30 Disember 2022, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa terdapat tambahan syarat kelayakan pengecualian cukai bagi pembayar cukai yang layak dan mempunyai pendapatan dividen luar negara yang diterima di Malaysia dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026, iaitu pendapatan dividen luar negara tersebut hendaklah mematuhi syarat substantif ekonomi. Hal ini bagi memenuhi piawaian terkini pencukaian antarabangsa yang menetapkan sedemikian dan bermakna pembayar cukai perlu mematuhi syarat tambahan dengan membuktikan wujudnya hubungan yang jelas antara pendapatan dividen luar negara yang diterima dengan aktiviti sebenar di Malaysia.

Tambahan syarat yang ditetapkan ini juga menggambarkan komitmen Malaysia dalam mematuhi piawaian pencukaian antarabangsa bagi mengelakkan pelarian cukai serta double non-taxation selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah. Sehubungan dengan itu, pendapatan dividen luar negara yang diterima di Malaysia yang dikecualikan cukai dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 adalah seperti yang berikut:

Kategori Pembayar Cukai

Syarat Kelayakan

  • Syarikat
  • Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)
  • Ahli kongsi individu berhubung perniagaan perkongsian di Malaysia

(i) Dividen telah tertakluk kepada cukai di negara asal.

(ii)  Kadar cukai tertinggi (headline tax) di negara asal sekurang-kurangnya 15%.

(iii)  Mematuhi syarat substantif ekonomi.

Tambahan syarat kelayakan, iaitu syarat substantif ekonomi adalah seperti yang berikut:

(a) Syarikat pemastautin, PLT pemastautin atau individu pemastautin berhubung dengan perniagaan perkongsian di Malaysia dianggap mempunyai subtantif ekonomi sekiranya:

(i) Menggaji bilangan pekerja yang mencukupi dengan kelayakan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti ekonomi tertentu di Malaysia; dan

(ii) Melakukan perbelanjaan operasi yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti ekonomi tertentu di Malaysia.

Selaras dengan tambahan syarat ini, pindaan kepada Garis Panduan Layanan Cukai Berhubung Pendapatan yang Diterima dari Luar Negara telah dimuat naik ke portal rasmi HASiL pada 29 Disember 2022 dan garis panduan bertarikh 29 September 2022  dibatalkan. Yang berikut ialah pautan capaian pantas garis panduan yang terkini tersebut untuk rujukan pembayar cukai, iaitu:

(a) Versi bahasa melayu: https://www.hasil.gov.my/media/gggaite3/20221229-garis- panduan-layanan-cukai-berhubung-pendapatan-yang-diterima-dari-luar-negara- pindaan.pdf  

(b) Versi bahasa Inggeris: https://www.hasil.gov.my/media/p0lntthw/20221229- guidelines-tax-treatment-in-relation-to-income-received-from-abroad- amendment.pdf

Oleh itu, pembayar cukai perlu mengemukakan pindaan BNCP sekiranya tambahan syarat kelayakan substantif ekonomi tidak dipatuhi dan tiada penalti akan dikenakan bagi Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang dikemukakan sebelum atau pada 29 Disember 2022. Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh dikemukakan kepada HASiL melalui:

(a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);

(b) HASiL Live Chat; dan

(c) Borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantashttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.