Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSempena Hari Populasi Dunia yang disambut pada 11 Julai setiap tahun, sambutan pada tahun ini wajar dijadikan medan untuk menelusuri perkembangan populasi, serta perubahan struktur demografi negara. Perubahan komposisi penduduk bukan sekadar isu statistik, malah mempunyai implikasi besar terhadap ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.
Berdasarkan data Bank Dunia, jumlah penduduk dunia pada tahun 2024 dianggarkan mencecah 8.14 bilion orang. Daripada jumlah tersebut, Malaysia merekodkan kira-kira 35.5 juta penduduk, sekali gus meletakkan negara pada kedudukan ke-44 dunia dari segi saiz populasi. Jumlah tersebut jauh lebih rendah berbanding denga beberapa negara jiran seperti Indonesia (283.49 juta orang), Filipina (115.84 juta orang), Vietnam (100.99 juta orang) dan Thailand (71.67 juta orang).
Pada peringkat global, India dan China terus mendominasi jumlah penduduk dunia dengan masing-masing melebihi 1.4 bilion orang, diikuti dengan Amerika Syarikat (340.11 juta penduduk). Hakikat ini menunjukkan bahawa sumbangan populasi Malaysia kepada keseluruhan populasi dunia adalah kecil, iaitu sekitar 0.4 peratus sahaja.
Walaupun saiz populasi negara tidak besar, Malaysia tidak terkecuali daripada berdepan dengan cabaran demografi yang turut dialami oleh banyak negara maju dan membangun, iaitu fenomena penuaan penduduk. Lazimnya, status sesebuah negara ditentukan berdasarkan peratusan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas berbanding dengan keseluruhan penduduk.
Bagi tahun 2024, kumpulan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas di Malaysia mewakili 7.6 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhan. Mengikut takrifan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sesebuah negara dikategorikan sebagai negara menua (ageing society) apabila peratusan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus. Sesebuah negara pula diklasifikasikan sebagai negara tua (aged society) apabila kadar tersebut melebihi 14 peratus, manakala negara sangat tua (super-aged society) merujuk negara yang mencatat kadar melebihi 20 peratus.
Berdasarkan pengelasan tersebut, Malaysia telah memasuki fasa negara menua dan dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2048. Sementara itu, Monaco dan Jepun telah mencapai status negara sangat tua dengan masing-masing merekodkan 36 peratus dan 30 peratus penduduk berumur 65 tahun dan ke atas. Di rantau Asia Tenggara, Thailand dan Singapura pula telah mencapai status negara tua.
Peralihan Malaysia ke arah negara tua sebenarnya dapat dikesan lebih awal melalui perubahan pola piramid penduduk. Statistik Anggaran Penduduk Semasa 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa bentuk piramid penduduk negara semakin bersifat regresif dengan tapak yang semakin mengecil, berbeza daripada bentuk progresif yang direkodkan pada tahun 1970.
Perubahan pola ini mencerminkan penyusutan bilangan penduduk muda dan peningkatan penduduk berusia, sekali gus menandakan berlakunya perubahan ketara dalam struktur demografi negara. Sekiranya trend ini berterusan, Malaysia berpotensi memasuki fasa negara tua dan seterusnya negara sangat tua lebih awal daripada jangkaan.
Faktor Pendorong dan Implikasi Penuaan Penduduk
Peningkatan jangka hayat penduduk menyebabkan Malaysia dijangka beralih kepada status negara tua lebih awal. Jangka hayat merujuk kepada anggaran tempoh hayat yang dijangka dicapai oleh seseorang bayi yang dilahirkan pada sesuatu tahun. Sebagai contoh, bayi yang lahir pada tahun 1991 diunjurkan mempunyai jangka hayat sekitar 71.2 tahun. Namun demikian, angka tersebut meningkat dengan ketara kepada 75.3 tahun bagi bayi yang lahir pada tahun 2025.
Mengikut perbandingan antara negeri, bayi yang dilahirkan di Selangor pada tahun 2025 dijangka mempunyai jangka hayat lebih panjang, iaitu sehingga 78 tahun berbanding dengan bayi yang dilahirkan di negeri lain seperti Terengganu, iaitu 72.6 tahun. Peningkatan jangka hayat ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor sosioekonomi, terutamanya peningkatan taraf pendidikan, peluang pekerjaan, kemajuan teknologi perubatan, serta perubahan gaya hidup.
Selain peningkatan jangka hayat, fenomena penuaan penduduk turut dipengaruhi oleh penurunan kadar kesuburan. Kadar jumlah kesuburan [Total Fertility Rate (TFR)] pada tahun 2024 ialah 1.6 anak bagi setiap wanita, jauh lebih rendah berbanding dengan 4.9 anak pada tahun 1970. Kadar ini mencerminkan perubahan corak kehidupan masyarakat, apabila generasi terdahulu lazimnya mempunyai bilangan anak yang lebih ramai berbanding dengan generasi masa kini yang cenderung mengehadkan bilangan anak.
Perubahan tersebut dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk amalan perancangan keluarga, tuntutan kerjaya dan peningkatan kos sara hidup. Kadar kesuburan sebanyak 1.6 anak bagi setiap wanita juga berada di bawah kadar penggantian penduduk, iaitu 2.1 anak bagi memastikan kelangsungan saiz populasi semasa.
Implikasi penuaan penduduk perlu dilihat melangkaui isu peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kesuburan semata-mata. Fenomena ini memberikan kesan menyeluruh terhadap sistem ekonomi, kesihatan dan sosial negara. Dengan pertambahan bilangan penduduk berusia secara relatif, Malaysia berdepan dengan risiko penurunan produktiviti dan penyusutan tenaga buruh apabila semakin banyak individu bersara pada umur 60 tahun, iaitu umur persaraan semasa.
Keadaan ini menyebabkan sebahagian besar golongan warga emas bergantung pada sokongan anak-anak yang masih bekerja, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap generasi sandwich. Generasi sandwich merujuk golongan pertengahan yang perlu menanggung serentak keperluan anak-anak yang sedang membesar dan ibu bapa yang telah lanjut usia.
Situasi tersebut dapat dilihat melalui peningkatan nisbah tanggungan umur tua berbanding dengan nisbah tanggungan umur muda di Malaysia. Trend ini berpotensi meningkatkan beban kewangan yang ditanggung oleh generasi sandwich.
Selain itu, penuaan penduduk turut menuntut peruntukan kewangan yang lebih besar daripada kerajaan untuk menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan awam yang bersesuaian, khususnya dalam sektor kesihatan. Perbelanjaan kerajaan bagi sektor kesihatan sememangnya besar dan memerlukan peningkatan peruntukan saban tahun bagi memastikan kemudahan kesihatan berada pada tahap optimum, serta mampu memenuhi keperluan masyarakat.
Namun demikian, persoalan utama ialah keupayaan kerajaan memenuhi permintaan tersebut dalam keadaan ruang fiskal yang semakin terhad, khususnya apabila jumlah penduduk yang bekerja semakin berkurang secara relatif. Penyusutan bilangan penduduk bekerja berbanding dengan penduduk tidak bekerja berpotensi menjejaskan hasil negara, terutamanya kutipan cukai pendapatan yang diuruskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL). Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu mempertimbangkan pelbagai alternatif, termasuk memperluas asas cukai bagi memastikan keperluan perbelanjaan negara dapat dipenuhi demi menjamin kesejahteraan rakyat.
Satu lagi isu penting ialah kecukupan simpanan persaraan. Sekiranya seseorang bersara pada umur 60 tahun dan mempunyai jangka hayat sekitar 71 tahun, individu tersebut memerlukan sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung kehidupan selama sekurang-kurangnya 11 tahun selepas persaraan. Dengan andaian perbelanjaan bulanan sebanyak RM3,000, seseorang pesara memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM396,000 pada akhir tempoh perkhidmatannya.
Persoalannya, adakah majoriti rakyat mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menghadapi persaraan? Lebih membimbangkan, sebahagian daripada mereka mungkin langsung tidak mempunyai simpanan yang mencukupi. Menurut Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer), hampir 74 peratus pencarum aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai simpanan kurang daripada RM100,000 apabila bersara.
Berikutan cabaran tersebut, pelbagai pihak mencadangkan supaya umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun berbanding dengan 60 tahun pada masa ini. Walau bagaimanapun, usaha menangani cabaran penuaan penduduk memerlukan persediaan yang menyeluruh oleh semua pihak.
Kerajaan misalnya, perlu memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan bagi membolehkan kemudahan kesihatan dan perlindungan sosial terus diperkukuh. Dalam konteks ini, Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2048 perlu dijadikan panduan utama dalam merangka dasar dan strategi bagi menghadapi cabaran penuaan penduduk.
Sektor swasta juga perlu memainkan peranan yang lebih aktif. Di sebalik cabaran yang wujud, terdapat pelbagai peluang ekonomi yang boleh diteroka, antaranya termasuk penyediaan pusat jagaan warga emas, perkhidmatan perancangan kewangan dan persaraan, serta pembangunan bakat bagi memastikan golongan pesara terus berupaya menyumbang kepada ekonomi.
Masyarakat pula perlu lebih proaktif dalam membuat persediaan kewangan dengan memastikan tahap simpanan persaraan mencukupi bagi menampung perbelanjaan sepanjang tempoh persaraan dan seterusnya menjamin kualiti hidup yang lebih baik pada usia tua.
Penuaan penduduk merupakan cabaran baharu yang memerlukan perancangan jangka masa panjang kerana implikasinya melibatkan keseluruhan sistem negara. Oleh itu, persediaan ke arah negara tua dijadikan antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) di bawah tonggak mempertingkatkan kesejahteraan rakyat. Dasar yang dilaksanakan perlu menyokong peralihan demografi negara dengan mengambil kira realiti dan keperluan masyarakat Malaysia.