Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMalaysia kekal antara negara yang mencatatkan prestasi tinggi dalam Indeks Keyakinan Pengguna IPSOS bagi tahun 2025 apabila menduduki tangga kedua di Asia Tenggara dan keempat pada peringkat global, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia.
Laporan IPSOS Malaysia menunjukkan bahawa Indeks Keyakinan Pengguna Malaysia meningkat kepada 55 peratus pada Januari 2025 berbanding dengan 53 peratus pada Disember 2024. Peningkatan tersebut turut mengatasi purata global sebanyak 49 peratus, selain lebih tinggi berbanding dengan Jepun dan Korea Selatan.
Prestasi ini mencerminkan tahap optimisme rakyat Malaysia terhadap prospek ekonomi domestik yang masih kukuh walaupun dunia berhadapan dengan pelbagai tekanan seperti konflik geopolitik di Asia Barat, perang tarif dan ketidaktentuan perdagangan antarabangsa. Pertumbuhan ekonomi negara yang stabil, serta inflasi yang terkawal turut menyumbang kepada peningkatan sentimen pengguna.
Peningkatan keyakinan pengguna didorong oleh beberapa faktor utama termasuk keterjaminan pekerjaan, keyakinan terhadap pelaburan masa hadapan, kesediaan melakukan pembelian utama dan peningkatan kuasa beli isi rumah. Keadaan ini menunjukkan bahawa pengguna lebih yakin terhadap kedudukan kewangan mereka, sekali gus menyokong peningkatan perbelanjaan domestik.
Aspek keterjaminan pekerjaan mencatatkan peningkatan paling ketara apabila tahap keyakinan meningkat kepada 56 peratus pada Januari 2025 berbanding dengan 50 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Perkembangan ini selari dengan prestasi pasaran buruh negara yang terus menunjukkan pengukuhan. Kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada suku keempat 2025, manakala jumlah guna tenaga meningkat kepada 17.1 juta orang berikutan permintaan tenaga kerja yang kekal positif. Kadar penyertaan tenaga buruh pula stabil pada paras 70.9 peratus.
Selain itu, pertumbuhan upah nominal dan upah benar sektor swasta turut mencatatkan peningkatan, sekali gus memperkukuh kuasa beli rakyat. Faktor tersebut membantu merangsang aktiviti ekonomi domestik melalui peningkatan penggunaan swasta.
Dari sudut pelaburan masa hadapan, tahap keyakinan pengguna meningkat kepada 53 peratus berbanding dengan 49 peratus pada tahun sebelumnya. Namun begitu, IPSOS turut mengingatkan bahawa ekonomi global masih berdepan dengan pelbagai cabaran yang boleh mempengaruhi sentimen pengguna pada masa hadapan. Antaranya termasuklah perang tarif, ketegangan geopolitik, peningkatan kos sara hidup dan pelaksanaan rasionalisasi subsidi.
Dalam hal ini, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Putra Business School, Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan bahawa penstrukturan semula subsidi perlu dilaksanakan secara bersasar bagi memastikan golongan berpendapatan rendah terus mendapat perlindungan sewajarnya. Pendekatan tersebut bukan sahaja membantu kerajaan mengekalkan kestabilan fiskal, malah dapat mengawal tekanan inflasi tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Walaupun tahap keyakinan pengguna kekal positif, perubahan tingkah laku pengguna mula dapat dilihat. Rakyat Malaysia dijangka lebih berhati-hati dalam perbelanjaan dengan mengurangkan pembelian bernilai tinggi, serta meningkatkan tabungan isi rumah. Situasi ini menunjukkan bahawa pengguna semakin peka terhadap risiko ekonomi dan tekanan inflasi yang berterusan.
Pada masa yang sama, sektor perniagaan turut berdepan dengan cabaran untuk mengimbangi peningkatan kos operasi dengan permintaan pengguna yang semakin sensitif terhadap harga. Walau bagaimanapun, prospek perniagaan keseluruhan masih mencatatkan sentimen positif apabila imbangan bersih keyakinan perniagaan meningkat kepada +12.0 peratus bagi tempoh Oktober 2025 hingga Mac 2026.
Dari segi inflasi, kadar inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing dengan purata 1.4 peratus dan dua peratus pada tahun 2025. Bagi tahun 2026, inflasi dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang semakin reda, serta harga komoditi dunia yang lebih stabil. Walaupun terdapat peningkatan harga makanan dan kos pembinaan, penurunan harga ditadbir seperti elektrik dan petrol membantu mengekalkan kestabilan inflasi keseluruhan.
Petunjuk keyakinan perniagaan turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam kebanyakan sektor ekonomi. Sektor perkhidmatan terus merekodkan keyakinan tertinggi, khususnya subsektor insurans, pendidikan dan kesihatan. Sektor industri, serta perdagangan borong dan runcit juga menunjukkan pemulihan yang positif, manakala sektor pembinaan masih berdepan dengan sentimen lebih berhati-hati.
Pada peringkat negeri, beberapa negeri seperti Johor, Selangor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan keyakinan perniagaan yang ketara. Namun begitu, beberapa negeri lain masih berhadapan dengan cabaran ekonomi yang menekan prospek perniagaan tempatan.
Secara keseluruhannya, laporan IPSOS menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia masih memiliki daya tahan yang kukuh meskipun berdepan dengan cabaran global yang semakin kompleks. Tahap keyakinan pengguna yang tinggi menjadi petunjuk penting kepada kestabilan ekonomi domestik kerana perbelanjaan pengguna terus menjadi pemacu utama pertumbuhan negara.
Walau bagaimanapun, kerajaan dan sektor perniagaan perlu terus berwaspada terhadap perkembangan geopolitik dunia, gangguan rantaian bekalan, serta tekanan inflasi yang boleh mempengaruhi sentimen pengguna dan kestabilan ekonomi dalam jangka masa panjang.
Dalam landskap ekonomi global yang tidak menentu, daya tahan pengguna dan keupayaan kerajaan mengurus dasar fiskal secara berkesan akan terus menjadi faktor penting dalam memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan.
Dr. Mustafa Dakian, mantan Pensyarah Ekonomi di Universiti Sultan Zainal Abidin.