29 April 2023, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terma eko-politinomik merupakan satu terma yang terdiri daripada bidang ekologi dan bidang ekonomi politik atau diistilahkan sebagai politinomik secara bersepadu. Istilah ekonomi politik dan politinomik merupakan dua istilah yang membawa maksud yang sama. Istilah eko-politinomik merupakan ilmu berkaitan dengan politik, ekonomi, faktor sosial yang berkaitan dengan isu dan perubahan alam sekitar.

Bidang eko-politinomik ialah bidang yang kerap kali dipetik dan dibincangkan secara meluas oleh ahli akademik dalam bidang pembangunan. Bidang eko-politinomik menunjukkan satu usaha untuk memahami kaedah interaksi antara manusia dengan alam sekitar berlaku. Dengan kata lain, pembangunan yang tidak menyeimbangkan antara penjagaan ekosistem dengan ekonomi boleh menyebabkan berlakunya kemusnahan ekologi dalam sesebuah negara.

Banyak habitat dan ekosistem terpaksa dikorbankan jika usaha pembangunan negara hanya memberikan tumpuan terhadap ekonomi semata-mata. Hal ini terjadi kerana polisi atau sesuatu dasar pembangunan berkenaan ekonomi atau ekologi biasanya diputuskan oleh ahli politik yang dipilih sama ada melalui jalan politik demokrasi atau pun melalui jalan politik monarki. Oleh sebab itulah, pentingnya untuk melihat hubungan ilmu ekologi Islam dan ilmu politinomik Islam bagi membina satu konsep eko-politinomik Islam sebagai satu bidang baru agar dapat membimbing para ahli politik tentang peranan mereka ke arah pembangunan yang seimbang antara ekonomi dengan ekologi.

Konsep Eko-Politinomik Islam

Konsep eko-politinomik Islam dibina hasil daripada gabungan ilmu ekologi Islam dan ilmu politinomik Islam. Perkataan ekologi ataupun alam sekitar diguna pakai dalam beberapa takrifan. Antaranya menurut Mohd Zuhdi Marsuki dan Amer Saifude Ghazali, dalam bahasa Arab akar perkataan ekologi ialah عَالَم yang terdiri daripada huruf akar  ع , ل , م‏ yang membawa maksud alam sekitar. Alam sekitar di sini bermaksud ciptaan dan pemberian yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada manusia untuk dipelihara daripada kerosakan dan pencemaran. Hal ini kerana, alam sekitar telah diwarisi sejak berabad dahulu untuk dimanfaatkan oleh tamadun manusia dari generasi ke generasi, termasuklah masyarakat yang ada di Malaysia yang mesra dengan sistem ekologi ini.

Hubungan ilmu ekologi Islam dengan ilmu politinomik Islam penting bagi membina satu konsep eko-politinomik Islam ke arah pembangunan yang seimbang antara ekonomi dengan ekologi.

Alam sekitar dilihat mempunyai kepentingannya yang tersendiri dalam kehidupan kerana dapat memberikan manfaat terhadap manusia khususnya dalam aspek kesihatan dan dijadikan sebagai sumber ekonomi oleh manusia. Tambahan lagi, alam sekitar diciptakan atas kehendak Allah SWT untuk manusia. Oleh yang demikian, menjadi tugas utama manusia untuk mentadbir dan memelihara sistem ekologi ini. Dengan kata lain, bagi orang-orang yang beriman, sistem ekologi dalam pengertian yang biasa bukan sekadar alam yang digunakan untuk tempat kediaman dan tempat mendapat bahan keperluan, bahkan alam adalah amanah Allah SWT yang perlu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh manusia dengan kedudukannya sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi dan hamba-Nya.

 Politinomik Islam

Ilmu politinomik Islam pula bermaksud suatu bidang holistik untuk mengatasi pelbagai masalah negara dan masyarakat serta berusaha untuk menyediakan remedi terkait masalah ekonomi dan sosial umat. Menurut Mohd Syakir Mohd Rosdi, ilmu politinomik Islam adalah suatu bidang baharu yang mula diketengahkan pada tahun 1990-an. Beliau mentakrifkan politinomik Islam ini sebagai suatu ilmu yang melihat kesan antara ekonomi dengan politik atau sebaliknya yang berpandukan fiqh iqtishodi, fiqh siyasi dan fiqh ijtimai’e. Selain itu, politinomik Islam adalah sebagai satu ilmu baharu yang mempelajari hubungan antara kerajaan (syura) dengan subsistem pasaran. Politinomik Islam merupakan bidang yang membincangkan secara mendalam isu-isu politik, ekonomi dan sosial. Dengan kata lain, ekonomi Islam tidak dapat bernyawa tanpa politik Islam dan demikian pula politik Islam tidak kuat tanpa ekonomi Islam. Tambahan lagi, hubungan ekonomi dan politik Islam mendapat perhatian banyak penelitian daripada ahli-ahli akademik seluruh dunia.

Selain itu, politinomik Islam secara teknikalnya lebih dikenali sebagai siyasah maliyah. Istilah lain juga disebut sebagai tadakhul al-daulah (campur tangan negara). Istilah ini telah dikembangkan oleh Muhammad Baqir Ash-Shadr apabila negara (pemerintah) turut campur tangan dalam hal berkaitan kegiatan ekonomi bagi memastikan penyesuaian undang-undang Islam berkaitan pembangunan ekonomi dilaksanakan secara menyeluruh. Pihak pemerintah akan turut serta untuk memastikan kegiatan pembangunan ekonomi mengikuti dalil yang ada dalam nas al-Quran dan hadis. Dengan kata lain, politinomik Islam bukan hanya bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup dalam sesebuah negara semata-mata, sebaliknya politinomik Islam akan memastikan keaterjaminan kehidupan setiap anggota masyarakat dalam sesebuah negara tersebut.

Setelah meneliti takrifan oleh para pengkaji ilmu ekologi Islam dan ilmu politinomik Islam, maka kedua-dua takrifan ini dipadankan untuk membina takrifan eko-politinomik Islam. Eko-politinomik Islam yang boleh difahami daripada takrifan tersebut ialah satu ilmu yang membincangkan tentang penjagaan alam sekitar oleh ahli politik ketika proses pembangunan sesebuah negara untuk menyeimbangkan antara pembangunan ekologi dan pembangunan ekonomi seperti saranan yang terdapat dalam sumber Islam.

Dengan kata lain, kepentingan kewujudan konsep eko-politinomik Islam dapat dilihat apabila Zaini Ujang mengatakan bahawa sistem ekologi perlu mempunyai integrasi ekonomi, politik dan spiritual secara bersepadu dalam menangani kemelut alam sekitar. Spiritual di sini bermaksud dengan pendekatan agama Islam yang diintegrasikan dengan alam sekitar dan ekonomi politik. Dalam menghadapi kemelut alam sekitar ini, Islam sebagai agama yang menyeluruh dan sempurna mempunyai perspektif, kaedah, pendekatan, dan penyelesaiannya yang tersendiri. Kaedah Islam menggunakan sains, teknologi dan falsafah Islam sebagai alternatif kepada sains dan teknologi moden Barat. Pendekatannya pula menekankan aspek harmoni dan seimbang terhadap unsur-unsur alam sekitar.

 Menangani Isu Alam Sekitar dengan Eko-Politinomik Islam

Sebagai agama yang membawa rahmat ke sekalian alam, Islam tidak hanya peduli bagaimana umat manusia menyembah Allah SWT (ibadat), dan menjalin hubungan di antara manusia (muamalat) tetapi Islam juga melindungi dan memelihara sistem ekologi di sekelilingnya sebagai tujuan utama hukum Islam (maqasid syariah). Nasr menyatakan bahawa pada hari ini dunia Islam tidak sepenuhnya mengamalkan konsep Islam. Hal ini kerana kebanyakan konsep Islam tersebut telah digantikan dengan falsafah, ideologi dan amalan kebudayaan, saintifik dan teknologi Barat. Oleh hal yang demikian, krisis ekologi dilihat semakin meluas. Krisis eko-politinomik yang sedang berlaku sebenarnya berakar umbi daripada falsafah hidup Barat yang tidak sesuai.

Kehancuran alam sekitar berlaku apabila manusia sebagai pemimpin mula memisahkan alam sekitar daripada unsur tauhid.

Falsafah Barat hanya memfokuskan kekuasaan secara terus terhadap pemerintah secara total. Pemerintah berhak berbuat apa-apa keputusan demi memanfaatkan keuntungan dan kebendaan yang berlandaskan nafsu semata-mata. Kehancuran alam sekitar juga berlaku apabila manusia sebagai pemimpin mula memisahkan alam sekitar daripada unsur tauhid, iaitu unsur ketuhanan. Manusia sebagai pembuat dasar selaku ketua sesebuah negara mulai merasakan diri memiliki bumi ini dan berhak melakukan apa-apa sahaja kemahuan diri mengikut lunas nafsu. Pada masa yang sama, krisis alam sekitar yang dihadapi masa ini juga berpunca daripada tindakan manusia yang menodai alam sekitar secara berlebih-lebihan. Oleh sebab itu, elemen agama memainkan peranan penting ke arah mengatasi krisis alam sekitar yang dihadapi manusia kini. Hal ini dilihat penting untuk diberikan perhatian agar keghairahan nafsu bagi mengumpul harta kekayaan dengan tidak mengabaikan amanah yang perlu ditunaikan terhadap masyarakat sepenuhnya.

Oleh itu, kewajaran penerimaan falsafah Islam dan mengabaikan sebarang falsafah Barat yang memberikan kekuasaan mutlak kepada pemerintah tanpa menggariskan sebarang falsafah, prinsip dan matlamat untuk mengawalnya. Falsafah Islam dalam pelaksanaan pembangunan termasuklah pelaksanaan eko-poltiinomik perlu berdasarkan falsafah tauhid. Falsafah tauhid tersebut adalah berkaitan dengan tiga perkara utama, iaitu  Allah SWT merupakan Pencipta, manusia ialah makhluk dan hamba Allah SWT dan sumber alam juga merupakan makhluk yang sama seperti manusia. Falsafah Islam yang berpaksikan terhadap aspek tauhid tersebut dilihat lebih bersifat komprehensif dan menyeluruh dalam menyelesaikan isu eko-politinomik.

 

Penyelesaian krisis eko-politinomik hari ini bukanlah penyelesaian yang bersifat teknikal semata-mata, sebaliknya memerlukan penyelesaian yang bersifat falsafah. Penyelesaian Islam merupakan penyelesaian paling baik yang mempunyai aspek falsafah yang paling harmoni, iaitu aspek tauhid. Aspek tauhid ini dapat diaplikasikan dengan akal yang sempurna. Manusia ialah makhluk Allah SWT yang paling sempurna kerana dibekalkan dengan akal dan diberikan tugas sebagai khalifah di bumi. Peranan khalifah tersebut pula dinyatakan prinsipnya yang menggariskan setiap khalifah mempunyai empat prinsip yang perlu diamalkan dalam diri sebagai ketua pemerintah, iaitu melaksana keadilan; menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran; merealisasikan syariat Islam; dan mewujudkan sistem masyarakat yang aman.

Falsafah kekhalifahan dan kepimpinan ini pula perlu disertakan dengan falsafah perhambaan (ubudiyah) terhadap Allah SWT. Perlu diingatkan bahawa manusia dalam konteks eko-politinomik Islam sebagai pemimpin ialah hamba Allah SWT juga. Oleh itu, sebagai seorang hamba hendaklah seorang pemimpin itu patuh dan taat akan perintah suruhan dan larangan-Nya. Tambahan lagi, sebagai khalifah Allah SWT pula, manusia sebagai pemimpin mesti aktif dalam memakmurkan bumi dengan pembangunan ekonomi dan mengekalkan keharmonian alam sekitar dengan memupuk rasa kasih sayang (mahabbah) terhadap sistem ekologi yang ada di atas muka bumi. Dengan kata lain, pembuat dasar seperti pihak kerajaan tidak boleh mengabaikan alam sekitar kerana telah beraku janji dengan Allah SWT yang merupakan satu falsafah kepercayaan, iaitu (amanah) daripada Allah SWT.  Bumi sentiasa dirosakkan apabila pemimpin mula mengabaikan falsafah amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka. Masa depan bumi banyak bergantung kepada sikap manusia terhadap alam sekitar.

Kesimpulannya, bidang ekologi dan politinomik perlu dilihat sebagai dua bidang yang harus dirangka melalui konsep Islam kerana Islam merupakan agama kerahmatan. Kerosakan ekologi pada hari ini disebabkan bidang eko-politinomik tidak diterajui dengan mendahulukan prinsip Islam yang membawa kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan penjagaan alam sekitar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.