20 Februari 2024, 21:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Kawasan perindustrian di Bandar Enstek, Nilai telah berjaya menarik pelaburan baru bernilai RM420 juta menerusi pelibatan empat pelabur dari pelbagai sektor.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan bahawa pelabur yang dimaksudkan termasuklah Educ8 Group, Gobuilders Netsoft, Malindo Airways, dan Meta Legends yang akan menyediakan lebih daripada 2000 peluang pekerjaan bagi penduduk negeri tersebut.

“Kehadiran pelabur seperti Educ8 Group boleh meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendidikan di bandar Enstek serta kawasan sekitarnya,” jelasnya ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian jual beli antara TH Properties Sdn. Bhd. dan pelabur hartanah Bandar Enstek di sini, hari ini.

Tambah beliau, kehadiran pelabur ini melalui kerjasama dengan akademi sukan dan pendidikan antarabangsa seperti Laliga Academy Malaysia dan Mouratouglou Academy.

Techpark @Enstek berjaya menarik masuk beberapa pelaburan tempatan dan jenama dunia seperti Dutch Lady Milk Industries Berhad melalui projek DLMI@Enstek dengan pelaburan hampir RM600 juta, manakala Mahsuri Food (M) Sdn. Bhd. merangkumi pelaburan lebih RM250 juta.

Menteri besar itu juga telah menyifatkan bahawa pelibatan TH Properties dalam menarik masuk pelaburan melalui Bandar Enstek dan Taman Perindustrian Bandar Teknologi Enstek (Techpark@Enstek) sebagai sumbangan besar terhadap pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.

Beliau juga menjelaskan bahawa Techpark @Enstek dengan status halal Malaysia Industrial Park (HALMAS) menjadi hab pilihan bagi syarikat besar seperti Ajinamoto Malaysia Berhad, Farmfresh Berhad, Coca Cola Bottlers (Malaysia) Sdn. Bhd., Kellogg’s Malaysia serta pelabur lain yang beroperasi di taman perindustrian seluas 708.52 hektar.

Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa kerajaan negeri memberi sokongan dan memudahkan syarikat seperti TH Properties dalam memperluas aktiviti perniagaan melalui polisi laluan hijau, pengurangan bayaran premium tanah, pengurangan premium pertukaran status tanah, caj sumbangan modal untuk infrastruktur dan utiliti, dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, pengerusi TH Properties, Datuk Kartini Abdul Manaf, menyatakan bahawa peranan Bandar Enstek dalam pembangunan daerah Labu mampu mencetuskan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan serta mendorong pertumbuhan ekosistem daerah dan kawasan sekitarnya.

“Bandar Enstek dibangunkan oleh pihak kami dengan visi kelestarian sebuah bandar yang menggabungkan kemajuan, kemampanan dan komponen komersial; kediaman; pendidikan dan perindustrian,” katanya.

Pada masa yang sama, TH Properties akan terus berusaha menyediakan kemudahan bandar yang berkualiti dan memastikan kelestarian Bandar Enstek dengan pertumbuhan ekonominya yang memberikan kesan positif kepada penduduk tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.