan pembayar cukai membayar cukai dalam tempoh yang ditetapkan. PKPS 2.0 ini ditawarkan kepada semua kategori pembayar cukai (kecuali kategori fail majikan) yang penalti yang ditawarkan ialah 0 peratus. Pengakuan sukarela ini hendaklah dibuat melalui kaedah berikut:

  1. Bagi pembayar cukai baharu:

Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP)/Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) perlu dikemukakan dalam tempoh pelaksanaan PKPS 2.0 sama ada secara e-Filing/e-CKHT atau manual.

  1. Bagi pembayar cukai sedia ada:
  2. Tidak mengemukakan BNCP/BNCKHT:

BNCP/BNCKHT perlu dikemukakan dalam tempoh PKPS 2.0 sama ada secara e-Filing/e-CKHT atau manual.

  1. Telah mengemukakan BNCP namun terdapat pendapatan yang tidak dilaporkan:

Pengakuan sukarela perlu dikemukakan melalui pautan PKPS 2.0 di portal rasmi HASiL https://www.hasil.gov.my/MyTax dengan menggunakan Borang Pelaporan Pertambahan Pendapatan PKPS 2.0 dan pengiraan cukai. Pengiraan cukai hanya perlu dikemukakan oleh pembayar cukai kategori fail syarikat, perniagaan dan perkongsian.

  1. Bagi pengakuan sukarela yang melibatkan isu harga pindahan, Borang Pengakuan Sukarela bagi Kes Harga Pindahan boleh dimuat turun dari portal rasmi HASiL. Borang yang telah lengkap diisi berserta lampiran perlu dikemukakan kepada pejabat HASiL yang mengendalikan fail pembayar cukai atau ke pejabat HASiL yang berhampiran.
  2. Bagi pembayar duti, dokumen/perjanjian perlu dikemukakan melalui Stamp Assessment and Payment System (STAMPS) untuk proses penyeteman.

HASiL akan menerima maklumat pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh PKPS 2.0 dengan suci hati. Semakan lanjut sama ada melalui audit atau siasatan tidak akan dilakukan terhadap tahun taksiran yang berkaitan dengan pendapatan yang dilaporkan secara sukarela. Pembayar cukai boleh merujuk Garis Panduan Operasi Bilangan 2 Tahun 2023 bertajuk Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 serta set soalan lazim berkaitan yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan berikut:

  1. Bahasa Melayu:

https://www.hasil.gov.my/program-khas-pengakuan-sukarela-20

  1. Bahasa Inggeris:

https://www.hasil.gov.my/en/special-voluntary-disclosure-programme-svdp- 20/

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:

  1. a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
  2. b) HASiL Live Chat; dan
  3. c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.