Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIsu inflasi dan kos sara hidup sentiasa menjadi topik perbincangan utama dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana kesannya terhadap kesejahteraan ekonomi isi rumah. Walaupun kedua-dua istilah ini sering digunakan secara bersilih ganti, inflasi dan kos sara hidup sebenarnya merujuk konsep ekonomi yang berbeza, namun saling berkait rapat. Perbezaan ini penting untuk difahami kerana salah tafsir boleh membawa kepada kekeliruan dalam menilai punca tekanan kewangan yang dihadapi oleh isi rumah.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kos sara hidup merujuk jumlah perbelanjaan yang diperlukan oleh seseorang individu atau isi rumah untuk mengekalkan taraf hidup pada tahap tertentu. Konsep ini bersifat subjektif dan berbeza mengikut isi rumah bergantung pada tahap pendapatan, corak perbelanjaan, lokasi geografi, serta keperluan khusus masing-masing.
Bagi membantu masyarakat memahami perbelanjaan yang dianggap wajar, DOSM memperkenalkan Kalkulator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (MyPAKW), serta Indeks Kos Sara Hidup yang menyediakan penanda aras perbelanjaan mengikut lokasi. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kefahaman orang ramai tentang struktur perbelanjaan yang realistik dalam konteks persekitaran ekonomi semasa.
Inflasi pula merujuk peningkatan paras harga umum barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi dalam suatu tempoh tertentu. Inflasi diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diterbitkan oleh DOSM secara bulanan. Walaupun inflasi tidak semestinya mencerminkan kenaikan harga setiap barangan secara serentak, inflasi merupakan petunjuk penting bagi menilai perubahan keseluruhan harga dalam ekonomi. Dalam kebanyakan keadaan, peningkatan kadar inflasi akan mendorong kepada kenaikan kos sara hidup kerana harga barangan dan perkhidmatan yang menjadi keperluan harian turut meningkat.
Kebimbangan terhadap kos sara hidup yang semakin meningkat kembali ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya susulan persekitaran inflasi yang tinggi selepas pembukaan semula ekonomi pascapandemik COVID-19. Walaupun kadar inflasi secara keseluruhan telah kembali sederhana sejak tahun 2023, paras harga barangan dan perkhidmatan kekal pada tahap yang tinggi. Keadaan ini menimbulkan tekanan berterusan terhadap kemampuan perbelanjaan isi rumah, terutamanya dalam menghadapi kos keperluan asas yang semakin mahal.
Tekanan kos sara hidup bukan sahaja berpunca daripada kenaikan harga, malah turut dipengaruhi oleh perkembangan pendapatan isi rumah. Sekiranya pertumbuhan pendapatan tidak seiring dengan peningkatan harga, kuasa beli isi rumah akan terhakis. Selepas pandemik COVID-19, pertumbuhan upah didapati bergerak lebih perlahan berbanding dengan kadar kenaikan harga keseluruhan.
Golongan berpendapatan rendah, khususnya isi rumah dalam kategori B40 lebih terdedah kepada tekanan ini kerana mereka mempunyai penampan kewangan yang terhad dan membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk keperluan asas seperti makanan. Oleh itu, kenaikan harga makanan memberi kesan yang amat besar kepada kumpulan ini dan boleh memburukkan lagi ketidaksamarataan ekonomi.
Inflasi boleh berpunca daripada kejutan permintaan dan kejutan penawaran. Kejutan permintaan berlaku apabila peningkatan mendadak dalam permintaan tidak dapat dipenuhi oleh kapasiti penawaran sedia ada. Fenomena ini dapat diperhatikan selepas pandemik COVID-19 apabila gabungan sokongan dasar kerajaan dan permintaan terpendam mendorong peningkatan perbelanjaan isi rumah.
Kejutan penawaran pula berlaku apabila gangguan bekalan sama ada akibat faktor cuaca, gangguan rantaian bekalan atau kekangan pengeluaran menyebabkan penawaran barangan dan perkhidmatan berkurang. Selain itu, perubahan dalam pengawalseliaan seperti kenaikan cukai atau kos pematuhan juga boleh meningkatkan kos pengeluaran yang kemudiannya dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih tinggi.
Dalam menangani inflasi, Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa dasar monetari merupakan antara instrumen utama. Melalui penetapan Kadar Dasar Semalaman (OPR), BNM mempengaruhi kadar faedah pinjaman, pembiayaan dan deposit dalam sistem perbankan. Apabila tekanan inflasi meningkat, kenaikan OPR bertujuan mengekang permintaan dengan menjadikan kos pinjaman lebih mahal, serta menggalakkan simpanan.
Langkah ini seterusnya membantu mengurangkan tekanan harga dalam ekonomi. Namun demikian, kesan dasar monetari bersifat berperingkat dan lazimnya mengambil masa yang panjang, iaitu sehingga dua tahun untuk memberikan kesan sepenuhnya terhadap inflasi.
Selain dasar monetari, dasar fiskal turut memainkan peranan penting dalam mengurus tekanan kos sara hidup. Kerajaan boleh mempengaruhi aktiviti ekonomi melalui perbelanjaan awam dan dasar percukaian. Dalam keadaan permintaan yang tinggi, pengurangan perbelanjaan kerajaan atau peningkatan cukai boleh mengehadkan pendapatan boleh guna dan seterusnya mengurangkan tekanan inflasi.
Pada masa yang sama, dasar fiskal bersasar seperti subsidi terpilih, pelepasan cukai atau bantuan tunai boleh digunakan untuk melindungi kumpulan isi rumah yang terkesan oleh kejutan ekonomi. Walau bagaimanapun, langkah ini perlu dilaksanakan secara berhati-hati kerana berpotensi meningkatkan beban fiskal dan lazimnya bersifat sementara tanpa menangani punca struktur kepada tekanan harga.
Langkah kawalan harga seperti penetapan harga siling bagi barangan keperluan juga boleh membantu mengurangkan beban kos sara hidup dalam jangka masa pendek. Namun demikian, pelaksanaan kawalan harga secara berpanjangan boleh menjejaskan mekanisme pasaran dan mengakibatkan kekangan penawaran, sekali gus menimbulkan risiko gangguan bekalan.
Dalam jangka masa panjang, pembaharuan struktur merupakan pendekatan yang lebih mampan untuk menangani tekanan kos sara hidup. Pembaharuan ini melibatkan pelarasan dasar dan institusi bagi meningkatkan produktiviti, menggalakkan persaingan dan mengukuhkan daya tahan ekonomi.
Usaha seperti mengurangkan beban pengawalseliaan, menggalakkan penggunaan teknologi dan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, serta mengurangkan halangan perdagangan boleh membantu perniagaan beroperasi dengan lebih cekap dan pada kos yang lebih rendah. Hasilnya, tekanan inflasi dapat dikekalkan pada tahap sederhana, manakala harga barangan menjadi lebih mampu milik.
Peningkatan pendapatan isi rumah juga merupakan faktor penting dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup. Hal ini memerlukan dasar perindustrian yang strategik, pembaharuan pasaran buruh bagi meningkatkan produktiviti, penciptaan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, serta penambahbaikan struktur pampasan. Pasaran buruh yang lebih fleksibel dan institusi pasaran kerja yang kukuh akan menyokong pertumbuhan pendapatan yang lebih inklusif.
Di samping itu, sistem perlindungan sosial yang menyeluruh dan mudah diakses amat penting sebagai jaringan keselamatan bagi kumpulan yang mudah terjejas akibat kejutan ekonomi. Bantuan kewangan sementara, skim insurans sosial dan program sokongan pendapatan dapat membantu isi rumah mengharungi tempoh ketidaktentuan ekonomi. Usaha meningkatkan literasi kewangan melalui platform seperti Jaringan Pendidikan Kewangan serta perkhidmatan kaunseling oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut membantu isi rumah mengurus perbelanjaan dan hutang dengan lebih berhemat.
Kesimpulannya, pengurusan inflasi dan kos sara hidup memerlukan perancangan strategik yang seimbang antara keperluan jangka masa pendek dengan matlamat jangka masa panjang. Gabungan dasar monetari dan fiskal yang diselaraskan disokong oleh pembaharuan struktur yang berterusan adalah penting bagi memastikan inflasi kekal rendah dan stabil, serta kos sara hidup dapat dikawal. Pada masa yang sama, komunikasi dasar yang jelas, serta libat urus berterusan dengan pihak berkepentingan diperlukan bagi membina kefahaman dan sokongan masyarakat demi menjamin kesejahteraan ekonomi yang mampan pada masa hadapan.