17 September 2021, 17:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 14 April lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pengunduran tenteranya dari Afghanistan menjelang 11 September. Sebaliknya, pada 8 Julai, Joe Biden mengawalkan pula tarikh akhir pengunduran, iaitu pada 31 Ogos. Sebelum itu, pengunduran dilakukan secara berperingkat bermula pada Mei. Rancangan untuk mengundurkan tentera AS dari Afghanistan bermula sejak era pentadbiran Barrack Obama. Pada 22 Jun 2011, beliau telah menggariskan rancangan untuk mengundurkan 33 000 tentera AS menjelang tahun 2012. Pada tahun yang sama, tentera AS di Afghanistan berjumlah 90 000 orang. Pada 27 Mei 2014, Obama mengumumkan jadual pengunduran tentera AS menjelang akhir 2016. Pentadbiran Donald Trump pula telah menandatangani perjanjian dengan Taliban pada 29 Februari 2020 yang membuka jalan untuk AS mengundurkan tenteranya.

Kehadiran tentera AS di Afghanistan bermula apabila George W. Bush melancarkan Operation Enduring Freedom yang merupakan sebahagian daripada Perang Menentang Keganasan pada 7 Oktober 2001. Taliban yang memerintah Afghanistan mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden yang bertanggungjawab terhadap serangan pada 11 September 2001. Sepanjang 20 tahun berada di Afghanistan, seramai 16 000 orang terkorban. Tentera AS yang terkorban pula sebanyak 2448 orang, manakala lebih 20 000 anggota lagi cedera.

Pada 15 Ogos 2021, Taliban berjaya mengambil alih Kabul menyebabkan kerajaan Afghanistan pimpinan Ashraf Ghani tumbang. Taliban kemudiannya mengumumkan pembentukan kerajaan sementara pada 7 September 2021. Mullah Mohammad Hassan Akhund dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri, Mullah Abdul Ghani Baradar dan Mawlawi Abdul Salam Hanafi (pemangku Timbalan Perdana Menteri), Sirajuddin Haqqani (Menteri Dalam Negeri), Mullah Mohammad Yaqoob (Menteri Pertahanan), Amir Khan Muttaqi (Menteri Luar), Mullah Hidayat Bakri (Menteri Kewangan), Abdul Hakim (Menteri Keadilan) dan Khairullah Khairkhwa (Menteri Maklumat). Manakala Mullah Hibatullah Akhundzada sebagai pemimpin agung.

Pengunduran tentera AS akan memberikan impak terhadap keselamatan nasional dan integriti wilayah China terutama di Xinjiang. China berkongsi sempadan sejauh 76 kilometer dengan Afghanistan. Atas faktor keselamatan, China mengadakan hubungan tidak rasmi dengan para pemimpin Taliban. Beijing perlu mendekati Taliban agar mereka tidak menyokong kumpulan pemisah Xinjiang seperti Gerakan Islam Turkestan Timur (GITT). China harus memastikan bahawa Afghanistan tidak akan menjadi tempat perlindungan dan merekrut anggota GITT. Oleh sebab itu, pada 28 Julai 2021, Mullah Abdul Ghani Baradar dan Menteri Luar China, Wang Yi telah bertemu di Tianjin. Taliban berjanji bahawa Afghanistan tidak akan digunakan sebagai pangkalan kumpulan pemisah.

Sebagai pertukaran, China menawarkan sokongan ekonomi dan pelaburan untuk pembangunan semula infrastruktur dan ekonomi Afghanistan selepas pengunduran AS. Menurut Wang Yi, China akan menyediakan bantuan kemanusiaan bernilai 200 juta Yuan (A.S$30.96 juta). Bantuan terbabit merangkumi makanan, bekalan untuk musim sejuk, tiga juta dos vaksin COVID-19 dan ubat-ubatan. Afghanistan mempunyai potensi ekonomi terutamanya dalam konteks Belt & Road Initiative (BRI) dan pelaburan. Presiden China, Xi Jinping telah melancarkan BRI di Astana, Kazakhstan pada September 2013 yang bermatlamat untuk mewujudkan jalinan kerjasama ekonomi antara China dengan negara-negara di Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah.

Antara projek utama BRI di rantau Asia Selatan ialah Koridor Ekonomi China – Pakistan (CPEC). CPEC yang bernilai A.S.$64 bilion merangkumi rangkaian jalan raya, landasan kereta api dan saluran paip yang bertujuan untuk menghubungkan wilayah Xinjiang dengan pelabuhan Gwadar di Pakistan. China turut merancang untuk memperluas jalinan ke Afghanistan agar dapat menghubungkan Asia Tengah, Asia Selatan dan Iran dengan China. Menurut jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid pada 6 September 2021, mereka mahu mengadakan hubungan baik dengan negara-negara jiran selain berhasrat untuk menyertai CPEC. Menteri Dalam Negeri Pakistan, Sheikh Rashid Ahmed menyifatkan hasrat Taliban itu sebagai perkara yang baik dan amat mengalu-alukan penyertaan Afghanistan dalam CPEC.

Beberapa buah syarikat China dilihat berpotensi untuk terlibat dalam pembangunan semula infrastruktur di Afghanistan. Pada akhir Mei 2021, terdapat syarikat-syarikat yang berhasrat untuk melabur sebanyak A.S.$400 juta dalam pembinaan loji jana kuasa arang batu 300 megawatt. Syarikat Sany Group akan melabur di Afghanistan jika keadaan lebih stabil dan jelas. Manakala terdapat kemungkinan Power Construction Corporation of China (PowerChina) yang akan terlibat dengan pelbagai projek pada masa hadapan terutamanya berkaitan dengan sektor hidroelektrik dan kuasa terma. Menurut syarikat kuasa, Da Afghanistan Breshna Sherkat, hanya 35 peratus populasi mempunyai akses terhadap bekalan elektrik. Kepakaran China dapat dimanfaatkan untuk menambahbaikkan sektor bekalan elektrik sekali gus meningkatkan peratusan populasi Afghanistan yang mendapat bekalan elektrik.

Afghanistan yang kaya dengan mineral dan nadir bumi dijangka menarik minat China. Kekayaan mineral dan nadir bumi Afghanistan bernilai A.S.$1 trilion. Mineral dan nadir bumi digunakan dalam bidang elektronik, telekomunikasi, pertahanan, kesihatan dan angkasa. Afghanistan juga kaya dengan mineral lain seperti tembaga, emas, bauksit, kromium, plumbum dan zink. Menurut laporan Kementerian Perlombongan dan Petroleum pada tahun 2019, Afghanistan mempunyai sumber tembaga berjumlah 30 juta tan, bijih besi pula bernilai A.S.$350 bilion (2.2 bilion tan) dan emas bernilai A.S.$170 juta (2700 kg).

Syarikat China, Zijin Mining Group and the China Metallurgical Group Corporation (MCC Group) dan Jiangxi Copper sebelum ini pernah mendapat tender untuk membangunkan lombong tembaga di Mes Aynak, wilayah Logar pada tahun 2007. Kawasan tersebut mempunyai 9.98 juta tan simpanan tembaga yang ditemui oleh ahli geologi Soviet pada 1970-an. Sebagai pertukaran kepada hak melombong tembaga selama 30 tahun, syarikat tersebut berjanji akan melabur sebanyak A.S.$3 bilion serta membina loji jana kuasa dan landasan kereta api. Walau bagaimanapun, perlombongan tembaga tidak begitu praktikal disebabkan keadaan politik yang tidak stabil dan kejatuhan harga tembaga.

Kekayaan minyak dan gas asli juga boleh dimanfaatkan oleh Afghanistan dengan kerjasama China. Afghanistan mempunyai 1.6 bilion tong minyak mentah, 16 trilion kaki padu gas asli dan 500 juta tong cecair gas asli. Pada tahun 2011, China National Petroleum Corporation (CNPC) mendapat tawaran mencari gali minyak bernilai A.S.$400 juta di tiga kawasan untuk tempoh 25 tahun. Ketiga-tiga kawasan terbabit mengandungi 87 juta tong minyak.

China hanya dapat berperanan dalam pembangunan semula Afghanistan jika politik dalaman kembali stabil. Menstabilkan politik merupakan tugas berat yang perlu digalas oleh kerajaan sementara Taliban. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat kumpulan penentang seperti Barisan Penentangan Nasional pimpinan Ahmad Wali Massoud dan Amrullah Saleh yang menolak pemerintahan Taliban. Kestabilan politik amat penting bagi menarik minat pelabur asing supaya dapat menjamin pelaburan mereka. Oleh hal yang demikian, China juga mahukan Afghanistan berada dalam keadaan stabil demi keselamatan nasional dan kepentingan ekonominya.

Penulis, berkelulusan Sarjana Analisis Strategi dan Keselamatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.