Oleh Barjoyai Bardai
30 Mei 2023, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sistem percukaian di negara kita bermula sejak zaman Kerajaan Melayu Melaka dan semasa pemerintahan Kerajaan Johor Riau. Cukai yang dikenakan pada waktu tersebut khusus kepada saudagar asing dan tempatan yang dikutip oleh Shahbandar di bawah Penghulu Bendahari. Penubuhan negeri Selat pada tahun 1826, menyebabkan pentadbiran cukai diletakkan bawah seorang gabenor dan Majlis Jeneral di Syarikat Hindia Timur, Calcutta.

Pada tahun 1946, Kesatuan Kastam bagi semenanjung dibentuk dan diberikan nama Customes and Excise of Malayan Union. Pada tahun 1948, Malayan Union dibubarkan dan Jabatan Kastam diletak di bawah Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri Selat di bawah Seksyen 138 Ordinan Kastam 1952. Pada awal tahun 1900 hingga tahun 1920, hasil cukai datang daripada tiga sumber penting, iaitu perdagangan candu, duti import alkohol dan tembakau yang memberikan lebih 25% dari hasil cukai kerajaan.

Sistem percukaian langsung Malaysia diperkenalkan oleh Gebenor British di Malaya dan Singapura mulai 1 Janurai 1948. Sistem percukaian itu berasaskan kepada Ordinan Cukai Pendapatan 1922 di United Kingdom. R.B. Heasman, pakar cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri United Kingdom telah dihantar ke Malaya untuk membentuk sistem percukaian ini. Beliau telah mengemukakan laporan pada tahun 1947 dan mengasaskan penubuhan sistem percukaian bermodelkan sistem di UK pada masa itu. R.B. Heasman memperkenalkan cukai pendapatan dan cukai korporat di Malaysia sebagai bentuk cukai langsung. Sistem percukaian telah berkembang maju daripada bergantung sepenuhnya terhadap cukai tidak langsung dan kini hasil cukai langsung menjadi lebih besar daripada cukai tidak langsung mulai tahun 1997. Cukai langsung kini menyumbang lebih 74% daripada jumlah hasil pendapatan cukai kerajaan.

Walau bagaimanapun, hari ini cukai dilihat sebagai satu daripada strategi untuk meningkatkan pendapatan negara. Hal ini berikutan situasi ekonomi yang tidak konsisten menyebabkan kerajaan perlu berusaha mencari alternatif bagi menjana pendapatan negara agar ekonomi terus berkembang walaupun dalam situasi yang amat perlahan. Cukai menyumbang sekitar 40% hingga 50% daripada pendapatan kerajaan selama 20 tahun terakhir.

Yang berikut merupakan statistik hasil cukai di Malaysia dalam tempoh 20 tahun berdasarkan Laporan Tahunan Kewangan Kerajaan Malaysia.

Tahun Cukai Pendapatan Cukai Barang dan Perkhidmatan Cukai Keuntungan Hartanah Cukai Import Cukai Eksais dan Cukai Lain-lain Jumlah Cukai
2002 14.9 29.6 1.5 2.7 3.2 51.9
2003 14.5 30.5 1.8 2.8 2.3 51.9
2004 15.6 32.0 2.0 3.0 3.3 55.9
2005 18.1 36.0 2.1 4.4 2.8 63.4
2006 21.7 44.2 2.8 4.7 1.4 74.8
2007 26.2 55.1 3.0 5.0 0.5 89.8
2008 28.6 57.3 2.5 3.8 1.3 93.5
2009 23.1 43.2 2.1 5.5 3.2 77.1
2010 26.4 54.4 1.9 4.3 3.0 89.8
2011 30.6 70.4 1.6 1.6 0.1 104.3
2012 34.5 80.1 1.7 1.5 0.1 117.9
2013 36.9 85.3 1.5 2.1 0.1 125.9
2014 35.2 82.1 1.3 1.8 0.5 120.9
2015 13.3 29.3 0.3 0.0 0.0 42.9
2016 47.5 41.5 3.2 10.5 5.8 108.5
2017 48.8 43.4 3.4 10.2 6.7 112.5
2018 51.3 47.2 3.5 12.0 7.1 121.0
2019 54.4 50.8 3.6 12.5 7.5 128.8
2020 46.9 36.6 1.9 8.3 2.9 96.6
2021 54.9 43.9 2.5 10.1 2.8 114.2
2022 60.3 48.2 2.8 11.1 3.1 125.5

Berdasarkan jadual, mulai tahun 2016 memperlihatkan hasil cukai pendapatan telah mengatasi hasil cukai langsung di Malaysia. Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan tersebut termasuklah kenaikan pendapatan isi rumah dan kenaikan kadar cukai. Sungguhpun demikian, dalam ekonomi yang tidak konsisten hari ini, sudah pasti kenaikan kadar cukai memberikan bebanan terhadap golongan pembayar cukai. Hal ini sudah tentu memberikan tekanan walaupun tujuan kenaikan tersebut demi memastikan kelangsungan ekonomi negara.

Banyak pertimbangan yang perlu dibuat sebelum mengambil keputusan untuk menaikkan kadar cukai.

Terdapat beberapa pilihan lain yang boleh dipertimbangkan selain meningkatkan cukai untuk menambah pendapatan negara. Antaranya termasuklah;

  • Meningkatkan penerimaan cukai sedia ada

Sebelum memikirkan untuk meningkatkan cukai, kerajaan perlu memastikan penerimaan cukai sedia ada diambil dengan cekap. Hal itu termasuklah mengesan penipuan cukai, memperketat pemungutan cukai dan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem cukai.

  • Meningkatkan kutipan royalti dan cukai atas sumber kekayaan asli

Malaysia mempunyai sumber kekayaan asli yang besar seperti minyak, gas, dan hasil hutan. Peningkatan kutipan royalti dan cukai atas sumber kekayaan asli ini boleh membantu meningkatkan pendapatan kerajaan.

  • Memperkenalkan cukai karbon

Cukai karbon boleh diaplikasikan ke atas pengeluaran bahan api fosil yang mencipta karbon dioksida. Hal ini boleh membantu mempromosikan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan merangsang pembangunan teknologi hijau.

  • Meningkatkan hasil melalui pengurangan perbelanjaan kerajaan

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pengurangan belanja melalui pemotongan perbelanjaan bukan penting dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan. Hal ini boleh membantu membebaskan dana untuk digunakan dalam pembangunan dan projek strategik.

  • Meningkatkan pendapatan melalui pembangunan ekonomi

Pembangunan ekonomi yang berterusan dapat membantu meningkatkan pendapatan dan mendorong pertumbuhan ekonomi. Hal ini boleh dilakukan dengan mempromosikan pelaburan asing, membantu usahawan tempatan, meningkatkan sektor ekonomi tertentu, dan memperkenalkan inisiatif pembangunan ekonomi yang inovatif.

Pilihan tersebut dapat membantu kerajaan meningkatkan pendapatan tanpa perlu meningkatkan cukai. Oleh itu, penting untuk mempertimbangkan pilihan lain sebelum mengambil keputusan untuk menaikkan kadar cukai.

Peningkatan Pinjaman Kerajaan 

Pentadbiran dua kerajaan yang lepas telah membelanjakan lebih RM600 bilion dalam tempoh tiga tahun bagi menangani gejala COVID-19. Hal ini menyebabkan kadar hutang negara sudah menjangkau hampir RM1.5 trilion (jika diambil kira cagaran dan jaminan kerajaan). Apakah usaha yang boleh dilakukan untuk menangani hutang negara yang melambung tinggi ini? Bagi menangani hutang negara yang melambung tinggi, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil seperti yang berikut:

  • Mengurangkan perbelanjaan kerajaan

Kerajaan boleh mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting, menghapuskan projek yang tidak mempunyai keperluan atau manfaat yang ketara dan memastikan peruntukan digunakan secara efisien dan efektif.

  • Meningkatkan hasil ekonomi negara

Kerajaan boleh memberikan tumpuan terhadap inisiatif yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi untuk meningkatkan hasil dan pendapatan negara. Hal ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan dasar dan program yang mendorong pelaburan, mengekalkan atau meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dan memaksimumkan penggunaan sumber daya negara.

  • Meningkatkan pendapatan kerajaan

Kerajaan boleh mengambil langkah untuk meningkatkan pendapatan melalui peningkatan cukai atau memperkenalkan cukai baharu, meningkatkan kutipan cukai dan memaksimumkan hasil daripada aset negara.

  • Mengurangkan kadar faedah

Kerajaan boleh bekerjasama dengan bank pusat untuk mengurangkan kadar faedah bagi pinjaman kerajaan. Hal ini dapat mengurangkan beban pembayaran faedah yang dapat membantu mengurangkan jumlah hutang yang terkumpul.

  • Mencari sumber kewangan baharu

Kerajaan boleh mencari sumber kewangan baharu melalui pelbagai inisiatif seperti pelaksanaan cukai karbon, mengurangkan subsidi atau menjual aset kerajaan yang tidak diperlukan.

Setiap langkah mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri dan pilihan terbaik adalah bergantung pada keadaan kewangan negara serta keperluan ekonomi semasa. Pemantauan dan pengurusan belanjawan kerajaan secara berkesan untuk mengurangkan defisit dan kebergantungan terhadap hasil cukai perlu dilaksanakan. Kesedaran dan pemahaman terhadap pentingnya membayar cukai dan kesedaran tentang penggunaan dana cukai untuk pembangunan negara juga perlu ditingkatkan bagi membolehkan rakyat memahami situasi ekonomi negara dan memahami matlamat usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.